Wan Sharmila Berlakonlah dengan ikhlas


WAN Sharmila Wan Muhamed atau nama komersialnya, Wan Sharmila, 36, mulai meraih tumpuan dalam radar industri hiburan tempatan menerusi drama keremajaan, Kisah Kaisara bersama Sari Yanti yang diterbitkan pada 2005 lalu.

Sejak itu, satu demi satu drama dan filem dilakonkan aktres kecil molek ini hingga meletakkan namanya sebaris dengan pelakon versatil sedia ada.

Antara drama yang menaikkan nama pelakon yang berasal dari Johor Bahru ini ialah Ariana Rose, Tuan Anas Mikhael dan terbaru, 7 Hari Mencintaiku.

“Alhamdulillah dengan kepercayaan dan amanah diberikan penggiat drama dan filem buat saya. Syukur, peluang untuk terus berkecimpung dalam dunia lakonan tetap ada dan tawaran diterima juga tidak pernah putus.

“Saya percaya pada rezeki dan insya-ALLAH, penghargaan yang diberikan ini saya akan cuba galasnya dengan sebaik mungkin,” kata Wan Sharmila atau lebih mesra disapa Lala ini.

Ditanya mengenai kredibilitinya sebagai pelakon yang berkualiti, Lala memberitahu MH pada sesi ramah mesra pelakon 7 Hari Mencintaiku bersama peminat anjuran TV3 minggu lalu, dia tidak pernah meletakkan sebarang harapan untuk dipuji peminat mengenai mutu lakonannya.

"Asal ada yang suka, ia sudah memadai.

“Meskipun bukan watak utama, bagi saya apa yang penting ialah bawa ia dengan ikhlas dan sebaik mungkin. Cuba sampaikan watak yang diberikan itu dengan berkesan biar ia sampai pada hati penonton.

“Sejujurnya saya rasa diri ini bertuah kerana sering diberikan sebuah naskhah drama yang baik, selain dapat beraksi bersama pelakon yang hebat.

"Jadi ini saya kira sebagai satu suntikan semangat juga untuk kita berlakon dengan baik. Watak besar atau kecil saya tidak ambil kisah. Yang penting ia bagus,” ujarnya serius.

Mahu kekal relevan

Melihat kepada senario industri lakonan masa kini yang dibanjiri muka baru yang silih berganti, Wan Sharmila juga mempunyai persepsinya sendiri.

Katanya, dia gembira dengan kehadiran ramai muka baru yang secara tidak langsung memberi warna terhadap dunia lakonan tanah air.

Lalu, dia sebagai pelakon yang lebih senior juga perlu peka, seterusnya cuba mengatur strategi demi memastikan diri terus kekal relevan dan segar.

“Saya akui, bukan sesuatu yang mudah untuk meletakkan nama kita pada aras yang selesa dan relevan sepanjang masa kerana kita sedia maklum, kemunculan bakat baru berbakat memang ramai dan ia merupakan satu persaingan yang baik.

“Jadi kita sebagai artis yang lebih senior juga perlulah berikan mutu lakonan yang bagus, punya penampilan yang baik selain terus berdoa dan berusaha untuk menjadi yang lebih baik dari sebelumnya.

“Apa pun, saya percaya pada rezeki dan Alhamdulillah, kini sudah ramai penggiat seni yang mula melihat dan hargai bakat yang saya ada,” terang Lala yang bakal muncul drama berjudul Isteri Isteri Ayah di samping Syazwan Zulkifly tidak lama lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post