Kebimbangan Sharnaaz Ahmad, Ayda Jebat


BAIK Ayda Jebat mahupun Sharnaaz Ahmad, kedua-duanya berkelana dalam satu lapangan yang sama. Apa yang membezakan mereka hanyalah lakaran liku-liku yang mereka sudah lalui sebagai seorang anak seni. Semestinya, jika ingin dihitung perjalanan mereka, dari sudut jarak masa, Sharnaaz sudah berada di depan berbanding rakan seperjuangannya, Ayda.

Sungguhpun begitu, garis masa bukanlah penentu kepada nilai seseorang artis itu. Ini kerana, jika diamati daripada sudut populariti dan kualiti kerja, tidak keterlaluan jika mengatakan Ayda yang boleh dianggap ‘adik’ kepada Sharnaaz juga sudah berdiri sama tinggi dengan ‘abangnya’ itu.

Pencapaian yang mereka tunjukkan sepanjang tahun ini juga sudah cukup membuktikan kredibiliti masing-masing sebagai anak seni. Bukan sahaja diukur dari segi karya yang mereka hasilkan, tetapi juga penganugerahan dan pengiktirafan yang diterima kedua-duanya pada tahun ini.

Sememangnya, pasangan yang bergandingan sama menerusi drama Awak Sangat Nakal itu bakal menutup tirai kalendar 2016 dengan momen yang cukup indah. Dengan erti kata lain, tahun ini juga boleh dianggap sebagai tahun tuah buat mereka.

Bimbang

Menganggap apa yang diterima sebagai satu limpahan rezeki, pada masa sama, sebenarnya ada kebimbangan yang terdetik dalam diri mereka. Jika pada awal kemunculan, mereka mungkin bukanlah siapa-siapa, kini ‘nama’ yang sudah dibina itulah yang menjadi cabaran besar kepada diri mereka sendiri.

“Saya bimbang orang fikir bayaran saya mahal. Itu apa yang saya diberitahu sendiri oleh pihak stesen penyiar. Walhal, harga bayaran saya biasa sahaja. Itu persepsi orang industri terhadap saya.

“Jadi, orang takut nak ambil saya berlakon. Bahkan, ada yang memberikan alasan sekiranya ambil saya berlakon, mereka tidak tahu dengan siapa patut digandingkan bersama,” katanya ketika ditemui sewaktu sesi fotografi bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.


Menurut aktor berusia 31 tahun itu, persepsi begitu sepatutnya perlu dikikis. Ini kerana, katanya, bergelar pelakon, ia bukanlah hanya berkisar mengenai bayaran semata-mata. Banyak aspek yang perlu dilihat dan ditapisnya sebelum satu-satu tawaran itu diterima.

Paling utama katanya, dia akan memikirkan soal kemampuan diri untuk menggalas peranan yang diberikan terlebih dulu. Pada masa sama katanya, setiap pelakon itu juga perlu ada karakter tersendiri yang mampu meletakkan dirinya berbeza dengan pelakon-pelakon lain sedia ada.

“Apabila pelakon mahu ambil semua (tawaran), macam mana dia mahu ada karakter. Itu yang menjadi masalah utama dalam industri kita. Sebagai contoh terbaik yang kita boleh tengok pelakon yang mempunyai karakter adalah Ziana Zain dan Faizal Hussein. Cara mereka lain, dari segi dia bercakap sahaja kita sudah kenal,” luahnya.

Sungguh pun begitu, kata Sharnaaz, pucuk pangkal semuanya terletak di tangan pelakon itu sendiri. Populariti dan bakat jelasnya, merupakan dua elemen yang perlu dinilai secara berasingan.

“Apabila orang terlalu fikirkan populariti berbanding bakat, industri boleh jadi ‘sakit’. Adakalanya, yang popular itu kualiti berlakon tidak ada dalam Finas pun. Saya tidak salahkan sesiapa, bukan tuju pada mana-mana individu, sebaliknya, ini juga nasihat kepada diri sendiri. Jika sudah tahu tak mampu galas, kenapa perlu terima jua, kena salahkan diri sendiri,” jelasnya.

Pening fikir hero

Begitu juga dengan apa yang dirasakan pelantun lagu hit Pencuri Hati, Ayda Jebat. Sebagai pelakon yang acap kali memegang watak heroin katanya, jika diminta memberikan cadangan pilihan gandingan, adakalanya, dia kebuntuan untuk memikirkan siapakah gerangan yang benar-benar menepati kriteria sebagai hero.

“Pemilihan pelakon bukan boleh sekadar mahu cuba-cuba. Bukan hanya kerana seseorang itu popular, tapi perlulah yang betul-betul ada mutu.

“Hero susah nak cari yang bagus, ada rupa dan betul-betul ada kriteria sebagai seorang hero. Kalau orang tanya saya, adakalanya, sampai tanya balik, siapa lagi ya? Pening nak fikir siapa,” kata pelakon berusia 24 tahun itu.

Bahkan, kata Ayda, banyak situasi di mana pelakon lelaki yang bergelar teraju utama itu pada dasarnya bukanlah dibentuk untuk menjadi hero sebenar, tetapi lebih bergantung kepada nasib.

“Tak boleh nak salahkan pelakon juga mengapa mereka tetap terima tawaran untuk jadi hero. Kadang-kadang, pengarah yang pilih. Itu yang kita lihat ada pelakon lelaki yang tidak dilatih untuk jadi hero, tiba-tiba namanya terus naik.


Kedua-dua pelakon ini sentiasa merendah diri biarpun sudah mengecapi status bintang dalam dunia lakonan.

“Antara nama yang selalu saya beri kalau diminta pandangan, Sharnaaz lah. Lagipun, memang dari dulu saya memang nak berlakon dengan Sharnaaz. Dalam drama Awak Sangat Nakal pun saya yang beritahu produksi nak berlakon dengan dirinya,” seloroh Ayda yang mengakui selesa bergandingan dengan aktor kacak tersebut.

Biarpun namanya kini sedang memuncak, kata Ayda, pada masa sama, dia berdepan kerisauan untuk mengekalkan apa yang sudah dimiliki. Dia sedar, populariti itu bagaikan satu roda. Tak selalunya dia akan terus berada di atas.

“Bukan mudah untuk kekalkan apa yang kita sudah capai. Saya sendiri pernah berada di bawah. Sebelum ini, saya pernah berlakon dengan Sharnaaz juga, tapi tiada orang mahu temubual saya pun, sebab waktu itu orang tak kenal siapa saya,” usik aktres yang mencipta populariti menerusi drama Rindu Awak 200 Peratus itu..

Perancangan

Ditanya mengenai perancangan bagi tahun mendatang, kata Ayda, fokusnya kini tertumpu dalam bidang nyanyian. Apatah lagi kini dia sibuk mempromosikan single Nakal Nakal Nakal yang juga merupakan lagu runut bunyi bagi drama Awak Sangat Nakal.

“Saya tidak ada sebarang penggambaran drama sampai awal tahun depan kerana menguruskan nyanyian saya. Kalau saya berlakon, tak boleh nak siapkan lagu pula. Lagipun, memang tak boleh nak buat dua benda dalam satu masa.

“Pada saya tak perlu banyak sangat kerja dalam satu masa. Apa yang penting kekalkan mutu. Saya juga akan keluar dengan filem berjudul Pinjamkan Hatiku tahun depan,” kongsinya.

Bagi Sharnaaz pula, katanya diharapkan kalendar 2017 nanti memberi satu tuah juga buatnya.

“Ramai juga yang kata tahun ini tahun saya. Orang nak bagi anugerah, kita terimalah. Tapi kalau tanya saya, saya mahu anugerah sebagai legenda. Tapi itu kena tunggu mati lah. Kira bolehlah, tinggalkan untuk anak cucu,” selorohnya yang turut memberi gambaran mengenai persediaannya untuk berumah tangga.

Post a Comment

Previous Post Next Post