Ella rancang pelbagai agenda


BIARPUN sudah tiga dekad dalam industri seni, penyanyi rock kesayangan ramai, Ella masih unggul di kedudukannya tersendiri sehingga ke hari ini dan menjadi pilihan peminat pelbagai generasi.

Mengakui terharu dengan sokongan peminat, Ella atau nama lengkapnya, Norzila Aminudin merancang pelbagai aktiviti sempena meraikan 30 tahun penglibatannya dalam bidang seni.

“Alhamdulillah Ella bertuah kerana mempunyai peminat yang sentiasa menyokong dan mengikuti perkembangan kerjaya Ella dari awal penglibatan sebagai penyanyi sehinggalah ke hari ini, tahun ke-30 Ella dalam industri.


“Ia merupakan satu tempoh yang panjang dan Ella sangat hargai kesetiaan mereka, malah ketika ini sedang merancang beberapa aktiviti untuk peminat sempena ulang tahun ke-30 ini.

“Insya-ALLAH, kalau semua berjalan lancar, Ella mahu hasilkan buku biografi yang akan merakamkan suka duka perjalanan Ella sebagai anak seni dan Ella dedikasikan buku ini buat peminat setia Ella,” ujarnya.

Selain penganjuran konsert yang turut ada dalam agenda, Ella juga bakal tampil dengan album terbarunya yang dijangka menemui peminat sekitar April ini.

“Album ini mengandungi lapan lagu dan ia sangat istimewa kerana melibatkan ramai komposer seperti Datuk M Nasir, Edrie Hashim dan Lord The Boys.

“Lagu ciptaan Lord bertajuk Peace Love Rindu merupakan salah satu daripada tiga single yang akan diketengahkan dalam album ini nanti,” kata Ella yang bakal mengadakan promosi jelajah di seluruh negara untuk bertemu peminat sempena album baru ini.

Melihat kesungguhannya, jelas terlihat semangat Ella yang tidak pernah berkurang untuk terus menyumbang kepada industri seni.

“Ella tak tahu sampai bila akan terus menyanyi dan tidak pernah meletakkan target atau jangka masa tertentu dalam kerjaya seni Ella, cuma apa yang Ella boleh katakan buat ketika ini selagi peminat menerima Ella, insya-ALLAH Ella akan berada di sini.

“Lebih penting juga, suami Ella, Kapten Azhar tidak pernah menghalang, sebaliknya sentiasa memberikan sokongan kepada Ella untuk buat apa yang Ella minat terutama dalam bidang seni ini.

“Bagaimanapun, ia bukan lagi menjadi keutamaan seperti dulu kerana kini tumpuan Ella turut terbagi kepada bidang perniagaan dan semestinya kehidupan peribadi bersama suami dan keluarga,” ujarnya yang kini sentiasa ditemani suami ke mana sahaja dia pergi.

Beri peluang peminat reka tudung

Ella yang sehingga kini menerima jolokan Ratu Rock negara ini menyifatkan perjalanan kerjaya seninya selama 30 tahun ini sebagai sangat manis dan penuh warna-warni.

“Ella rasa sangat bersyukur kerana masih mampu untuk kekal dalam industri sehingga ke hari ini.

“Bila ada yang tanya bagaimana Ella boleh berada dalam industri selama tempoh ini, jujurnya Ella tidak tahu nak jawab apa.

“Ella hanya ikhlas dalam kerja dan paling penting menjadi diri sendiri dan serius dengan apa yang kita perjuangkan sebagai anak seni,” luahnya penuh makna.

Dalam perkembangan lain, Ella melancarkan misi pencarian pereka tudung menerusi kempen Ella Rasa... Ella Nak Cari Designer Shawl bagi beri peluang kepada peminat menyumbang idea dalam rekaan tudung yang bakal digayakannya selepas ini.

“Walaupun sudah bertudung sejak tahun lalu, Ella masih lagi tercari-cari gaya pemakaian tudung sesuai dengan imej dan personaliti Ella.

“Jadi menerusi kempen ini Ella mahu memberi peluang kepada peminat untuk mereka gaya tudung yang mereka fikirkan sesuai untuk Ella mengikut tiga kategori yang telah kita tetapkan iaitu Aidilfitri, kasual dan rock & roll,” jelasnya ketika di temui pada majlis pelancaran kempen Ella Rasa... Ella Nak Cari Designer Shawl, baru-baru ini.

Menurut Ella, idea kempen ini tercetus apabila menerima banyak komen peminat menerusi media sosial tentang pemakaian tudungnya sebelum ini.

“Sejak pakai tudung, macam-macam komen Ella terima sama ada yang positif mahupun negatif dan tidak kurang juga yang bagi cadangan tentang pemakaian gaya tudung yang sesuai untuk Ella.

“Jadi Ella rasa, mengapa tidak Ella berikan mereka peluang reka gaya tudung yang difikirkan sesuai untuk Ella dan rekaan peminat bertuah yang memenangi pertandingan itu akan dikeluarkan di bawah label Inai by Ella,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post