
SELEPAS mengeluarkan tiga buah single berentak rancak, Ayda kini merancang beralih ke arah genre balada atau pop rock dengan single terbaharu pada tahun depan.
Satu demi satu peluang diraih si kecil molek, Ayda Jebat dalam memperkukuhkan karier seni. Hampir setiap percaturan kerjanya membuahkan impak menjadikan kepanasan Ayda tidak tenggelam biarpun ramai lagi pendatang baharu lain cuba merapati jurang populariti dengannya.
Mengakui tidak semua urusan berhubung karier seninya dibuat dengan memastikan segala aspek difikirkan dengan teliti, Ayda mendedahkan, hanya mengambil masa kurang daripada seminggu untuk mencipta single berjudul Nakal Nakal Nakal yang dilancarkan baru-baru ini.
Berkongsi lanjut, penyanyi dan pelakon berusia 24 itu berkata, situasi genting tersebut berlaku kerana drama lakonannya bersama Sharnaaz Ahmad, Awak Memang Nakal yang baru sahaja menamatkan siarannya baru-baru ini memerlukan lagu tersebut sebagai lagu tema.
“Sebenarnya, berlaku sedikit kekalutan apabila pihak stesen yang menyiarkan drama tersebut meminta lagu daripada saya untuk dijadikan lagu tema.
“Walaupun sudah agak lewat tetapi saya fikir, agak rugi jika tidak mengambil peluang menggunakan lagu sendiri dalam drama lakonan saya.
“Ia sekali gus mampu membantu mempromosi lagu Nakal Nakal Nakal dengan baik,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single tersebut di Kolej Damansara Utama (KDU) Kampus Glenmarie, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Masih menggunakan khidmat komposer dari Indonesia, Irwan Simanjuntak, lagu Nakal Nakal Nakal masih mengekalkan irama tekno yang rancak.
“Walaupun digubah dalam masa lima hari tetapi saya sangat pentingkan kualiti. Bekerja dengan Irwan Simanjuntak sangat mudah dan dia tahu untuk menghasilkan sebuah karya yang berkualiti walaupun dalam masa singkat.
“Kami pernah bekerjasama untuk lagu Pencuri Hati, jadi keserasian dalam kerja mudah berlaku antara kami biarpun berhubung dari jauh menerusi telefon sahaja,” ceritanya.
Pada majlis sama, Ayda turut melancarkan klip video single keduanya berjudul Pencuri Hati yang dirakam semula dalam versi dangdut.
Bercerita mengenai pembikinan lagu Pencuri Hati versi dangdut, Ayda berkata, proses penggambaran diadakan di negeri kelahirannya iaitu Melaka dalam masa sehari.
“Tujuan saya merakamkan lagu Pencuri Hati dalam versi dangdut kerana memikirkan sambutan hangat yang diterima terhadap lagu itu sejak dilancarkan pada Julai lalu.

REZEKI. Ayda Jebat menerima plak biasiswa daripada Timbalan Naib Canselor KDU College, Shanker Sathivellu di KDU, Kampus Glenmarie, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
“Malah, saya sangat berbesar hati untuk memasukkan elemen muzik dangdut dalam lagu ini kerana ironinya, irama dangdut kembali mendapat tempat dalam hati peminat tidak mengira bangsa,” ujarnya.
Lebih istimewa, lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Ayda dan Kevin Chin itu akan menembusi pasaran Indonesia menjelang awal tahun depan.
Tidak terhenti setakat album dangdut dan perancangan ke seberang, Ayda turut dikejutkan dengan pemberian biasiswa yang ditaja sepenuhnya oleh pihak KDU Shah Alam untuk meneruskan pelajaran dalam mana-mana bidang yang diminati untuk tempoh tiga tahun.
“Alhamdulillah, saya pun tidak sangka dengan peluang yang diberikan oleh KDU. Tawaran yang diberikan sangat menarik kerana KDU ada menyediakan kursus dalam bidang seni persembahan. Insya-Allah, saya akan fikirkan untuk menyambung pelajaran pada masa hadapan kerana sekarang sangat sibuk dengan jadual kerja,” ujarnya.
KDU telah memilih Ayda menerima biasiswa tersebut kerana pencapaian penyanyi itu dalam bidang nyanyian dan lakonan yang cukup memberangsangkan pada tahun ini. Ia juga sebagai platform memberi peluang kepada artis berbakat seperti Ayda melanjutkan pengajian mengikut bidang diminati untuk bekalan masa hadapan.