Mark Adam ibarat wakil rakyat di kampung


Popular dengan lagu Pencuri, Si Katak dan Marry Me, Mark Adam kini menjadi penyanyi bahkan pelakon yang semakin mendapat tempat di hati peminat Malaysia.

Mula menerjah pasaran hiburan Malaysia sejak 2001, nama Mark Adam semakin mekar bukan sahaja sebagai penyanyi malah sebagai pelakon dan pelawak. Berasal dari Cebu, Filipina, Adam atau nama sebenarnya, Fikri Mark Adam Abdullah, 37, tidak menyangka kerjaya seninya semakin berkembang baik.

Ditemui pada sidang akhbar pelancaran drama bersiri Supersains di Petrosains, The Discovery Centre, Kuala Lumpur baru-baru ini, selain bercerita mengenai keterujaannya berlakon bersama kanak-kanak, pelantun lagu Marry Me itu turut berkongsi perubahan hidup selepas bergelar selebriti popular.

Katanya, walaupun khalayak kerap menontonnya di televisyen mahupun pada acara hiburan penuh gah, dia menafikan sedang mengecapi kekayaan. Rezeki yang dikurniakan kepadanya dikongsi bersama insan dan keluarga terdekat.

KOSMO!: Boleh kongsikan penglibatan anda dalam drama bersiri Supersains?

MARK ADAM: Saya melakonkan watak sebagai Adam yang gemar menyanyi untuk bunga-bunga dan tumbuh-tumbuhan. Drama ini sangat menarik kerana saya dapat bekerjasama dengan kanak-kanak yang cukup berbakat. Walaupun hanya muncul sebagai penampilan istimewa, pengalaman berlakon dengan kanak-kanak adalah sangat bernilai.

Apabila anda dilihat lebih menceburkan diri dalam bidang lakonan atau komedi, khalayak seperti sudah lupa bahawa anda merupakan seorang penyanyi. Komen anda?

Saya suka berlakon dan kalau boleh saya ingin terus berlakon dengan memegang pelbagai watak supaya mutu lakonan saya boleh lebih diperbaiki. Menyanyi adalah minat utama saya dan Insya-Allah tahun depan saya akan hadir dengan single baharu. Kalau orang keliru sama ada saya pelakon atau penyanyi, semua yang saya kecapi ini adalah rezeki daripada Tuhan.

Anda kini begitu popular di Malaysia, bagaimanakah reaksi orang kampung anda di Cebu?

Keluarga saya mengetahui saya seorang artis di Malaysia tetapi jiran-jiran tidak tahu apa yang saya lakukan di sini.

Menjadi budaya di sana apabila seseorang berpindah ke negara lain untuk mencari rezeki, mereka akan melayan seseorang itu seperti wakil rakyat. Mereka fikir saya ada banyak duit sehinggakan ketika balik kampung dan sedang makan pun, ada yang menghendap.

Bukan bermakna mereka meminta-minta duit daripada saya, cuma layanan mereka terhadap saya amat berbeza. Saya dilayan sama macam wakil rakyat.

Jadi, adakah benar anda kini sudah kaya dan mempunyai banyak duit?

Tidak. Hidup sebagai artis, pastinya pendapatan tidak konsisten. Bukan itu sahaja, kalau saya terima bayaran daripada kerja yang saya lakukan, saya harus berkongsi duit dengan orang-orang yang saya ambil berat seperti keluarga dan saudara-mara. Contohnya, kalau saya peroleh RM4,000, saya tidak makan semua. Keluarga saya bukan orang senang dan banyak keperluan mereka yang perlu saya penuhi kerana itu menjadi tanggungjawab saya.

Bila kali terakhir anda pulang ke kampung?

Tiga tahun lalu. Insya-Allah, awal tahun depan saya ingin pulang ke sana dan bantu apa yang patut. Impian saya untuk bina rumah baharu untuk ibu saya masih belum tercapai. Saya berharap ia akan dapat dilakukan tidak lama lagi.

Anda terlalu kuat bekerja sehingga tidak mempunyai masa untuk pulang ke kampung dan bercuti, mengapa?

Saya suka bekerja kerana bagi saya bekerja itu adalah percutian. Bertuah saya kerana mempunyai isteri yang sangat memahami dan menguruskan jadual kerja saya dengan baik. Dia tidak pernah mengeluh dengan kerja saya kerana tahu itu yang saya suka lakukan.

Post a Comment

Previous Post Next Post