Positif cara Shah Iskandar


KHUATIR - Shah Iskandar bimbang jika kontroversi memberi impak negatif terhadap keluarganya.

ARTIS dan kontroversi boleh diibaratkan seperti akrabnya rasa masin garam di dalam hidangan. Biarpun cukup segala rencah yang direneh dalam masakan, namun tanpa kehadiran secubit garam, tumpul rasa dan hilanglah selera.

Benar, kontroversi merupakan label yang sering dielak oleh semua artis. Selain mencacatkan portfolio karier sebagai insan seni, kontroversi juga menjadi umpan buat khalayak untuk menyatakan pandangan dan kejian secara rawak kepada golongan selebriti.

Bagi pelakon kelahiran Singapura, Shah Iskandar, dia memahami kontroversi dari sudut pandang seorang selebriti sering dilakukan sejak kakinya melangkah ke dalam industri hiburan sekitar lima tahun lalu.

Namun, ia tidak bermakna pemahaman yang sama mengenai perkara tersebut turut dikongsi oleh isteri, Siti Sarah Mohd. Noor yang dinikahi pada 16 Januari tahun lalu.

“Jika kontroversi itu melibatkan saya ketika masih bujang, ia tidak memberi sebarang masalah.

“Bagaimanapun, selepas mendirikan rumah tangga, saya mulai sedar banyak hati yang perlu dijaga termasuk kedua ibu bapa mertua,” katanya.

Biarpun selesa berimej bersih, pelakon yang pernah popular menerusi drama rantaian Gerak Khas itu mengakui tentang impak positif kontroversi sehingga mampu menaikkan nama seseorang artis.

“Mungkin saya baik sangat dan tidak banyak dikaitkan dengan wanita seperti sebelum ini. Jadi, sebab itu nama saya kurang disebut pihak media,” ujarnya dengan nada berseloroh.

Seiring dengan kematangan dan peningkatan usia, pemilik nama lengkap, Shah Iskandar Mahfuz itu lebih bijak menguruskan masa sebagai pelakon dan seorang suami.

“Ramai yang berpendapat, saya semakin hilang daripada radar dunia hiburan, lebih-lebih lagi sejak mendirikan rumah tangga.

“Saya tidak menafikan tentang kebenaran pendapat tersebut. Begitupun, ‘kehilangan’ saya daripada dunia hiburan bukan disebabkan saya kurang mendapat tawaran berlakon daripada mana-mana produksi.

“Saya lebih kerap menghabiskan masa di rumah dan tidak menghadiri mana-mana majlis anugerah mahupun acara hiburan,” jelas Shah panjang lebar.

Tambah pemenang anugerah Pelakon TV Lelaki Popular bagi Anugerah Bintang Popular 2014 itu, masa terluang yang ada sering digunakan dalam mengenal dan memupuk kasih sayang bersama isterinya.

“Tempoh setahun ini merupakan satu senggang masa pembelajaran buat saya dan isteri.

“Sepanjang tempoh ini juga kami bercinta, bergaduh, berbaik dan mengenali antara satu sama lain. Jadi, saya mahu nikmatinya sebaik mungkin,” ujar Shah sambil tersenyum.

Relevan

Pada usianya yang kini menginjak ke angka 35 tahun, Shah tidak mahu ketinggalan dalam bidang lakonan.

Jelas dramatis yang pernah membintangi drama bersiri fenomena Nora Elena itu, dia perlu melipatgandakan usaha, sementelah saingan pelakon-pelakon baharu semakin sengit sejak kebelakangan ini.

“Dulu, pelakon lelaki tidak ramai dan saingan juga tidak terlalu sengit. Watak yang diberikan kepada saya berbentuk pelbagai dan saya sendiri bebas untuk memilih karakter ditawarkan.

“Lain pula ceritanya sekarang. Zaman telah berubah dan pelakon baharu juga semakin bertambah. Fleksibel itu perlu memandangkan watak semakin terhad. Begitupun, saya akan pastikan watak yang dipilih tidak memudaratkan prestasi lakonan,” katanya lagi.

Dia yakin nama Shah Iskandar akan terus relevan dalam kalangan penggiat seni baharu.

Bercakap perihal relevan, ada satu perkara yang menyebabkan Shah Iskandar ketinggalan sedikit berbanding pelakon baharu lain.

“Saya bukanlah lelaki yang gemar menjaga penampilan dan sering tampil kemas setiap kali keluar rumah.

“Sejujurnya, saya adalah diri saya dan selesa menjadi diri sendiri. Asalkan bertepatan dengan gaya, itu sudah memadai,” ujarnya.

Ditanya pula adakah dirinya terasa kerdil apabila dibandingkan dengan kelompok pelakon lelaki berbadan sasa, Shah yang cukup dikenali dengan sifat humornya menjawab: “Lengan mereka sudah sebesar leher saya, bagaimana saya mahu bersaing?” tutur Shah sambil tertawa.

Berat

Melanjutkan bicara mengenai perkembangan terkini, Shah masih dalam proses menyudahkan penggambaran bagi drama bersiri terbaharu lakonannya, Syurgaku Tak Sempurna.

Ia turut dibintangi nama-nama besar seperti Raja Ilya, Uqasha Senrose, Didie Alias dan Mustapha Kamal. Drama terbaharu itu meletakkan gaya lakonan Shah Iskandar pada peringkat yang cukup berbeza.

“Sepanjang bergelar pelakon, ini merupakan kali pertama saya memegang watak lelaki yang memiliki dua isteri.

“Biarpun teruja tetapi saya perlu fokus dalam mendalami karakter Tengku Zarif memandangkan pengisian Syurga Tak Sempurna ini cukup berat,” katanya yang tertarik untuk membintangi drama 30 episod arahan Michael Ang itu setelah melihat keunikan tajuknya.

Mengenai jalan cerita dan keistimewaan yang ada pada Syurgaku Tak Sempurna, Shah berkata, drama yang disiarkan di saluran HyppSensasi (HyppTV 116) tersebut begitu sarat dengan emosi dan tanda tanya.

“Saya sebagai pelakon utama tidak boleh meletakkan sebarang genre terhadap naskhah ini.

“Konflik yang diketengahkan berbeza-beza pada setiap episod sehingga menyulitkan lagi kisah cinta, persahabatan dan kekeluargaan yang terjalin dalam drama ini,” katanya.

Syurgaku Tak Sempurna mengisahkan cinta tiga segi antara Tengku Zarif (Shah Iskandar) dan dua isterinya, Zalia (Raja Ilya) fan Fariena (Uqasha).

Biarpun nampak bahagia dengan segala kemewahan dan wang ringgit, kehidupan Tengku Zarif bersama isteri-isterinya tidak tenteram akibat perasaan cemburu serta dendam yang tidak pernah terlerai.

Post a Comment

Previous Post Next Post