
Penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar kini boleh menarik nafas lega apabila sibuk menuai hasil usaha keras selama 10 tahun dalam kerjaya seni.
Menilai pembabitannya sepanjang tempoh itu, Alif berjaya mengukuhkan namanya apatah lagi jejaka berusia 26 tahun itu kini menjadi sebutan.
Membicarakan mengenai perkara itu kata Alif, dia bersyukur dan mengakui rezekinya sekarang semakin melimpah ruah.
Begitupun dia percaya rezeki yang dikurniakan itu didorong dengan niat hatinya untuk membina kehidupan lebih baik buat keluarga tercinta.
Sebagai ketua keluarga, sudah menjadi tanggungjawab Alif menyediakan keperluan isteri dan anak.
Tambahan pula, isterinya sedang hamil tujuh bulan dan dijangka bersalin Februari depan.
Pertambahan ahli keluarga itu membuatkan Alif ingin lebih bekerja keras.
Dia tidak kisah seorang diri membanting tulang demi keluarga kecilnya.
Penyanyi lagu Lelaki Seperti Aku itu lebih suka andai isterinya, Shadila Halid, 32, menjadi suri rumah sepenuh masa dan menjaga sendiri anak mereka.
“Sudah menjadi tanggungjawab saya bekerja dan menyara keluarga. Saya sudah beritahu isteri agar dia berhenti kerja. Ibu bapa saya rela hati untuk menjaga anak-anak sementara kami bekerja tetapi lebih afdal kalau kami sendiri yang menjaga dan membesarkan anak.
“Saya sebenarnya mempunyai ciri-ciri lelaki konservatif. Saya suka apabila balik rumah isteri ada depan mata, sediakan makanan dan membuat kerja rumah. Walaupun penat balik kerja tapi kalau tengok senyuman isteri ditambah pula juadah atas meja, terus rasa segar,” katanya.
Sibuk memenuhi tuntutan kerja, Alif lega kerana persiapan menyambut anak kedua tidak terlalu kelam-kabut seperti anak sulung. Pengalaman lalu mengajar mereka untuk lebih santai dalam menyediakan keperluan bayi yang akan lahir.
Cerita Alif, ketika menantikan cahaya mata pertama dilahirkan, dia dan isteri membeli banyak barang yang sebenarnya hanya boleh digunakan apabila bayi itu mencapai usia tertentu. Mereka kini lebih hati-hati ketika berbelanja.
“Kami bersederhana menyambut kelahiran orang baharu. Kami sudah tahu ada keperluan bayi yang tidak perlu dibeli sekarang. Dulu, kami beli semua barang termasuk ‘stroller’ sedangkan anak saya hanya menggunakan ‘stroller’ itu apabila usianya cecah setahun.
“Tidak banyak barang yang dibeli kali ini. Sebab anak kedua ini pun perempuan, dia boleh gunakan baju lama kakaknya. Cuma ada beberapa barang yang perlu ditambah untuk melengkapkan keperluan asas bayi,” katanya.
Pengalaman menguruskan anak sulung, Alisha Anugerah yang kini berusia dua tahun membuatkan Alif tidak lagi bimbang untuk menjaga anak keduanya yang akan diberikan nama Ariana.
Katanya, dia sudah mempunyai ilmu menjaga yang baru lahir.
Bagaimanapun, dia terpaksa meninggalkan isteri dan anak selama tiga minggu ketika Shadila dalam tempoh berpantang. Alif terpaksa ke Jepun untuk menjalani penggambaran drama. Dia sangat bersyukur mempunyai isteri yang memahami.
“Saya terlalu sibuk dengan kerja. Saya langsung tidak ada cuti. Disebabkan komitmen kerja, saya terpaksa meninggalkan isteri ketika dia sedang berpantang. Syukur kerana ibu bapa tinggal dekat dengan rumah. Mereka tidak ada masalah untuk menjaga Sha.
“Saya akan ke Jepun selepas anak kedua dilahirkan. Semua perancangan sudah pun dibuat. Persiapan dan keperluan isteri berpantang serta anak baru lahir akan saya sediakan sebelum berangkat. Ia penting agar semuanya berjalan dengan lancar.
“Saya bertuah kerana mempunyai isteri seperti Sha. Dia sangat memahami kerjaya saya. Dia juga memberikan sokongan sepenuhnya. Saya bangga kerana berkahwin dengan wanita yang tidak pernah merungut mengenai pekerjaan saya,” kata Alif.
Melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-31 menerusi lagu duet Selamanya Cinta, Alif bukan hanya perlu berlatih dan bersiap sedia untuk pertandingan itu. Dia juga sibuk dengan sesi latihan teater Dia Semanis Honey yang bakal dipentaskan di Istana Budaya.
Belum sempat berehat, dia terus sibuk dengan kelahiran anak keduanya kemudian ke Jepun untuk penggambaran. Alif melihat perkembangan kerjaya ini dari sudut positif. Walaupun tidak mendapat rehat yang cukup namun ia sangat berbaloi.
Bakal memulakan tahun 2017 tidak lama lagi, Alif ingin memperkukuhkan lagi namanya di persada seni. Dia mahu lebih ramai yang melihat dirinya sebagai seorang yang serba boleh. Bukan mengejar populariti, Alif hanya mahu kekal relevan dalam industri.
Selesai saja penggambaran di Jepun, Alif akan memulakan sesi rakaman untuk pembikinan album. Dia mempunyai strategi tersendiri dalam memasarkan lagu-lagu nyanyiannya. Alif akan muncul dengan album penuh dan bukan single demi single.
“Idea ini diutarakan sendiri oleh syarikat pengurusan. Mereka mempunyai perancangan dan strategi tersendiri untuk masa depan saya dalam bidang nyanyian. Saya berani menerima cadangan itu kerana yakin dengan peminat.
“Album itu memuatkan lapan lagu. Buat masa ini cuma itu yang saya dapat kongsikan. Saya sendiri tidak tahu tarikh sebenar album itu akan dilancarkan. Semua itu bergantung pada keadaan semasa,” katanya.