Siti Saleha demand sesuai hasil kerja


MENGIKAT tali pertunangan bersama Lutfi Azhar pada November tahun lalu, Saleha dan Lufti bakal berkahwin pada tahun ini.

TIDAK dinafikan, aktres jelita Siti Saleha antara pelakon wanita yang bijak menjiwai watak dalam lakonan. Beri apa sahaja watak sama ada antagonis atau protagonis, ia akan digalas sebaik mungkin olehnya.

Memegang watak sebagai Mia dalam drama popular 7 Hari Mencintaiku, seorang wanita bandar yang angkuh dan sombong tetapi terpaksa berkahwin dengan Khusairi, seorang lelaki kampung selepas tunangnya melarikan diri ketika majlis perkahwinan menuntut Siti Saleha menerima kecaman daripada peminat.

Hasil lakonan berkesannya dalam drama fenomena tersebut, pelakon kelahiran Klang, Selangor itu tidak menolak andai diberikan watak seumpama itu pada masa hadapan.

“Saya tidak akan berhenti untuk menerima watak sebegini, biarpun dikecam. Hal ini kerana ia benar-benar memberi kesan kepada lakonan saya. Dibenci pada awalnya tetapi disayangi pada akhir cerita memberi kelegaan sebab itu tandanya lakonan saya berbekas dalam hati penonton,” ujarnya ketika ditemui pada majlis kesyukuran kejayaan drama tersebut dan lagu Lelaki Teragung di Hotel Royal, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ujar Saleha, bagaimanapun bukan mudah untuk mengekalkan karier pada aras yang sama, sementelah perlu bersaing dengan banyak bakat baharu. Berkongsi bagaimana dirinya mengekalkan momentum, Saleha berkata, salah satu cara yang diamalkannya sejak dulu adalah perlu mengimbangi kekerapan muncul di kaca televisyen.

“Kadang-kadang tidak perlu untuk kerap muncul dengan drama di kaca televisyen, sebaliknya sebagai seorang pelakon kita kena tahu apa yang diri sendiri mahu dan mampu buat.

“Malah, perkara paling penting ialah jangan pernah hilang dari industri. Perlu bijak untuk menguruskan karier dan hidup supaya walaupun tidak banyak berlakon tetapi kita dapat kekalkan kewujudan dalam industri seni,” ujar pelakon itu mesra.

Tambahnya lagi, sebagai seorang pelakon yang sudah lama berkecimpung dalam dunia hiburan, bergelar anak seni tidak menjanjikan kesenangan hidup dengan cara mudah.

Selektif

Pernah melalui jerih perih dalam industri, Saleha menekankan, perlu untuk bersikap demand dalam soal bayaran asalkan ia wajar dan kena dengan ‘nilai’ diri sendiri.

“Sebagai pelakon, perlu tahu harga pasaran lebih-lebih lagi apabila sudah lama dalam industri. Saya bukan mengajar untuk menjadi demand, tetapi ia perlu supaya orang tidak pijak kepala dengan memberi bayaran tidak setimpal.

“Walaupun kedengaran seperti perkara buruk tetapi tidak semua berkaitan soal demand ada unsur negatif. Kalau bijak menggunakannya, ia memberi kebaikan kepada diri,” jelasnya yang sudah lapan tahun bergelar anak seni.

Pelakon berusia 27 tahun itu berkata, pemilihan karakter, skrip dan pengarah sangat penting dalam menentukan turun naik karier seseorang pelakon.

“Kalau mahu menerima sesuatu tawaran, tidak boleh main ambil sahaja. Paling penting, perlu nilai apa jenis karakter yang ditawarkan. Selain itu, penulisan skrip sangat memainkan peranan kerana ia mampu mencantikkan lagi gaya lakonan di dalam drama,” katanya.

Mengulas tentang perkembangan terkininya, adik kepada vokalis Bunkface, Sam itu berkata, buat masa sekarang dia terlibat dengan beberapa buah telemovie selain bakal membintangi sebuah filem tidak lama lagi.

Sementara itu, berbicara ringkas mengenai fasa pertunangannya bersama Lufti Azhar, aktres filem Langit Cinta itu mengesahkan akan mendirikan rumah tangga pada tahun ini tetapi belum bersedia untuk berkongsi tarikh hari bahagianya.

Post a Comment

Previous Post Next Post