Aiman Hakim selesa berlakon filem



WALAUPUN filem pertama lakonannya, Kimchi Untuk Awak (KUA) belum ditayangkan, Aiman Hakim Ridza mengakui selesa untuk fokus kepada pembikinan filem selepas ini.

Bahkan, pelakon berusia 28 tahun ini mendedahkan itulah impiannya sejak menceburi industri hiburan tujuh tahun lalu.

“Sebenarnya, impian saya nak berlakon filem.

“Tapi, saya faham, bukan senang untuk mendapatkan peluang itu. Jadi, saya perlu bersabar.

“Insya-ALLAH, jika ada rezeki, saya mahu ke arah lakonan filem,” katanya pada Media Hiburan.

Mengulas lanjut, katanya, berlakon filem membawa kepada ‘permainan’ yang lebih besar.

“Berlakon filem mewujudkan banyak pergerakan sekali gus membentuk pelbagai karakter,” katanya.

Bagaimanapun, bintang drama Vanila Coklat ini juga tidak mahu lebih berfokus kepada genre semata-mata sebaliknya melihat kepada karakter.

“Bagi saya, tak kiralah filem atau drama, karakter memainkan peranan penting.

“Kalau saya dapat membentuk karakter, ia sekali gus akan develop skills saya.

“Saya sebenarnya tercari-cari karakter orang awam sekali gus mencabar kredibiliti berlakon. Bagi saya, ia sesuatu yang menarik.

“Saya juga mahu membawa pelbagai watak lain selain romantik komedi. Saya yakin saya mampu menjiwainya,” katanya.



Fokus jalan cerita

Dalam pada itu, Aiman mengakui selesa disatukan semula dengan Emma Maembong menerusi filem KUA yang menjadi gandingan ketiga mereka selepas drama bersiri Projek Memikat Suami dan Isteri Separuh Masa.

“Kami tiada masalah kerana sudah beberapa kali berlakon bersama walaupun ini adalah filem pertama kami," katanya yang banyak berkongsi ilmu bersama pelakon senior.

Pada masa sama, Aiman juga meminta penonton memberi tumpuan kepada jalan cerita yang mahu disampaikan berbanding babak aksi terlebih mesra di antara dia dan Emma.

“Isu aksi terlebih mesra atau babak romantik itu perlulah dihentikan sebaliknya cuba hargai sesebuah filem itu dengan cara sepatutnya.

“Apa yang penting, jalan ceritanya bagus dan ada pengajaran yang mahu disampaikan.

“Kimchi Untuk Awak adalah sebuah filem romantik komedi ringan dan Insya-ALLAH penonton akan terhibur,” katanya.

Malah, Aiman mengakui melakukan adegan itu kerana menghormati jalan cerita yang mahu disampaikan pengarah.

"Saya tak boleh berpura-pura atau menjadi hipokrit.

"Apa yang saya lakukan dalam filem ini hadir daripada keikhlasan hati sebagai pelakon. Dan... saya juga melihatnya dari sudut seni selain menghormati skrip serta apa yang dipaparkan hanyalah lakonan," katanya.

Selain Aiman dan Emma, Kimchi Untuk Awak turut menampilkan barisan pelakon popular seperti Janna Nick, Dira Abu Zahar, Normah Damanhuri dan Annuar Chew.

Filem terbitan Astro Shaw dan Darkwave Pictures ini akan menemui penonton bermula 30 Mac ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post