Saharul Ridzwan Doakan Allah melindungi kami


PASANGAN ini teruja dan berdebar menanti kelahiran cahaya mata pertama.

SELEPAS beberapa minggu berteka-teki, aktor berkarisma, Saharul Ridzwan akhirnya mengesahkan desas-desus mengenai kehamilan isterinya, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir yang sudah berusia lebih dua bulan baru-baru ini.

Sebelum ini, khabar angin pasangan itu bakal menimang cahaya mata bertebaran secara meluas rentetan gambar-gambar yang dimuat naik mereka di laman sosial.

Bimbang untuk bercerita lebih mendalam sebelum ini lantaran usia kandungan baru memasuki trimester kedua, Saharul atau nama sebenarnya Saharul Ridzwan Hashim, 27, memanjat doa kepada Yang Maha Esa supaya segala-galanya dipermudahkan.

“Alhamdulillah, doakan Allah melindungi kami,” ujar Saharul yang diijab kabulkan bersama Qaabila Deena Emir, 28, pada 16 September lepas.

Menghela nafas lega apabila tiada lagi yang perlu disembunyikan kepada khalayak, hero drama Padamu Ku Bersujud itu juga tidak mengekang hasrat isterinya meneruskan karier sebagai pereka fesyen dan pemilik butik seperti sebelum ini.

“Saya cuma menasihati isteri supaya tidak melakukan kerja yang berat selain kini turut memberikan lebih perhatian kepadanya.

“Alhamdulillah, sudah tentu berita baik ini menggembirakan keluarga dan juga peminat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Saharul yang tidak begitu sihat gara-gara demam menjelaskan, kehidupan mereka sebagai suami isteri juga berjalan lancar seperti biasa di sebalik debaran menimang cahaya mata buat kali pertama.

Cuma pada masa sama, Saharul juga percaya perkhabaran baik itu tidak akan menghalang hasratnya suci menunaikan umrah bersama isteri Januari depan.

“Kita pantau dulu keadaan semasa macam mana pada waktu itu. Sudah tentu, bimbang juga dengan kandungan namun apabila telah mendapat pandangan pakar yang lebih arif termasuk ustaz sebelum ini, ia tidak sepatutnya menjadi kebimbangan.

“Jadi buat masa ini, kami belum membuat sebarang keputusan lagi. Doakan yang baik-baik insya-Allah,” ujarnya seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post