Dua Kali Jadi Ibu Tunggal Tidak Beri Dira Tekanan



Pelakon dan pengarah Dira Abu Zahar berkata status ibu tunggal yang dilalui buat kali kedua langsung tidak memberikan tekanan atau kesulitan dalam kehidupannya kini.

Malah, pelakon berusia 33 tahun ini mengakui, rutin seharian sama ada untuk urusan peribadi atau kerja berjalan lancar seperti sedia kala.

"Rasanya tiada apa nak ulas lanjut tentang perceraian saya. Semua pun sudah tahu. Malah, kami pun berpisah secara baik, tidak bergaduh atau bermusuhan.

"Saya masih kekal bersahabat baik dengan bekas suami (pengarah Helmi Yusof). Malah, hubungan saya dengan bekas suami pertama (Ash Bau) pun baik. Jadi kehidupan saya sekarang berjalan dengan lancar dan stabil.

"Saya okey saja sebab Anggun (anak) mempunyai dua bapa. Buat masa ini saya selesa dan senang dengan kehidupan solo ini dan hanya perlu fokus pada anak dan kerja," katanya kepada mStar Online.

Dira atau Khaidirah Abu Zahar bercerai dengan pengarah filem Bikers Kental (2013) selepas Aidilfitri tahun lalu difahamkan berpunca daripada konflik dalaman yang berpanjangan membabitkan penajaan filem tersebut.

Pasangan yang diijab kabulkan pada 11 November 2011 itu tidak dikurniakan anak.


Dira bersara daripada dunia lakonan dan memberi tumpuan kepada kerja dibelakang tabir.

Terdahulu, Dira pernah berkahwin dengan vokalis kumpulan Bau iaitu Ash atau Tengku Shafriz-Rullah Tengku Shahid pada 2007 sehingga 2010 dan memiliki seorang anak perempuan, Tengku Anggun Deandra Tengku Shafriz-Rullah yang kini berusia sembilan tahun.

Tambah Dira, kehidupannya kini juga lebih teratur kerana dapat memberikan tumpuan penuh membesarkan anaknya sejak mengumumkan persaraan daripada bidang lakonan, baru-baru ini.

"Keputusan itu (berhenti berlakon) bukan disebabkan merajuk, kecewa atau bosan. Cuma ia adalah waktu yang sesuai dan tepat untuk mengembangkan potensi pada cabang lain iaitu pengarahan dan politik.

"Masa saya juga lebih terancang dan tidak perlu terkejar-kejar ke lokasi kerana komitmen lakonan. Sebagai pengarah, saya dapat buat persiapan rapi dan tidak perlu kelam-kabut dan begitu juga dunia politik yang baru saya ceburi ini.

"Selebihnya waktu saya dapat ditumpukan untuk diri sendiri dan anak saja. Keadaan itu membahagiakan saya sekarang sebab hidup solo," katanya yang memenangi Pengarah Terbaik (telefilem Redhaku Untukmu) di Anugerah Kaseh Tribute P. Ramlee 2017, awal bulan ini.

Katanya yang sudah mengarahkan kira-kira 10 telefilem, dia akan kembali ke kerusi pengarah selepas Hari Raya nanti menerusi telefilem Spagetti Kuah Kacang untuk Astro.

Terbaru, filem terakhir lakonannya berjudul Kimchi Untuk Awak arahan Michael Ang akan ditayangkan pada 30 Mac ini.
Ia turut dibintangi antaranya Aiman Hakim Redza, Janna Nick, Emma Maembong, Ku Hariz, Normah Damanhuri dan Sharifah Sakinah

Post a Comment

Previous Post Next Post