Cinta kedua Kaka Azraff


SELEPAS muncul naib juara Duo Star bersama pasangan duetnya, Awi Rafael bulan lalu, perjalanan seni Nor Atiqa Noor Azraff atau nama komersialnya, Kaka Azraff diakui semakin bersinar.

Sinonim dengan imej segar dan fashionable, bintang ini kekal antara penyanyi pelapis yang cukup besar bakat dan kredibilitinya. Lalu apabila berbicara mengenai isu seni, Kaka mengakui tidak mahu statik dengan apa yang dilakukan sekarang.

Sebaliknya, dia mahu cabar diri, seterusnya mencuba cabang seni yang lain seperti berlakon.

“Sejak terjun dalam dunia seni lebih lima tahun lalu, saya tidak pernah meletakkan sasaran untuk kekal menjadi penyanyi. Ya, menyanyi itu adalah keutamaan, tetapi saya seorang yang suka mencuba.

“Mahu explore perkara baru, contohnya dalam perniagaan dan lakonan. Lagipun, sebelum ni saya keluarkan haruman sendiri iaitu Kreiz by Kaka Azraff dan Alhamdulillah, sambutannya begitu menggalakkan.

“Pada masa sama, saya mencuba nasib berlakon. Lakonan terawal saya menerusi tiga buah filem iaitu Aliff Dalam 7 Dimensi, Cinta Paradoks dan Interchange.

“Dalam filem Aliff Dalam 7 Dimensi dan Interchange, saya hanya pegang watak ekstra saja. Sementara untuk Cinta Paradoks, saya pegang watak utama di samping aktor Josiah Hogan.

“Filem tersebut mungkin ditayangkan tahun ini meskipun penggambarannya sudah dijalankan lebih tiga tahun lalu. Kemudian, saya bakal muncul dalam telemovie berjudul Kesempatan Kedua yang akan ditayangkan pada April depan di TV3 bersama Izzue Islam.

“Sudah pasti ini pengalaman menyeronokkan, meski berlakon merupakan sesuatu yang mencabar bagi diri saya. Tambah pula, dalam drama tersebut, watak yang saya pegang agak berat.

“Banyak babak menangis. Jadi untuk dapat feel, saya akan kenang kembali saat-saat sukar bergelar penyanyi,” katanya berseloroh.

Bercerita tentang Izzue pula, Kaka memuji lakonan pelakon yang juga ahli kumpulan Forteen itu.

Syukur, semuanya berjalan lancar seperti yang diharapkan. Tidak sabar melihat sejauh mana penerimaan peminat terhadap lakonan saya.

"Apa pun, saya masih lagi belajar untuk menjadi pelakon yang baik dan harap penggiat filem dan drama boleh terima saya” kata selebriti yang dilahirkan pada Mei 1989 ini sambil mengakui, lakonan ibaratnya sudah boleh dianggap sebagai ‘cintanya’ yang kedua selepas nyanyian.

Bakal keluarkan album

Berkongsi perkembangan seni suaranya pula, Kaka yang terkenal dengan lagu Bukan Hal Aku duet bersama Sleeq memberitahu, dia kini sedang gigih menyiapkan album solo.

“Insya-ALLAH mengikut perancangan, akan dilancarkan tahun ini. Harap dapat direalisasikan. Selepas tamat Duo Star, saya kini sibuk di studio untuk merakam lagu.

“Setakat ini beberapa buah lagu sudah pun dirakam dan saya juga teruja dengan pembikinan album di samping beberapa projek lain.

“Misalnya sebuah showcase istimewa saya bersama Awi yang mungkin akan diadakan di dua buah lokasi iaitu Kuala Lumpur dan Singapura, Insya-ALLAH,” terang Kaka yang turut memberi bayangan bahawa ada penyanyi lain yang akan menjadi rakan duetnya dalam album itu nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post