Amira Othman impikan pasaran Indonesia


POPULAR menerusi single ketiga ‘Jaga-Jaga’ yang merupakan lagu tema bagi drama popular ‘Abang Bomba I Love You’ suatu ketika dahulu, Amira Othman atau nama penuhnya Nadia Amira Othman, 23, berhasrat untuk merakamkan lagu terbarunya di Indonesia pula.

Hasrat ini diceritakan kepada Media Hiburan (MH) ketika bertemunya di majlis pelancaran produk, Kosmetik Meriel anjuran PICOMS bertempat di Grand Ballroom, Saloma Bistro, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun jelas Amira, semua itu masih lagi dalam perancangan dan mungkin mengambil masa yang agak lama sedikit kerana mahu mencari lagu yang bersesuaian dan berkualiti.


Pun begitu, gadis manis ini sangat bertuah kerana telah dilamar oleh seorang komposer dari Indonesia iaitu Panji yang mahu bekerjasama dan membantunya mengembangkan kerjaya di negara tersebut.

“Insya-ALLAH harapan saya adalah untuk muncul dengan single keempat berentak balada secepat yang mungkin. Jadi ketika ini kami masih lagi mencari lagu yang bersesuaian dengan vokal saya.

"Walaupun mengambil sedikit masa tetapi saya akur kerana saya mahu lari daripada genre sebelum ini yang berentak ‘catchy’. Sehingga peminat pun dah cakap tajuk lagu hampir sama. Ada juga yang cakap lagu-lagu itu adalah identiti saya tetapi itulah, untuk single keempat ini saya mengharapkan kelainan sedikit," ujarnya yang mengakui masih baru dalam dunia seni.

Bercerita mengenai kerjasamanya dengan Panji lagi, gadis ini mengakui Panji penggiat seni seberang yang banyak membantunya dalam proses pemilihan lagu.

“Saya memang berniat untuk melebarkan sayap ke sana walaupun perasaan takut ada juga sebab risau kalau penerimaan peminat di negara tersebut tidak seberapa. Tapi selagi tak cuba tak tahu kan?" katanya yang berharap Panji dapat membantu mengembangkan kerjaya seninya.

Idam Watak Berusia

Mengulas kerjaya seninya dalam bidang lakonan pula, Amira memberitahu dia mahu mencuba watak yang pelbagai dan lebih matang.

“Selepas ini andai diberi peluang dan kepercayaan lagi saya mengidamkan watak wanita yang lebih bersifat keibuan kerana saya jenis yang sukakan kanak-kanak.

Mungkin juga watak seorang ibu yang ditindas dan sebagainya.

“Selain itu, saya juga impikan watak wanita lasak seperti memandu kereta lumba ataupun motosikal berkuasa tinggi," ujarnya yang sentiasa mahu mencuba sesuatu yang baru dalam hidup.

Post a Comment

Previous Post Next Post