WALAUPUN hanya berkenalan rapat selama tiga bulan, Hafiz yakin keputusannya untuk menikahi Joy adalah satu tindakan yang tepat.
Bertemu dan berkenalan dalam tempoh kurang daripada tiga bulan tidak menjadi halangan buat penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun untuk menyunting bakal suri hatinya, Siti Arifah Amin atau lebih mesra dipanggil Joy Revfa.
Pertama kali bertentang mata pada satu majlis makan malam di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, Selangor penghujung Januari lalu, detik itu telah membuka hati Hafiz untuk berkenalan lebih rapat dengan Joy.
Sejak itu, mereka hanya berjumpa beberapa kali sambil ditemani keluarga. Selebihnya, hubungan tersebut diteruskan menerusi panggilan telefon sepanjang tempoh dua bulan berkawan, sebelum pelantun lagu Jodoh Berdua itu nekad melamar bakal isterinya.
Biarpun menyedari Joy, 30, berstatus janda yang memiliki seorang anak lelaki, Arryan Firdaus, 3, hasil pernikahan terdahulu, ia langsung tidak mengubah keputusan yang dibuat oleh Hafiz.
“Saya sedar ramai mempersoalkan mengapa majlis pertunangan serta pernikahan kami dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa, tetapi jika ia benda baik, saya kira tidak salah dipercepatkan.
“Saya pernah bercinta bertahun-tahun, tetapi hajat untuk berkahwin tetap juga tidak tertunai. Sekarang, apabila sudah sampai jodoh, mengapa perlu ditangguhkan,” ujar Hafiz ketika ditemui selepas majlis pertunangannya di The Venue, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Dalam pada itu, bekas anggota kumpulan nasyid UNIC ini turut menyangkal dakwaan dia memilih Joy sebagai bakal isteri kerana harta serta kecantikan wanita berkenaan.
Bukan sebab harta
Hal ini kerana dalam kalangan usahawan produk kecantikan, produk keluaran Joy di bawah jenama Merve disifatkan sebagai berjaya.
Jelas lelaki berusia 33 tahun itu, dia dan Joy masing-masing mempunyai perniagaan sendiri dan tiada istilah menumpang kekayaan apabila mereka bersetuju untuk mendirikan rumah tangga.
Ibu Hafiz Hamidun, Laila Sarji (kiri) menyarungkan cincin pertunangan di jari manis Joy sambil diperhatikan ibu wanita itu, Sofea Abbas.
“Saya jatuh hati pada Joy kerana sifat keibuan serta kekentalan semangatnya sewaktu mengasaskan produk kecantikan Merve selepas bercerai dengan bekas suaminya.
“Walaupun ramai yang cuba mempengaruhi fikiran saya dengan membongkar kisah-kisah lama bakal isteri, saya tidak tergugat. Hal ini kerana saya mengenali Joy yang sekarang dan tidak mahu menghakimi masa lampaunya,” tegasnya lagi.
Sementara itu, majlis pertunangan Hafiz dan Joy berlangsung secara sederhana sambil disaksikan keluarga kedua-dua belah pihak serta disempurnakan oleh ibu Hafiz, Laila Sarji yang menyarung cincin pertunangan di jari manis bakal menantunya.
Trauma
Joy yang turut ditemu bual media memberitahu, pintu hatinya terbuka untuk mendirikan rumah tangga sekali lagi selepas melihat kesungguhan Hafiz untuk membimbingnya ke jalan yang lebih baik.
Kata Joy, dia melihat ciri-ciri seorang ketua keluarga dan bapa yang baik dalam diri Hafiz.
Tidak melihat Hafiz sebagai seorang selebriti, hati wanita itu juga tersentuh dengan kemesraan yang terjalin antara Hafiz dan anaknya.
“Hafiz pandai melayan Arryan dan dia langsung tidak berasa kekok walaupun tidak pernah bergelar seorang bapa. Bagi saya, apabila anak boleh menerima bakal suami, itu sudah cukup memadai.
“Walaupun pada mulanya agak trauma untuk bernikah lagi, tetapi sejak mengenali Hafiz, saya dapat rasakan dia berbeza daripada lelaki yang pernah dikenali sebelum ini. Dia adalah pilihan terbaik buat saya dan anak,” katanya yang sudah bercerai dengan bekas suami hampir dua tahun lalu.
Mengulas tentang kritikan peminat Hafiz yang berasa dia tidak layak untuk menjadi isteri penyanyi nasyid itu, Joy berkata dia tiada masalah dengan pendapat orang lain.
Tambahnya lagi, apa yang penting ialah mereka lebih mengenali hati budi masing-masing.
“Hafiz sering menasihati saya untuk pandang ke hadapan dan sentiasa cuba menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Mungkin kerana penampilan saya tidak seperti ustazah, maka peminatnya agak tidak selesa. Namun begitu, saya sedang cuba berubah perlahan-lahan.
“Istiqamah itu bukan sesuatu yang mudah dan saya yakin dengan kehadiran Hafiz sebagai suami kelak mampu untuk mendidik saya menjadi Muslimah yang lebih baik seperti yang dituntut agama,” ujarnya sambil tersenyum.