KAHWIN SEMULA - Selepas tiga tahun bergelar ibu tunggal, Izreen mengaku hatinya kini sudah terpaut pada seorang lelaki bujang yang dirahsiakan identitinya.
BERTEMU dengan pelakon Izreen Azminda pada majlis pelantikannya sebagai duta produk kecantikan Meeracle baru-baru ini, jelas terpancar kebahagiaan yang mengulit dirinya. Sengaja diusik tentang khabar angin yang bertebaran mengenai dirinya kini sedang hangat bercinta selepas tiga tahun bergelar ibu tunggal. Tiada riak amarah terbit pada wajahnya.
Sebaliknya, ibu kepada seorang anak lelaki Adrian Umar, 4, itu hanya melemparkan senyuman manis. Mengakui pintu hatinya pernah tertutup rapat selepas bercerai dengan bekas suami, Muhamad Riza Baharuddin pada Jun 2014, kini bunga cinta kembali membenihkan rasa apabila dia bertemu dengan seorang jejaka yang dirahsiakan identitinya setahun lalu.
“Memang pintu hati tertutup untuk bercinta ketika mula bercerai, tetapi selepas tiga tahun saya juga manusia normal dan wanita biasa. Kini, pintu hati sudah kembali terbuka, cuma selagi tiada kata putus, saya tidak akan menghebahkan hubungan itu.
“Sebabnya saya tidak mahu dikatakan syok sendiri tiba-tiba kata hendak kahwin, tetapi akhirnya perkahwinan itu tidak berlaku. Jika orang tahu saya bercinta, saya tidak kisah, cuma tidak mahu bercerita mengenainya. Jika hendak berkahwin kelak, barulah saya berkongsi dengan semu pihak,” ujarnya.
Saat ditebak siapakah jejaka bertuah yang berjaya menambat hatinya itu, tegas Izreen, lelaki tersebut hanya orang biasa dan tidak terlibat dalam industri seni. Bagaimanapun, Izreen enggan berkongsi secara terperinci bagaimanakah dia berkenalan dengan lelaki berstatus bujang itu kerana menyifatkan ia terlalu peribadi.
Disoal lagi apakah yang membuatkan hatinya tertarik kepada lelaki itu, kata Izreen penuh yakin, kerana dia bijak menawan dirinya yang manja dan sensitif.
“Walaupun nampak kasar daripada luaran, tetapi sebenarnya saya seorang wanita yang lembut, manja dan sensitif. Ada beberapa perkara yang membuatkan saya terpikat dengannya. Paling penting, saya perlukan lelaki yang boleh memberi inspirasi.
“Namun, dia bukan orang tua, sebab saya tidak suka lelaki tua. Usia kami hampir sama. Bagaimanapun saya tidak boleh berkata lebih, andai masa depan Allah beri jodoh dengan lelaki tua pula, kita tidak boleh menolak,” tutur Izreen sambil ketawa.
Status
Biarpun telah berkenalan selama setahun, wanita berusia 32 tahun itu tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk hubungan tersebut berakhir di jenjang pelamin.
“Jika bukan dengan dia, tetapi dengan mana-mana lelaki lain andai sudah jodoh saya terima sebab perkahwinan adalah satu perjudian. Jika tidak berkahwin pun saya tidak mati dan masih menjalani hidup seperti biasa.
“Oleh itu, saya tidak mahu meletakkan sebarang harapan dan sasaran seperti berkahwin kali kedua mahu bahagia sampai akhir hayat atau tidak mahu lagi hidup susah. Suka atau tidak, kehidupan kita sentiasa ada dugaannya,” katanya.
Berbicara tentang lelaki, topik berkenaan menjadi semakin hangat apabila pelakon yang pernah popular dengan drama Tanggang Ayu itu mendedahkan dia tidak kisah tentang status calon bakal suaminya kelak sama ada bujang, duda mahupun suami orang.
Lebih menarik, Izreen juga bersedia untuk menjadi isteri kedua, tiga mahupun empat jika itu jodoh yang telah ditulis Allah untuk dirinya.
“Sebenarnya saya tidak kisah soal status lelaki kerana andai dia mampu berlaku adil serta menanggung semua isterinya, tidak ada masalah. Saya tidak faham kenapa orang selalu naikkan isu poligami dan salahkan isteri kedua sebagai perosak rumah tangga.
“Jika bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Saya bercakap mengenai perkara ini sebab ramai artis berkahwin dengan suami orang. Kita harus faham jika itu jodohnya, hendak buat macam mana, terima sahajalah, tidak perlu bangkitkan isu berkenaan (perosak rumah tangga),” tegas Izreen.
Pengakuan terbuka Izreen itu cukup mengejutkan, namun dia bertegas tidak menolak jodohnya dengan mana-mana lelaki dan statusnya. Apa yang penting baginya, lelaki itu mampu menjaganya dengan baik.
“Saya tiada masalah jika ditakdirkan menjadi isteri kedua. Mungkin sesetengah wanita itu akan reda, mungkin juga tidak ikhlas.
“Tidak semestinya berkahwin dengan lelaki bujang atau duda kaya akan bahagia. Tidak semestinya berkahwin dengan suami orang atau lelaki sederhana tidak bahagia. Bahagia itu sangat subjektif terpulang kepada setiap individu,” ujarnya.
Selepas pelakon Fattah Amin muncul dengan buku 99 Kata-Kata Fattah Amin, Izreen juga bakal mengikut jejaknya dengan menerbitkan buku yang mengandungi kompilasi puisi hasil nukilannya sendiri. Bezanya, buku berkenaan telah mula ditulis olehnya sejak bergelar pelajar kolej sehingga hari ini.
Terbit buku
Buku puisi yang memberi fokus terhadap wanita itu pada mulanya ditulis untuk tatapan peribadinya sahaja. Bagaimanapun beberapa orang rakan mencadangkan agar buku tersebut diterbitkan kerana isi kandungannya yang menarik.
“Buku puisi itu bukan syok sendiri, sebaliknya berguna kepada wanita yang pernah jatuh dan ingin bangun kembali dalam kehidupan. Walaupun hanya dalam bentuk puisi, tetapi ia mampu menyuntik semangat kepada wanita yang mungkin melalui episod kehidupan seperti saya.
“Namun, saya tidak terburu-buru untuk menerbitkan buku berkenaan kerana menulis puisi tidak boleh dipaksa. Saya perlu menunggu idea dan rasa itu datang barulah boleh menulis. Ada puisi dari zaman kolej, mula jadi artis dan setiap fasa dalam kehidupan saya,” katanya yang memiliki diploma dalam bidang kewartawanan daripada Institut Media Integratif Malaysia (MIIM).
Izreen bagaimanapun mengakui agak bimbang selepas melihat reaksi orang ramai terhadap buku yang dikeluarkan oleh rakan artis, Fattah Amin. Sungguhpun begitu, Izreen sanggup mengambil risiko kerana niatnya hanya untuk berkongsi emosi dan semangatnya bersama wanita lain.
“Sebenarnya saya ingin keluarkan buku sebelum Fattah Amin melakukannya. Namun, melihat dia dikecam orang ramai, saya akui agak bimbang. Selepas berfikir balik, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana isi kandungan buku saya berbeza dengannya.
“Jika tidak mengambil risiko tersebut, saya tidak akan tahu hasilnya. Dikecam atau tidak, saya berserah, cuma buat masa sekarang terdapat beberapa bahagian yang perlu dibuat penambahan sebelum ia benar-benar lengkap,” luahnya yang masih mencari syarikat penerbitan untuk bukunya itu.
Menyentuh tentang kerjaya lakonan, Izreen yang mula bekerja pada awal tahun ini selepas berehat selama empat bulan memberitahu jadual kerjanya sudah penuh sehingga Oktober depan.
Bermula awal tahun ini, dia terlibat dengan drama episod berjudul Bertukar-tukar Menu serta empat episod khas drama Pergilah Air Mata untuk tayangan pada bulan Ramadan. Selain itu, Izreen juga dilantik sebagai duta produk kecantikan Meeracle bersama pelakon Catriona Ross selama setahun.
“Alhamdulillah, saya terpilih untuk menjadi duta beberapa buah produk, ini rezeki untuk anak. Saya amat bersyukur kerjaya berjalan lancar sejak dahulu sehingga hari ini, mungkin daripada segi kehidupan peribadi tidak begitu bernasib baik, tetapi Allah cukup adil semuanya seimbang.
“Kita tidak akan dapat semua yang diinginkan,” ujarnya yang turut memiliki perniagaan wangiannya sendiri.