Aeril Zafrel Bersahabat tidak semestinya bercinta


PASANGAN ini menafikan laporan rumah tangga mereka bergolak sehingga terpaksa bercuti ke luar negara.

SUHU termometer hiburan tanah air minggu ini hangat seketika selepas rumah tangga pasangan popular, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal dilaporkan bergolak sehingga terpaksa bercuti ke luar negara.

Menerusi laporan pojok sebuah akhbar mingguan baru-baru ini, Wawa dikatakan cemburu dengan keserasian Aeril bersama rakan segandingannya, Ummi Nazeera dalam drama Patahnya Sebelah Sayap yang mencetuskan fenomena luar biasa ketika ditayangkan sebelum ini.

Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 25, bagaimanapun menyangkal dakwaan itu, sambil menjelaskan dia telah mengetahui persahabatan akrab antara suaminya dan Ummi sejak sekian lama.

Pada masa sama, Wawa juga sempat mempromosikan drama terbaharu yang sekali lagi menggandingkan suaminya bersama Ummi berjudul Nahu Rindu yang dijangka bakal ditayangkan di slot Zehra di saluran TV3 pada Januari depan.

Enggan spekulasi itu berpanjangan, Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abadin, 26, baru-baru ini turut memuat naik sebuah video di laman Instagram peribadinya bagi menjelaskan perkara itu kepada peminat.


UMMI menyifatkan hubungannya bersama Ariel tidak lebih daripada sekadar persahabatan.

“Sejujurnya, tiada apa yang berlaku, Wawa juga sangat baik dan profesional. Saya harap semua orang tidak membesarkan perkara ini dan membuat spekulasi,” ujar Ummi dalam video tersebut.

Ungkap Ummi lagi, dia tidak memiliki apa-apa hubungan istimewa dengan Ariel dan perlu menjaga hati pelbagai pihak memandangkan dirinya kini sudah berpunya.

“Saya sudah ada orang lain, jadi perlu menjaga hati pelbagai pihak. Tidak semua persahabatan berakhir dengan percintaan, kadang-kadang ia terjalin kerana pekerjaan dan itu yang terjadi antara saya dan Ariel. Terima kasih kerana memahami,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Aeril atau nama penuhnya Suhairil Sunari, 28, ketika ditemui Sensasi Bintang turut menganggap gosip seperti itu sebagai asam garam dunia artis.

“Salah satu resipi kebahagiaan ialah saya tidak pernah merahsiakan sesuatu daripada pengetahuan isteri. Kata laluan Instagram pun dia tahu.

“Apa yang berlaku semuanya disusun oleh Allah dan sebagai selebriti, dugaan sentiasa ada. Sebab itu, saya perlu menghindari perkara yang boleh mendatangkan fitnah,” ujarnya.

Aeril dan Wawa sebelum ini mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2012 dan telah dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ahmad Fakharuddin Attar, 3, dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa yang kini sudah berusia setahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post