Duri istiqamah Fathia Latiff


WAKTU bergulir, aktres jelita Fathia Latiff telah melalui fasa genting namun tetap mencorakkan warna kehidupan yang lebih berwarna-warni pelbagai selepas setahun berhijab.

Dalam tempoh tersebut, dia menerima aneka dugaan yang menjemput cemuhan daripada pelbagai pihak.

Berdiri sebagai seorang wanita yang bakal menginjak usia 30 tahun pada September nanti, pemilik nama sebenar Nur Fathia Abdul Latiff itu tidak pernah menyesali keputusan untuk menukar penampilan.

Fathia juga cukup sedar bahawa sebagai manusia biasa, dia tidak mampu lari daripada bisa pandangan orang ramai, apatah lagi masih berada bawah lampu glamor dengan penampilan berhijab.

“Tiada manusia yang sempurna dalam dunia ini. Begitu juga dengan diri saya. Selepas berhijab, banyak dugaan yang saya terima tetapi saya tidak mengeluh kerana dalam ujian tersebut terselit sinar cahaya yang membuatkan saya terus kuat.

“Bukan senang mahu berubah apatah lagi secara istiqamah. Hari demi hari, saya semakin mengerti bahawa untuk terus bergerak ke arah yang lebih positif, banyak halangannya. Saya akan terus mengharunginya,” ujar wanita tinggi lampai itu ketika ditemui sewaktu penggambaran drama berjudul Karisma di Rumah Perlindungan Al Nasuha, Batu Caves, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Istiqamah

Akui Fathia, dia masih mencari-mencari ruang sebenar untuk terus memperbaiki diri, khususnya dari aspek kerohanian, sekali gus sentiasa istiqamah dalam perjalanan menjadi seorang Muslimah yang patuh suruhan pada agama.

“Berubah bukan sekadar luaran semata-mata. Bagi saya, asasnya adalah rohani iaitu dalaman. Kalau dalaman tidak betul, luaran pasti mempunyai khilaf.

“Khalayak mengharapkan saya terus menjadi manusia yang sifar dosa selepas berhijab, walhal saya tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan. Saya sentiasa berusaha agar diberi kekuatan supaya tidak melakukan perkara yang dilarang agama,” luah Fathia.

Ditebak persoalan, sama ada terlintas dalam hatinya untuk kembali ‘memakai’ imej lama disebabkan faktor sekeliling, Fathia pantas menggelengkan kepala. Dia berhujah dalam nada merendah diri.

Jaga batasan

“Ramai yang memberikan kritikan hanya disebabkan mereka rasa cara saya tidak melambangkan gaya hidup wanita berhijab. Bagi saya mudah sahaja, saya tidak boleh selalu memuaskan hati semua orang.


“Selagi saya berada dalam bidang hiburan, saya tidak boleh lari ke mana. Saya sudah semakin masak dengan kritikan khalayak. Kalau mereka mengkritik dengan cara baik, saya akan mendengarnya. Kalau kritik tanpa fikiran waras, saya abaikan sahaja.

“Sejujurnya, susah mahu istiqamah. Ada masanya, saya rasa seperti ingin mengalah tetapi Tuhan kuatkan hati saya. Alhamdulillah, sehingga kini, saya diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan dengan baik,” katanya yang bakal muncul dengan drama terbaharu berjudul Menanti Februari mengisi slot Samarinda TV3 tidak lama lagi.

Dalam soal pergaulan pula, Fathia tidak pernah menjauhkan diri daripada rakan-rakan lama hanya kerana sudah berhijab. Berhijab bukan alasan memutuskan persahabatan dengan sesiapa.

“Saya sayangkan rakan-rakan. Apabila orang kata saya akan buka tudung kerana berkawan dengan golongan yang tidak berhijab, itu adalah perkara yang tidak berasas.

“Saya melepak dengan rakan-rakan tidak bertudung bukan bermakna saya buat perkara yang tidak senonoh. Segalanya terletak pada diri sendiri. Bukan bermakna pergi ke majlis keraian, semua orang akan buat benda jahat,” tutur Fathia.

Mengulas tentang tawaran lakonan selepas setahun berhijab, heroin filem Darah Panas itu bersyukur kerana rezekinya sentiasa terbuka luas, malah semakin bertambah.

Jodoh

“Semasa mula-mula bertudung, fikiran saya agak tepu. Macam-macam perkara menjadi kerisauan seperti mampukah saya bahagikan masa antara ibadah dan kerja atau bagaimana saya ingin mengelak daripada bersentuhan dengan pelakon lelaki.

“Lama-kelamaan saya sedar yang urusan itu telah dipermudahkan Tuhan dan saya harus berubah secara perlahan-lahan. Islam itu mudah, saya akan berusaha sedikit demi sedikit,” ulasnya.

Apabila diajukan soalan berhubung jodoh, Fathia tersenyum seketika seperti ada sesuatu yang ingin dikongsikan.

Dia mengakui, sedang mengenali hati budi seseorang namun tidak mahu terlalu memperincikan perkara tersebut memandangkan segalanya masih samar-samar.

“Saya akui sedang mengenali hati budi seorang lelaki. Dia juga dalam kalangan orang industri. Ada juga beberapa kali kami keluar bersama namun semuanya masih terlalu awal untuk diperkatakan secara terbuka.

“Buat masa sekarang, memang saya masih tiada lelaki istimewa dalam hidup tetapi saya bersedia menerima seorang lelaki untuk dijadikan teman istimewa andai dia benar-benar jujur dan sudi menerima saya seadanya,” kongsi Fathia enggan mendedahkan identiti sebenar jejaka yang sedang ingin menerokai hatinya itu.

Tambah Fathia lagi, dia menyerahkan soal jodoh ke tangan Tuhan namun dalam masa sama cukup sedar harus menjaga keperibadian jika mahu dikurniakan jodoh paling tepat sebagai pemimpin.

“Tahun ini saya akan menginjak usia 30 tahun, rasa bersalah juga apabila orang semua sudah berkahwin tetapi saya masih lagi solo (ketawa). Insya-Allah, doakan sahaja yang baik-baik,” katanya.

Mengulas tentang bekas teman lelakinya, Aiman Hakim yang ada membuat pendedahan masih menyayangi dirinya walaupun sudah lama berpisah, Fathia berkata, dia juga menyayangi aktor itu tetapi hanya sebagai kawan.

“Kami ada berhubung namun tetap dalam ruang persahabatan, tidak lebih daripada itu. Tidak elok kalau saya kata, sudah serik untuk bercinta. Ia seperti meletakkan salah 100 peratus kepada orang yang pernah saya sayangi. Apa yang berlaku, biarlah berlaku,” ujar Fathia mengakhiri perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post