Nur Cahaya hadiah Mamat buat peminat


MAMAT yang kini menetap di Johor Bahru membuat sebuah persembahan bertenaga di Hard Rock Cafe Melaka baru-baru ini, sekali gus membuktikan kehebatannya sebagai penyanyi.

NAMA Mamat Exist bukan lagi asing dalam kalangan peminat muzik tempatan. Jika dihitung, pemilik nama lengkap Mohd. Ali Kamarudin itu sudah 26 tahun bergelar penyanyi.

Dalam tempoh tersebut, Mamat yang mula menyanyi ketika berusia 12 tahun pernah beberapa kali menyepi selepas melalui fasa-fasa sukar termasuk dikaitkan dengan pengambilan najis dadah. Bagaimanapun masalah tersebut tidak pernah membunuh kariernya sebagai penyanyi.

Selepas kali terakhir muncul dalam program Gegar Vaganza pada tahun 2015, jejak Mamat seperti hilang.

Realitinya, tanpa publisiti media, dia masih ligat mengadakan persembahan di seluruh negara.

Terkini, Mamat muncul dengan showcase di pentas Hard Rock Cafe Melaka pada 11 Februari lalu.

Pada persembahan selama tiga jam bermula pukul 4 petang itu, Mamat yang diiringi oleh pemuzik Josh The Band dari Radio Televisyen Malaysia (RTM), Johor Bahru mendendangkan sebanyak 16 buah lagu.

Membuka tirai dengan lagu Aleeya Maisara, lelaki berusia 38 tahun itu mendapat tepukan yang gemuruh daripada penonton sekali gus membuktikan dia tidak pernah lenyap dalam hati peminat-peminatnya.

Melonjak nama menerusi lagu Untukmu Ibu, penyanyi yang berasal dari Johor Bahru itu membuktikan piawaiannya sebagai penyanyi lelaki yang memiliki vokal hebat. Hal itu dibuktikan menerusi untaian hit dendangannya seperti Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan, Nota Di Lautan Sepi, Anugerah dan Hanya Engkau Kekasih.

Selain menampilkan lagu-lagu popular ketika bersama Exist, bapa kepada tiga cahaya mata itu turut menyampaikan lagu Dealova, Seminit Bagiku, You Give Love A Bad Name dan Still Got The Blues dengan penuh penghayatan.

Bagi menghargai kehadiran peminat, Mamat yang kelihatan sedikit berisi turut menjemput penonton ke pentas untuk bersama-sama mendendangkan hit Untukmu Ibu yang pernah menjulang namanya sekitar tahun 1990-an dulu.

Berpuas hati dengan persembahan dan sambutan yang diberi penonton, kata Mamat, showcase tersebut menyuntik semangat yang lebih tebal dalam dirinya untuk terus aktif menyanyi selain menyifatkannya sebagai pencapaian terbaik buatnya.

“Alhamdullillah saya melihat penonton seronok dan terhibur sepanjang persembahan. Sebelum ini saya tidak pernah menyanyi sehingga berbelas lagu bagi satu-satu persembahan dan ini adalah (pencapaian) kali pertama sepanjang karier saya,” ujarnya penuh teruja.

Lebih terharu, kata Mamat apabila ada peminat terus mengingati lagu-lagu lama dendangannya sedangkan kebanyakan lagu tersebut dirakam semasa mereka masih belum dilahirkan.

Nur Cahaya

“Setiap kali mengadakan persembahan saya akan mendendangkan lagu-lagu hit dari album terdahulu supaya ia menjadi malar segar. Alhamdulillah, lagu-lagu tersebut kini sudah sinonim dengan generasi baharu,” katanya yang kini menetap di Johor Bahru.

Menutup showcase tersebut, bekas vokalis kumpulan Exist itu mempersembahkan lagu terbaharunya, Nur Cahaya secara eksklusif buat penonton sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau selama ini.

Berkongsi mengenai perkembangan terkini, Mamat teruja bercerita mengenai single terbaharunya berjudul Nur Cahaya ciptaan Young The Buskers.

“Lagu tersebut masih dalam proses rakaman dan memerlukan sekurang-kurangnya sebulan untuk siap sepenuhnya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Malek Zabarjad dari Zabarjad Entertainment yang berusaha keras membantu menguruskan kerjaya saya termasuk penganjuran showcase ini,” katanya.

Menyentuh mengenai kumpulan Exist yang terdiri daripada Along, Ujang dan Musa, Mamat memberitahu mereka akan mengadakan persembahan bersama dalam tempoh terdekat namun hasrat itu mungkin ditangguhkan selepas gitaris mereka, Along patah tangan selepas terlibat dalam kemalangan baru-baru ini.

“Sebenarnya Exist sudah kembali bersama dan tengah tunggu ‘lampu hijau’ untuk bergabung semula namun rancangan ini mungkin perlu ditangguhkan kerana Along terlibat dalam kemalangan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post