Kemunculan semula To’Ki


Penyanyi yang cukup terkenal dengan lagu-lagu etnik, pop serta rock, To’Ki merindui lapangan seni selepas meyepi selama 10 tahun.

HAMPIR sedekad menyepi dalam dunia hiburan tanpa sebarang publisiti, penyanyi To’Ki mengakui rindu dengan kerjaya yang pernah melonjakkan namanya sekitar tahun 1990-an dahulu.

Popular dengan lagu-lagu berkonsep pop Melayu, etnik dan rock, pemilik nama lengkap Mohd. Zaki Mansur ini tidak lama lagi bakal muncul dengan buah tangan terbaharu berjudul Bayyati.

Tidak sabar mahu menemui peminat, pelantun lagu Hampa itu memberitahu single tersebut sedikit berlainan berbanding konsep terdahulu kerana ia lebih bersifat ketuhanan.

“Bayyati merupakan salah satu alunan bacaan al-Quran yang dibawakan secara bertarannum dan terkenal dalam kalangan qari atau qariah negara kita.

“Kemunculan single ini juga merupakan sebagai simbol kepada kebangkitan karier saya dalam bidang seni selepas 10 tahun tidak muncul dengan karya baharu,” katanya yang ditemui dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.

Pun begitu, kemunculan semula To’Ki bukanlah sebagai penyanyi solo tetapi secara berkumpulan. Keindahan single Bayyati itu nanti akan dialunkan bersama empat sahabatnya yang menggelarkan diri sebagai To’Ki & Family Members.

Mereka ialah Edy selaku pemain gitar, Norman (Bass), MJ (biola) dan seorang wanita bernama Azra (Tabla), manakala To’Ki selaku vokalis.

“Proses rakaman untuk lagu ini sudah siap sepenuhnya tetapi saya sedang menunggu proses suntingan akhir untuk video muzik pula. Bukan itu sahaja, gambar yang akan saya gunakan untuk promosi single ini juga berdasarkan lukisan daripada Baim Zakaria.

“Biarpun hasilnya sedikit lewat tetapi saya yakin untuk mendapatkan kualiti terbaik kepada peminat, ia memerlukan kesabaran,” ujarnya yang turut aktif menghasilkan lagu runut untuk drama tempatan.

Melihat kepada perbualan To’Ki yang banyak berbicara soal ketuhanan, sengaja kemudian lelaki berusia 52 tahun itu disogok persoalan tentang perubahan dirinya.

Dugaan

Dalam hela tawa yang panjang To’Ki membuka kisah pahit yang disimpannya sendiri. Segalanya bermula sejak studio rakaman miliknya, I Touch Entertaiment di Taman Bolton, Gombak dirompak dua tahun yang lalu.

“Perkara itu terjadi dua tahun lalu, ketika saya dapat tawaran mengadakan persembahan di Kuantan, Pahang. Hendak dijadikan cerita, saya tertinggal barang di studio dan perlu berpatah balik untuk mengambilnya. Sampai di studio, saya lihat pintu tidak berkunci dan beberapa alatan muzik antaranya gitar berusia 30 tahun sudah hilang.

“Merupakan dugaan berganda kerana ekoran daripada studio dirompak, saya terpaksa melepaskan kontrak dengan sebuah stesen televisyen kerana kekurangan kelengkapan,” ceritanya tenang.

Menganggap kisah hitam yang terjadi itu ada hikmahnya, ujar To’Ki kejadian tersebut lantas membuka pintu hatinya untuk lebih mengenali Tuhan.

Ayah kepada enam orang anak itu kini menetap di Pondok Persatuan Seni Silat Jurus Makrifat (Persima), Batu 12, Gombak, Selangor untuk mempelajari ilmu agama.

Post a Comment

Previous Post Next Post