Nad Zainal selektif demi anak


Filem terbaharu berjudul Aku Haus Darah Mu menuntut Nad Zainal menari dan melakonkan watak dirasuk.

TIGA bulan berehat selepas melahirkan cahaya mata sulung, pelakon Nad Zainal mengakui rindu untuk kembali aktif di layar lakonan.

Biarpun terpaksa berkorban meninggalkan si kecil, Fahad Ibrahim Muhammad Faliq yang kini berusia tiga bulan, namun bagi ibu berusia 27 tahun itu tanggungjawab tetap perlu diteruskan.

Baru-baru ini, Nad atau nama lengkapnya, Nadia Nadhirah Zainal Hassan hadir ke malam tayangan perdana filem Aku Haus Darah Mu yang akan menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 2 Februari nanti.

Teruja berkongsi pengalaman menjayakan naskah bergenre seram buat kali kedua dalam karier lakonannya, Nad memberitahu, pembuka tahun 2017 bermula dengan baik apabila dia dilimpahi pelbagai tawaran menjayakan drama rantaian dan telefilem.

KOSMO!: Boleh kongsikan watak Nad Zainal dalam naskhah Aku Haus Darah Mu arahan Aidilfitri Mohamed Yunos?

NAD ZAINAL: Saya memegang watak sebagai Lia, salah seorang pelajar yang pergi ke sebuah kampung bagi mempelajari tarian bagi menyiapkan kerja kursus untuk pengajiannya.

Pelbagai perkara mistik berlaku ketika Lia dan dua lagi rakannya sampai di sebuah rumah yang menjadi tempat mereka bermalam.

Apa yang membuatkan anda menerima tawaran berlakon filem ini dan apakah cabarannya?

Saya menerima tawaran ini kerana dapat peluang bergandingan bersama Deanna Yusoff. Ia juga memerlukan saya menari dalam filem terbaharu ini.

Antara cabaran pula, seperti diketahui Deanna mempunyai nama cukup besar dalam industri dan saya tidak mahu tenggelam apabila berlakon bersama dalam naskhah terbaharu ini.

Saya juga perlu membawakan babak wanita yang dirasuk, agak sukar sebenarnya untuk membezakan wajah biasa dengan wajah apabila kena rasuk.

Adakah Deanna Yusoff merupakan pelakon idola anda sehingga menjadi sebab untuk menerima tawaran ini?

Sejujurnya, sebelum ini saya kurang menyukai pelakon dengan wajah kacukan selain Sofia Jane kerana ketika itu saya rasakan watak mereka kurang mencabar.

Deanna pula saya hanya menyukai lakonannya, tetapi selepas bekerja bersama, saya terus jatuh cinta dengan personalitinya yang sentiasa merendah diri walaupun bergelar pelakon senior.

Bagaimana pula dengan perkembangan terkini dalam karier lakonan anda?

Buat masa ini saya sedang menjalani penggambaran telefilem Dosa Perempuan untuk tayangan TV3. Selepas itu, saya akan sambung penggambaran telefilem Menanti Kiamat dan drama rantaian Jurnal Suraya.

Saya memang akan kembali aktif pada tahun ini, pun begitu suami menasihatkan untuk membawa watak berat sahaja berbanding watak komedi.

Apa yang membuatkan anda mengambil keputusan tersebut?

Jika sebelum ini saya banyak membawakan watak komedi, namun saya sedar bukanlah kelakar sangat. Saya ingin membawa kelainan dalam karier dan watak berat lebih memberi kepuasan dalam diri.

Saya lebih suka sekiranya ditawarkan watak jahat ataupun wanita teraniaya.

Boleh kongsikan kehidupan anda kini selepas bergelar ibu?

Sejujurnya memang agak mencabar lebih-lebih lagi sejak mula bekerja sekarang. Ketika hari pertama tinggalkan anak dengan ibu mertua, perasaan saya memang sedih tetapi semakin lama saya sudah boleh membiasakan diri dengan keadaan itu.

Saya juga hanya menerima tawaran lakonan sekiranya penggambaran diadakan di sekitar Kuala Lumpur sahaja.

Adakah itu syarat yang anda letakkan untuk berlakon sekarang?

Saya tidak meletakkan syarat, cuma akan bertanya dahulu kepada rumah produksi. Jika tidak boleh, saya akan lepaskan tawaran tersebut.

Siapalah saya untuk meletakkan syarat. Saya tidak mahu menyusahkan pihak produksi, jadi saya akan melepaskan tawaran itu dari awal.

Post a Comment

Previous Post Next Post