Penyanyi dan penulis lagu, Awi Rafael berkata faktor pengalaman hidup yang penuh ranjau dilaluinya banyak mengajar dia menjadi manusia yang lebih baik.
Karyawan dari Singapura itu berkata, peningkatan dalam kerjaya sejak kebelakangan ini dan insiden kemalangan jalan raya yang dialami pada tahun lalu membuka matanya untuk berubah ke arah kebaikan.
"Saya memang banyak buat silap dalam tingkah-laku dan sikap dengan orang sekeliling sebelum ini tapi saya masih mendapat pelbagai peluang dalam bidang muzik dan diterima dengan baik.
"Saya juga pernah diuji dengan insiden kemalangan jalan raya tahun lalu namun saya terselamat. Malah saya terus mengecapi pelbagai kejayaan dan peluang lebih besar.
"Tahun ini juga bermula dengan baik untuk saya apabila dua buah lagu, Kau Di Hatiku dan Ada JalanNya juga diterima oleh masyarakat. Perkara-perkara ini menyedarkan saya betapa kerdilnya diri ini," katanya kepada mStar Online.
Awi atau Muhammad Namawi Ewan bin Gunawan Rafael, 31, atas pelbagai peluang yang diberikanNya, dia berharap dapat berdakwah menerusi karya muzik kepada umum.
Katanya, bukan dia bermaksud untuk tampil terlalu ekstrem dalam perubahan itu namun ia diharap dapat memberikan kebaikan dan manfaat kepada semua.
"Sebenarnya, sejak tahun lalu lagi melalui lagu Manusia Sempurna (duet bersama Ayai Ilusi) saya cuba berkongsi rasa dan kebaikan dengan pendengar.
"Saya mahu menjadi manusia yang lebih baik berdasarkan rasa dan pemerhatian saya pada persekitaran ini. Intipati lagu yang bermakna adalah keutamaan saya dalam berkarya sekarang," katanya.
Awi kini sibuk dengan promosi lagu Ada JalanNya yang berduet dengan Kaka Azraff. Mereka juga kini menjalani penggambaran muzik video lagu tersebut.