
Dari kiri: G-mie, Ameng, Zarul, Intan Sarafina, Siti Sarah dan Azharina bakal membuat perhitungan di pentas final gegar Vaganza 3 malam ini.
MALAM ini pastinya menjadi kemuncak debaran enam finalis Gegar Vaganza musim ketiga yang bakal melabuhkan tirai di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam.
Selepas saingan separuh akhir di venue yang sama minggu lepas, gegaran semifinalis, Nora terhenti apabila sekadar mengutip markah terendah iaitu 61.25 mata berbanding enam peserta lain.
Dengan keputusan itu, Azharina, Zarul dan Siti Sarah menepati ramalan awal menjadi finalis Gegar Vaganza 3 sambil diiringi tiga lagi pencabar iaitu Intan Sarafina, Ameng dan Gmie Screen ke pentas final.
Barangkali, tidak keterlaluan juga menyifatkan final berkenaan sebagai kemuncak drama Gegar Vaganza musim ini yang dilihat agak kontroversi berbanding musim-musim terdahulu.
Membuka tirai konsert pertama sejak 16 Oktober lepas, drama demi drama dilihat ‘tercipta’ sekali gus mewarnai pentas saingan Gegar Vaganza musim ini.
Dimulakan dengan penyebaran gambar peserta yang tidak diedit di laman sosial, drama terus tercetus sebaik Elly Mazlein tersingkir di minggu keempat, selain kontroversi pemilihan lagu Nora di peringkat separuh akhir sebelum ini.
Sebagai program yang semakin mencetuskan fenomena tersendiri, ‘permainan’ drama dalam Gegar Vaganza 3 sebenarnya ini dilihat normal bagi menarik rating penonton dan tidak mustahil ‘ramuan’ seperti ini tetap dikekalkan pada musim-musim akan datang.
Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, persembahan hebat keenam-enam finalis musim ini pastinya mewarnai kehangatan pentas akhir Gegar Vaganza 3.
“Sudah tentu ada kejutan yang bakal berlaku pada malam kemuncak final nanti. Justeru, jangan ketinggalan untuk menyaksikan siapa yang bakal bergelar juara.
“Kami juga berpuas hati dengan pilihan juri dalam menentukan finalis memandangkan kesemua peserta kali ini memiliki kekuatan tersendiri,” ujarnya.

GEGARAN Nora sekadar terhenti di peringkat separuh akhir Gegar Vaganza musim ini.
Pada peringkat final malam ini, kontroversi juga seakan-akan tidak ternoktah apabila Ameng turut bakal mendendangkan dua lagunya sendiri berjudul Bougenvilla dan Romantis.
Cuma jelas Raqim, situasi itu tidak wajar dijadikan isu lantaran pihaknya tidak pernah mengekang pemilihan lagu yang ditetapkan peserta sejak musim-musim terdahulu.
“Terdapat kelebihan dan kekurangan berhubung perkara ini. Meskipun peserta diberikan kelonggaran untuk membawakan lagu sendiri, mereka sudah diberitahu oleh juri bahawa markah akan dipotong atas beberapa sebab tertentu.
“Cuma pada masa sama, lagu sendiri tetap ada cabarannya kerana peserta dikehendaki membuat susunan baharu dan berbeza daripada lagu asal,” ujarnya.
Selain Ameng, Azharina yang mengungguli saingan separuh akhir sebelum ini bakal mendendangkan dua buah lagu dendangan Nike Ardilla berjudul Mama Aku Ingin Pulang dan Izinkanlah, sementara Zarul akan menyanyikan lagu Gerhana dan Dendangan Laguku.
Siti Sarah pula akan mempersembahkan dua buah lagu berjudul I Will Always Love You dan Matahariku, Intan Sarafina (Sedetik Lebih dan Kemelut Di Muara Kekasih) sementara Gmie yang terselamat daripada tersingkir hasil imuniti sebelum ini pula akan mendendangkan dua buah lagu berjudul Bila Bulan berwarna Biru dan Salam Terakhir.
Siapa yang bakal muncul juara Gegar Vaganza 3 malam ini, sekali gus mengulangi pencapaian Ayai Illusi dan Siti Nordiana yang muncul juara dua edisi terdahulu. Jangan lupa saksikan saingan final Gegar Vaganza 3 yang turut bersiaran secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).
Juara musim ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi, manakala naib juara (RM50,000 dan trofi).
Bagi tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000 dan RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi dan hadiah.