Sheeda luah hasrat mahu berhijab


PENYANYI dangdut, Sheeda meluahkan hasratnya untuk berhijab selepas album dangdut terakhirnya, The Best Of Sheeda menemui peminat pertengahan tahun ini.

Selepas mengenakan hijab, Sheeda atau nama penuhnya Rashidah Hamid, 53, mahu membuka buku baru dan meninggalkan irama dangdut yang begitu sinonim dengan dirinya sepanjang berada dalam bidang seni.

“Kalau sudah menutup aurat, saya juga akan menutup perjalanan seni saya dalam irama dangdut dan melakukan sesuatu yang lebih sesuai dengan penampilan itu.


“Saya tidak mahu berhijab hanya pada nama, sebaliknya bila keputusan itu sudah diambil, saya akan menjaga sebaiknya penampilan itu.

“Hasrat berhijab ini adalah perjanjian saya dengan Allah dan bukan dengan manusia, jadi saya mahu melakukannya dengan ikhlas dan bukan kerana desakan atau sebab-sebab tertentu,” tegasnya yang cukup dikenali dengan lagu Angkat Kaki.

Atas sebab itu jugalah penyanyi ini bersungguh dan segera mahu menyiapkan mini album yang bakal memuatkan lima lagu baru, termasuk single berjudul Angkat Tangan yang menjadi simbolik kepada pengundurannya dalam irama dangdut selepas ini.

“Lagu ini amat istimewa kerana menjadi kesinambungan lagu popular saya sebelum ini, Angkat Kaki dan dalam masa yang sama menjadi lagu penutup dalam irama dangdut.

“Tajuk ini menjadi simbolik pengunduran saya dan juga sebagai tanda ingatan buat peminat yang menyokong kerjaya nyanyian saya selama ini,” katanya yang turut menggunakan khidmat DJ Fuzz untuk album istimewa ini.

Fokus bisnes

Dalam perkembangan lain Sheeda kini aktif dalam bidang perniagaan menerusi Sheeda Entertainment yang diusahakannya dengan suami, Sukri Hashim.

“Saya menjalankan perniagaan menerusi syarikat pengurusan acara sejak lebih lima bulan lalu dan Alhamdulillah sambutan yang diterima cukup memberangsangkan sehingga tidak menang tangan menguruskannya.

“Jujurnya saya seronok menjalani pengalaman baru ini. Setiap hari berfikir untuk memajukan lagi syarikat kami dan melibatkan diri dengan projek yang lebih besar lagi.

Dalam pada itu, Sheeda juga meluahkan rasa syukurnya apabila sentiasa mendapat sokongan keluarga dalam apa juga yang dilakukannya.

“Suami dan anak-anak sentiasa memahami dan menyokong apa sahaja yang saya lakukan asalkan menggembirakan saya.

“Dulu saya terlalu sibuk dengan kerjaya nyanyian dan tidak ada masa sangat dengan keluarga, namun sekarang saya cuba meluangkan lebih masa dengan mereka meskipun tidak dapat menggantikan masa lalu,” katanya yang kini mempunyai dua orang cucu.

Post a Comment

Previous Post Next Post