Harapan terbentang Salma


IKAT - Selepas menjuarai program 3 Juara dan menjadi anak didik Ajai, Salma kini bernaung bawah syarikat komposer tersebut, Wake The Baby.

BENARLAH bahawa setiap kesabaran, ketabahan dan kesungguhan yang bersulam usaha akan membuahkan hikmah. Kini permaidani harapan kembali terhampar, tinggal lagi dia menetapkan matlamat untuk sampai ke hujung pencarian. Di depannya kini tersergam segunung anugerah yang tidak mahu dipersia-siakan.

Selepas merangkul gelaran juara menerusi program realiti nyanyian 3 Juara, Salma kini teruja menghitung hari menantikan karya terbaharu miliknya dilancarkan.

Mengakui bagaikan mimpi bertukar menjadi kenyataan, ujar Salma, single balada berjudul Akhirnya, Cinta yang bakal keluar sekitar Mac itu mendapat sentuhan daripada mentornya, Ajai.

“Sejak dahulu lagi saya sudah memasang impian untuk bekerjasama dengan Ajai. Alhamdulillah, rezeki menyertai pentas 3 Juara membuka laluan mudah untuk saya merealisasikan impian selama ini.

“Single Akhirnya, Cinta sudah siap dirakamkan cuma menunggu proses suntingan akhir. Walaupun berdebar, namun saya harap peminat dapat menerima kehadiran single ini kerana ia mengisahkan tentang sebuah percintaan yang dekat dengan hati pendengar,” ujarnya ketika ditemui di Majlis Aqiqah dan Kesyukuran puteri bongsunya, Andi Raisya di Klang, baru-baru ini.

Berkongsi perancangan yang telah diatur selepas pentas 3 Juara melabuhkan tirai pada Januari lalu, ujar Salma atau nama sebenarnya, Salmah A. Aris, dia kini bernaung bawah syarikat rakaman milik Ajai, Wake The Baby Record.

Wanita berusia 27 tahun yang pernah menjadi juara dalam pertandingan Mentor musim kelima (Mentor 5) pada 2011 itu memberitahu, dia mengikat perjanjian selama tiga tahun dengan syarikat tersebut.

“Selepas menjadi juara Mentor, saya selesa bergerak sendiri. Namun, kemenangan di pentas 3 Juara bagaikan peluang kedua buat saya. Jadi rasanya perlu untuk saya bergerak bersama syarikat pengurusan.

“Pelbagai perkara telah kami bincangkan antaranya adalah melahirkan sebuah album baharu. Jika bukan sebuah album penuh, ia mungkin album mini yang mengandungi lima buah lagu berkonsepkan balada,” katanya.

Tidak putus asa

Menyedari perjalanan seni dirinya tidak semudah penyanyi lain, ternyata wanita kelahiran Tawau, Sabah itu tidak pernah mengenal erti putus asa.

Diasak pertanyaan apakah yang membuatkan dirinya tidak jemu membina nama biarpun tanpa banyak percikan populariti dan publisiti, Salma melempar senyuman bersahaja.

Baginya, minat dalam dunia nyanyian yang disemai sejak kecil membuatkan semangat meneruskan impian bergelar penyanyi tidak pernah terpadam.

“Saya tahu selepas Mentor 5 tamat, nama saya bagaikan lenyap dalam industri. Sebenarnya saya masih menyanyi tetapi banyak mendapat undangan nyanyian untuk syarikat korporat.

“Perjalanan seni saya memang agak sukar berbanding rakan lain. Biarpun beberapa kali ditipu oleh pihak penganjur, namun perkara itu sedikit pun tidak menghalang saya untuk meneruskan minat.

“Saya percayakan rezeki. Misalnya, jika perancangan A tidak berjaya, saya akan cuba perancangan B, C dan seterusnya tanpa pernah merasa jemu,” terangnya yang sebelum ini bergelar protege kepada Erra Fazira menerusi Mentor 5.

Menyentuh soal keluarga pula, tambah isteri kepada bekas peserta Akademi Fantasia musim kesembilan, Azri, dia beruntung kerana mempunyai suami yang bekerja dalam bidang sama.

“Suami banyak membantu dalam mengatur kerjaya saya. Dia bagaikan pengurus saya terutamanya apabila tawaran nyanyian datang. Pendek kata, dia tahu apa yang patut dilakukan kerana kami dalam bidang yang sama.

“Anak-anak pula memang sangat memahami. Anak sulung saya, Putri Nurul Huda sudah berusia 10 tahun, manakala anak kedua Khairul Anuar dan Andy Raisha pula masing-masing berusia lima dan setahun empat bulan. Ketika kami keluar bekerja, ibu mertua saya yang bantu menjaga mereka,” ujarnya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post