
MALAYSIA - Bo-gum memilih Kuala Lumpur, Malaysia sebagai destinasi pertama Park Bo-Gum Asia Tour yang turut diadakan di lapan buah negara lain.
DALAM sekelip mata nama aktor asal dari Korea Selatan, Park Bo-gum dikenali oleh khalayak seluruh Asia. Semuanya gara-gara drama rantaian Love In The Moon Light yang mula ditayangkan pada Ogos lalu di Korea Selatan. Memegang watak sebagai putera mahkota bernama Lee Yeong, Bo-gum berjaya menarik perhatian dengan lakonan cemerlangnya di samping aktres Kim Yoo-jung.
Sebelum itu, momentum kerjaya lakonannya bagaimanapun diperkukuhkan dengan lakonan berkesan dalam drama Reply 1988. Biarpun tuahnya datang bergolek menerusi drama Love In The Moon Light, tetapi menurutnya, watak seorang putera mahkota Dinasti Joseon sebenarnya agak sukar kerana ia merupakan penglibatan pertamanya dalam drama bergenre epik.
Selain harus memakai kostum yang sarat, Bo-gum juga terpaksa membiasakan diri dengan bahasa dan nada pertuturan masyarakat Dinasti Joseon.
“Sebenarnya bukan mudah untuk melakonkan watak seorang putera raja yang degil dan tidak mengikut peraturan, tambahan ia merupakan pengalaman pertama saya. Pada peringkat awal, saya berasa malu selepas meneliti mutu lakonan sendiri. Semuanya terlalu berat, di samping pelakon pembantu yang merupakan nama-nama besar, ia membuatkan saya berasa kerdil.
“Selepas mendapat nasihat dan bantuan daripada rakan pelakon serta kru, semuanya berjalan dengan baik. Walaupun pihak produksi terpaksa membuat penggambaran semula episod awal, saya berpuas hati kerana akhirnya dapat menghayati watak Lee Yeong. Hasilnya drama berkenaan mendapat sokongan luar biasa daripada penonton,” katanya yang juga pengacara program popular Music Bank.
Sungguhpun terpaksa bekerja keras dan sempat hilang keyakinan ketika penggambaran drama Love In The Moon Light berlangsung, Bo-gum menyifatkan drama berkenaan sebagai tuah terbesar dalam kerjaya seni serta kehidupannya.
“Setiap kali saya teringatkan drama Love In The Moon Light, saya seolah-olah melihat bulan di langit. Ia memberi restu kepada saya. Terlalu banyak perkara yang saya pelajari bukan sahaja daripada watak berkenaan, tetapi juga orang sekeliling di set penggambaran.
“Saya mengaku pernah tiada keyakinan diri. Namun, menerusi drama ini juga ia mengajar saya untuk menjadi seorang pelakon yang bijak dalam kerjaya dan kehidupan,” ujarnya tentang drama yang kini sedang hangat ditayangkan Malaysia menerusi stesen televisyen 8TV.
Muzik
Biarpun meledak popular, Bo-gum enggan tenggelam mahupun hanyut dengan dunia glamor. Sebaliknya, anak sulung daripada tiga adik-beradik itu tetap menjalani kehidupan normal sebagai seorang pelajar di Universiti Myoungji, Seoul dalam jurusan filem dan seni persembahan.
Katanya, walaupun dengan jadual yang padat dan tumpuan peminat setiap kali ke universiti, dia enggan melepaskan momen menjadi seorang pelajar yang hanya dirasai sekali dalam seumur hidup.
“Saya masih seorang pelajar dan ke universiti seperti biasa. Sebelum ini, saya selalu menggunakan pengangkutan kemudahan awam seperti bas, tetapi sekarang harus ditemani pengurus. Apapun, pelajaran tetap keutamaan kerana ilmu akan membawa saya ke peringkat lebih tinggi. Populariti hanya bersifat sementara, ia perit untuk diakui, tetapi itulah kebenarannya,” luah aktor itu.
Sebelum terjun ke dunia lakonan, Bo-gum terlebih dahulu bergelar seorang penyanyi dan komposer. Malah, jejaka yang mengikuti kelas piano sejak berusia lima tahun itu, berkebolehan bermain alat muzik berkenaan dengan baik. Disebabkan itu, Bo-gum dilantik menjadi pemain piano dan penyanyi koir untuk gereja di kejiranannya.
Ternyata, muzik merupakan cinta pertama Bo-gum. Video pertama yang dihantar ke agensi pencari bakat ketika masih menuntut di sekolah tinggi ialah rakamannya menyanyi sambil bermain piano. Menerusi video berkenaan, Bo-gum meraih tawaran daripada beberapa agensi.
“Saya menyimpan impian bergelar penyanyi sejak kecil, tetapi sebelum memulakan kerjaya seni, saya bertukar ke bidang lakonan. Pada saat itu, saya yakin mampu memberikan yang terbaik dalam lakonan berbanding muzik,” katanya yang mula berlakon menerusi filem Blind pada 2011.
Tidak mahu cita-citanya dalam bidang muzik terkubur, Bo-gum telah merakamkan single berjudul My Person yang merupakan salah sebuah runut bunyi untuk drama Love In The Moon Light.
Siri jelajah Asia
Buat pertama kali selepas namanya mula meledak, Bo-gum mengadakan siri jelajah Asia dengan nama Park Bo-gum Asia Tour. Menariknya, dalam siri jelajah berkenaan, Malaysia menjadi destinasi pertama daripada lapan negara yang bakal dikunjungi termasuk Jepun, Taiwan, Singapura dan Thailand.
Bercakap mengenai kunjungannya ke Kuala Lumpur, Bo-gum tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja memandangkan ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki di Malaysia.
Ditemui pada majlis sidang akhbar di ibu kota semalam, Bo-gum berkongsi keseronokannya yang sempat melawat sekitar Kuala Lumpur seperti ke Menara Berkembar Petronas, Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad.
Selain itu, dia juga tertarik untuk melawat negeri Melaka yang kaya dengan sejarah jika berkesempatan.
“Ini adalah pengalaman pertama saya berkunjung ke Malaysia. Ia sebuah negara yang cantik dan banyak tempat menarik yang boleh dilawati. Selain destinasi menarik, saya juga teruja untuk mencuba makanan popular di sini seperti sate,” tuturnya.
Bo-gum turut meluahkan perasaan teruja untuk bertemu peminat di Malaysia yang memberi sokongan kepadanya selama ini. Meskipun begitu, dia merahsiakan aktiviti serta kejutan yang bakal dilakukan dalam siri jelajah Park Bo-gum Asia Tour In Kuala Lumpur.
“Apa yang pasti, saya dan peminat akan menghabiskan masa seronok bersama. Selepas menerima sokongan mereka, ini merupakan masa untuk saya membalas kasih sayang yang diberi. Pada masa akan datang, saya harap akan berpeluang kembali ke Malaysia,” beritahunya.
Disoal tentang perancangan tahun 2017, Bo-gum bagaimanapun memberitahu hanya akan memberi fokus terhadap siri jelajah Asia yang dijangka berakhir sehingga Mac tahun depan.
Buat peminat yang ingin menyaksikan Bo-gum dari dekat, tiket-tiket berharga antara RM390 sehingga RM690 masih boleh didapati menerusi www.ticketcharge.com.my atau hubungi talian 03-9222 8811.
Park Bo-gum Asia Tour In Kuala Lumpur akan berlangsung pada pukul 7.30 malam ini di Dewan Plenary KLCC, Kuala Lumpur.