Siti Nordiana nafi tamak


JADUAL seni Nana kini semakin padat sementelah penyanyi kecil molek ini sedang bersiap sedia untuk teater pertamanya Dia Semanis Honey di pentas Istana Budaya.

SEJAK menjuarai program Gegar Vaganza 2 pada tahun lalu, jadual kerja pelakon dan penyanyi Siti Nordiana boleh dikatakan cukup padat. Tambahan pula, selain menyanyi dan berlakon, dia turut berkecimpung dalam bidang perniagaan. Semestinya, keba­nyakan masa yang ada dipenuhi dengan tuntutan kerja.

Bahkan, waktu hujung minggu yang sepatutnya diluangkan bersama keluarga juga ada kalanya terpaksa digadaikan demi mencari nafkah bagi membesarkan anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie yang kini berusia lapan tahun.

Biarpun terpaksa kerja siang dan malam, aktres berusia 32 tahun itu tidak pernah mengeluh. Sungguhpun begitu, ada kalanya, dia mengakui kudratnya tidak tertanggung. Apa yang pasti, setiap peluang yang datang mahu digunakan sebaik­nya.

Apatah lagi bergelar seorang ibu tunggal, pe­­nyanyi yang ter­ke­nal de­ngan sapaan Nana itu membe­ritahu dia menganggap setiap tawaran yang diterima sebagai rezeki buat dia sekeluarga.

Melihat keadaan dirinya itu, ada pihak yang mendakwa seolah-olah Nana mahu me­lakukan semua kerja pada satu masa. Sungguhpun begitu, katanya, situasi itu tidak bermaksud dia mahu membolot semua tawaran yang datang kepadanya tanpa mengambil kira kemampuan dirinya.

“Kadang-kadang terdetik rasa letih juga sebenarnya. Bohonglah kalau saya cakap tak rasa penat, tapi apabila saya fikir-fikir semula, peluang yang datang bukan selalu.

“Sebenarnya, setiap kerja yang saya terima ia juga satu bentuk proses pembelajaran baharu buat saya. Saya akan belajar sesuatu yang baharu yang mana bagus untuk saya sebagai seorang yang berkecimpung dalam industri hiburan. Jadi, bukanlah niat mahu bolot semua tawaran yang datang,” katanya kepada Sensasi Bintang baru-baru ini.

Paling membimbangkan, katanya, dia kini terpaksa ‘berlari’ ke sana ke sini buat sementara waktu memandangkan dirinya terikat dengan sesi latihan secara intensif bagi menghadapi pementasan teater Dia Semanis Honey yang bakal menemui penonton pada awal tahun depan.

“Jadual saya setiap hari agak penuh. Ba­yangkan kami bisanya akan mula berlatih dari pukul 2 petang sampai lewat malam baru selesai.

“Komitmen untuk teater cukup tinggi. Memang banyak masa dihabiskan untuk berlatih apatah lagi ini merupakan pengalaman pertama saya berlakon teater. Cumanya, mana-mana tawaran yang saya sudah terima sebelum ini, saya tetap akan penuhi memandangkan ada yang sudah berjanji tiga bulan lebih awal. Tidak elok pula kalau saya nak batalkan.

“Jadi, sebenarnya memang tidak ada istilah nak kaut semua tawaran persembahan,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya mengenai persiapan beraksi di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur itu mengakui berasa gementar untuk berlakon teater buat pertama kali.

“Saya suka menggoyangkan badan ketika bercakap. Perkara itulah yang acap kali ditegur pengarah. Ini kerana pergerakan badan itu sebenarnya akan mencacatkan mutu persembahan kerana audiens akan terganggu dengan gerakan badan yang tidak sepatutnya.

“Pada masa sama, suara saya ini kecil. Untuk berlakon teater kita perlukan lontaran suara yang jelas dan dari perut. Lebih sukar sebenarnya daripada berlakon drama sebab banyak aspek yang perlu diambil kira dan tidak boleh tersilap. Selain berlakon, dalam teater itu nanti saya juga perlu menari dan menyanyi,” katanya yang bakal bergandingan dengan Aliff Satar dalam naskhah arahan Dira Abu Zahar itu.

Post a Comment

Previous Post Next Post