
TEMPOH 30 tahun mengabdikan diri sebagai anak seni, Sheila Majid terharu diberi pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Wirama sempena AIM22, Ahad lalu.
PENGLIBATANNYA dalam industri muzik tanah air sudah melangkaui tempoh 30 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, sudah banyak pencapaian diraih ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid.
Tidak hanya di negara sendiri, nama beliau turut dikenali di negara jiran seperti Indonesia, Brunei dan Indonesia apabila kerap mengadakan konsert di luar negara.
Usai menjulang Anugerah Wirama pada malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22), emosi pelantun lagu Sinaran bercampur bersulam antara gembira dan terharu.
Di sebalik senyum cerianya, beliau turut meluahkan kekecewaannya tentang ketiadaan tajaan untuk menjayakan konsert di negara sendiri sempena ulang tahun ke-30 dalam industri.
Ikuti penjelasan daripada penyanyi berusia 51 tahun itu mengenai perkara tersebut selain perancangan kariernya selepas ini.
KOSMO!: Menjelang sambutan ke-30 tahun Sheila dalam industri, mungkin ada sebarang persembahan atau konsert untuk peminat di negara ini?
SHEILA MAJID: Maaf kerana buat masa ini saya tiada perancangan untuk membikin konsert di negara ini. Mungkin orang lihat saya kerap mengadakan konsert di luar negara tetapi untuk di negara sendiri, saya sudah tutup buku. Sebab utamanya adalah kesulitan dalam mendapatkan penaja. Ia situasi yang amat menyedihkan tetapi saya tiada pilihan.
Pada pandangan anda, mengapa situasi sebegitu terjadi dalam industri?
Saya tidak memandang rendah terhadap industri tetapi mungkin masyarakat kita sudah terbiasa dengan konsert atau persembahan percuma. Namun, dalam persembahan sebegitu, kepuasan penonton untuk melihat artis pujaan mereka sangat terhad kerana selalunya persembahan percuma akan menghimpunkan ramai penyanyi di atas pentas yang sama.
Situasi sekarang berbeza kerana masyarakat sukar mengeluarkan wang untuk menonton konsert artis solo. Saya masih ingat sewaktu menonton konsert Search berbelas tahun dahulu. Persembahan dan konsep yang disampaikan sangat berbeza dan unik sehingga membuatkan saya terpaku ketika melihat mereka keluar daripada api di atas pentas.
Adakah situasi tersebut mengecewakan anda?
Saya tiada masalah jika masyarakat lebih gemar memilih konsert percuma, tetapi harus diingat, terdapat perbezaan yang ketara antara konsert percuma dengan berbayar terutamanya daripada segi kualiti. Jika penonton memilih konsert berbayar, ia akan memberi kepuasan berganda kerana mereka dapat melihat artis kesukaan menyanyikan lebih daripada dua buah lagu. Disebabkan tiada konsert, jadi saya hanya fokus terhadap pembikinan album baharu sahaja untuk tahun depan.
Boleh ceritakan lanjut mengenai album tersebut? Adakah kali ini masih mengekalkan sisi muzik sama seperti album-album terdahulu, atau ada pembaharuan?
Dalam album itu, saya akan muatkan sebanyak 10 buah lagu baharu. Insya-Allah ia akan dilancarkan pada suku pertama tahun depan. Saya tidak akan menukar sisi muzik sebab peminat sudah faham stail muzik saya. Saya juga selesa dengan cara sedemikian.
Beralih kepada penganugerahan anda untuk Anugerah Wirama pada AIM22. Apa yang boleh dikongsi mengenai penghargaan tersebut?
Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berterima kasih atas rezeki ini. Ini bukan anugerah berdasarkan populariti tetapi penghargaan yang besar daripada industri muzik kepada individu yang layak. Penilaian dibuat oleh mereka yang pakar dan arif dalam bidang muzik dan saya berasa sangat berbesar hati apabila AIM22 memilih saya untuk anugerah kali ini.