Konotasi seni, adab Datuk Sheila Majid


AMPUH - Menjadi penyanyi untuk tempoh 33 tahun, aura Sheila sebagai penghibur yang disegani tidak pernah luntur.

AKRABNYA bidang muzik dengan Datuk Sheila Majid boleh diibaratkan seperti kelangsungan pengaliran oksigen dalam darah. Tidak dapat dilihat dengan pandangan mata kasar tetapi bersifat ‘menghidupkan’.

Tempoh 33 tahun mengakarkan jalinan seninya dalam industri hiburan bukanlah satu senggang masa yang singkat. Sepanjang tempoh tiga dekad tersebut, pelbagai pencapaian dan kejayaan telah dipotretkan kemas dalam helaian portfolio seninya.

Antara pencapaian yang membanggakan ialah penerbitan siri konsert berskala besar yang boleh dikatakan sinonim dengan kerjaya pemilik nama lengkap Shaheila Abdul Majid itu sebagai seorang penghibur.

Bermula dengan konsert Warna: Malaysian Tour dan Warna: Indonesian Tour pada 1988, beliau terus menyinar dengan beberapa persembahan mega seperti Ratu: The Concert & Nationwide Tour (1996), Sheila Majid Live In Singapore (1998), Sheila Majid’s 15th Year Anniversary at the Dewan Filharmonik (2000), Sheila Majid Live In Concert Los Angeles (2015) dan terbaharu, 30th Anniversary Concert Kerinduan Sheila Majid yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada tahun lalu.

Sungguhpun rekod seninya menunjukkan beliau begitu terkenal dengan persembahan berskala besar, namun, pelantun lagu Warna itu masih terbuka jika diminta untuk menghasilkan persembahan mini, terutama jika ia melibatkan para peminat.

“Kadang-kala, saya teringin untuk mengadakan persembahan mini di sekitar Kuala Lumpur. Cukuplah sekadar lapan lagu untuk peminat. Tetapi, lokasi-lokasi yang ada di sini tidak mengizinkan saya berbuat demikian.

“Hal ini kerana, saya sangat mementingkan kejituan sistem bunyi di sesebuah lokasi. Jika sistem bunyi yang ada tidak menepati piawaian, saya tidak akan sewenang-wenangnya bersetuju untuk membuat persembahan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelantikan sebagai duta kanta kaca mata jenama Hoya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut penerima Anugerah Wirama pada Anugerah Industri Muzik Ke-22 itu, tidak adil jika penganjur terlepas pandang mengenai kejituan sistem bunyi bagi sesebuah persembahan atau konsert memandangkan peminat yang hadir mengeluarkan wang untuk mendengar penyanyi kegemaran mereka menyanyi.

“Sistem audio yang baik dapat memberikan kepuasan kepada penonton yang hadir. Mereka datang untuk mendengar dan menikmati muzik, bukan persembahan tarian yang memerlukan sokongan visual dan dekorasi,” tegas beliau.

Asosiasi

Melanjutkan perbualan mengenai pemilihan lokasi, wanita berusia 51 tahun itu turut menyatakan rasa kecewa terhadap kekurangan dewan atau tempat yang dikhaskan untuk membuat persembahan mini.

“Sejak dahulu lagi, ramai penyanyi dan bakat-bakat baharu memilih untuk membuat persembahan mini di kelab malam kerana di sana mereka dapat menyanyi dalam persembahan berskala kecil. Disebabkan sentimen tersebut, muzik sering disalah ertikan sebagai satu cabang hiburan yang bersifat negatif.

“Jadi, saya sangat berharap agar lebih banyak dewan dan lokasi untuk persembahan muzik dibina agar persepsi tersebut dapat dihapuskan,” tuturnya yang sebelum ini kerap membuat persembahan di beberapa kelab malam popular di sekitar ibu kota.

Menurut Sheila lagi, tanggapan negatif khalayak terhadap muzik telah mengubah pemikiran dan komunikasi secara total sehingga menzahirkan sifat biadab dalam kalangan generasi muda.

“Muzik sepatutnya mampu melembutkan jiwa dan mengubah persekitaran kerana sifatnya yang halus. Apabila tiada kefahaman tentang muzik dan mesej di dalamnya, maka hilanglah rasa hormat terhadap orang di sekeliling,” katanya.

Duta


KERJASAMA - Sheila bersama Pengarah Urusan HOYA Malaysia dan Singapura, Edmund Song (kanan) dan Ketua Komersial HOYA, Lew Chee Quin (kiri) sempena pelantikannya sebagai duta lensa tersebut selama 15 bulan.

Diminta mengulas mengenai kenyataannya tentang kehilangan rasa hormat dalam kalangan kelompok muda, beliau tersenyum lalu tertawa kecil.

“Saya pernah berhadapan dengan sekumpulan remaja di lapangan terbang yang menegur saya secara kasar. Tanpa segan silu, mereka datang dan mencuit saya sambil bertanya benarkah saya Sheila Majid.

“Sejujurnya, saya berasa sangat terkejut dengan sikap yang ditonjolkan. Saya sudah berusia dan sebaya dengan ibu mereka. Sekurang-kurangnya, tunjukkanlah rasa hormat kerana ia merupakan budaya kita sebagai rakyat Malaysia,” ujarnya panjang lebar.

Tambah pelakon filem Ali Setan itu, mungkin mereka mahu menegurnya dalam nada gurauan, tetapi, ujar Sheila, tidak semua perkara boleh dijadikan bahan lawak.

“Sebagai orang Asia, kita dibesarkan dengan adab. Setiap agama juga tidak membenarkan penganutnya biadab dengan orang lain.

“Jangan memperkecilkan orang lain dan pilih perkataan yang sesuai ketika bercakap. Namun, jangan terlalu merendah diri sehingga mampu dipijak oleh orang lain,” pesannya.

Beralih kepada penglibatannya sebagai duta lensa kaca mata Hoya, Datuk Sheila Majid melahirkan rasa berbesar hati kerana diberi kepercayaan untuk begelar jurucakap jenama yang berasal dari Tokyo, Jepun itu.

“Sebenarnya, saya merupakan pengguna lensa Hoya sejak 10 tahun lalu. Pada waktu itu, saya tidak tahu tentang jenama ini dan hanya memilih untuk menggunakannya kerana kualiti yang ada pada lensanya.

“Tidak sangka pula selepas menggunakannya untuk tempoh masa yang agak lama, saya kini bergelar duta kepada jenama tersebut,” katanya yang mengikat kontrak bersama Hoya untuk tempoh 15 bulan.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan pelantikan tersebut sebagai medium terbaik menggalakkan orang ramai supaya menikmati kehidupan tanpa sebarang batasan.

“Kita terlalu bergantung kepada teknologi seperti kamera apabila mahu merakamkan momen indah yang dilalui sehari-hari.

“Namun, tanpa kita sedar, deria mata yang dikurniakan Allah ini lebih bermakna untuk menyimpan setiap kenangan yang ada,” ungkap Sheila menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post