Indah Ruhaila kahwin tahun hadapan


Indah Ruhaila tidak pernah menolak tentang ajaibnya hubung kait antara jodoh, rezeki dan tuah. Bagi wanita itu, tiada sesiapa pun dapat menebak bibit-bibit hikmah yang tersembunyi di sebalik aturan kehidupan yang telah ditetapkan Yang Maha Pencipta, apatah lagi meramal tentang kejadian masa depan.

Mengikat tali pertunangan seminggu sebelum menyertai program realiti Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Indah tidak menyangka jalinan yang sepatutnya menjadi tanda perjanjian sementara untuk bergelar isteri tersebut berlanjutan untuk satu jangka masa yang agak lama.

Lebih tidak diduga, ikatan tersebut turut menimbulkan spekulasi dan cakap-cakap kurang enak yang mendakwa anak jati kelahiran Johor itu tidak lagi mahu meneruskan perhubungan bersama tunangnya. Bukan sengaja mahu melengahkan majlis pernikahan, Indah atau nama lengkapnya, Siti Ruhailah Hussein mempunyai jawapan terhadap persoalan yang kerap terpacul dalam benak peminat.

“Ramai yang bertanya kepada saya sama ada hubungan bersama tunang masih dalam keadaan baik atau sebaliknya. Apa yang boleh saya katakan, hubungan kami dalam keadaan baik-baik sahaja.

“Bukan sengaja untuk melengahkan perkara yang baik. Tetapi, kami terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan kerana jadual yang sangat padat selepas terlibat dengan AF2013 sekitar tiga tahun lalu. Begitupun, saya berasa sangat bersyukur kerana kedua-dua belah keluarga sangat memahami,” katanya.

Bakal memasuki usia 30-an pada tahun hadapan, pelantun lagu Percayalah itu nekad mengakhiri zaman bujang bersama tunangannya, seorang pengurus akaun yang hanya mahu dikenali dengan panggilan R.

“Jika difikirkan kembali, usia kami semakin meningkat dan keinginan untuk memiliki keluarga semakin kuat dirasakan. Tambahan pula, umur saya akan menginjak ke angka 30 tahun pada tahun depan.

“Insya-Allah, saya dan tunang akan mendirikan rumah tangga pada tahun depan. Namun, tarikhnya masih belum diputuskan,” katanya lagi.

Merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan di kampung halamannya di Johor Bahru, anak saudara kepada Ayai Illusi itu tidak mengimpikan sebuah keraian yang berskala besar.

“Pada awalnya, saya teringin untuk mengadakan majlis di Kuala Lumpur. Apabila memikirkan kos penginapan dan beberapa perkara lain, cukuplah sekadar sebuah majlis sederhana yang dihadiri oleh kedua-dua belah pihak di kampung.

“Tambahan pula, keluarga kami juga bersetuju dengan cadangan tersebut,” ujar Indah yang terpaksa menolak jika ada program perkahwinan yang ingin merakamkan detik bersejarahnya disebabkan permintaan kedua-dua belah keluarga.


PERTUNANGAN. Mengekalkan ikatan pertunangan selama tiga tahun dan pada masa sama berjuang mengukir nama sebagai penyanyi merupakan suatu tempoh yang cukup mencabar buat Indah Ruhaila.

Material

Kelewatan bergelar isteri bukanlah suatu penantian yang sia-sia. Selepas menamatkan ‘pengajian’ muzik menerusi AF2013, bintang Indah sebagai penyanyi semakin menyinar selepas single berjudul Percayalah mendapat maklum balas positif daripada khalayak.

Lagu ciptaan Aiman yang dinyanyikan pada konsert akhir AF2013 tersebut bukan sahaja melayakkan Indah merebut tempat keempat dalam program realiti berkenaan, malah single yang dikatakan berhantu oleh banyak orang itu turut menjadi tiket buatnya ke pentas Anugerah Juara Lagu pada 2014.

Biarpun kejayaan lagu tersebut melanjutkan perimeter kariernya ke radius yang lebih besar dan luas, Indah mengakui, masih sukar untuk meneka dan mengagak trend muzik masa kini yang sealiran dengan selera pendengar.

“Selepas lagu Percayalah, saya muncul dengan single Di Sebalik Takdir. Saya meletakkan harapan yang sangat tinggi terhadap karya ciptaan Edry Abdul Halim itu. Namun, Di Sebalik Takdir kurang memberi impak terhadap pendengar seperti lagu Percayalah.

“Sejujurnya, saya berasa sedikit kecewa kerana Di Sebalik Takdir dilihat sebagai sebuah lagu yang mempunyai potensi besar. Namun, saya ambil kegagalan tersebut sebagai perkara positif dan berusaha menawan pendengar dengan karya-karya seterusnya,” ujarnya.

Kata-kata tersebut dibuktikan Indah menerusi penerbitan single terbaharunya berjudul Semua Untuk Cinta. Ditulis oleh rakan baiknya, Hael Husaini yang juga anggota kumpulan Azhael, Indah meletakkan harapan yang tinggi terhadap percubaan ketiganya.

“Saya akui sedikit sukar untuk melawan kehebatan lagu Percayalah. Jadi, sudah menjadi tugas saya untuk mencari karya terbaik untuk dirakamkan.

“Apabila meminta sebuah karya daripada Hael dan mendengar Semua Untuk Cinta buat kali pertama, saya terus jatuh hati. Alhamdulillah, selepas ia dipasarkan beberapa bulan lalu, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan” katanya sambil tersenyum.

Berbicara lanjut mengenai komposisi lagu tersebut, Indah berkata, Semua Untuk Cinta berbeza dengan karya-karya yang pernah dirakamkan sebelum ini.

Katanya, Semua Untuk Cinta digarap dengan gaya yang sedikit santai dan cukup sesuai dengan pasaran muzik semasa.

“Berbanding lagu Di Sebalik Takdir yang sedikit gelap, Semua Untuk Cinta bersifat santai dengan lirik yang ringan.

“Ia juga kedengaran sedikit rancak tetapi masih mengekalkan irama pop dan kekuatan vokal sebagai elemen utama. Secara keseluruhan, saya cukup berpuas hati dengan karya tersebut,” katanya lagi.


CEKAL. Permulaan karier nyanyian Indah tidak berjalan lancar. Tidak berjaya sewaktu bersama SRC, Indah hampir kecewa. Dia kemudiannya menyanyi di sebuah hotel di JB untuk menampung hidup.

Band dan jazz

Biarpun dikenali dengan lagu-lagu pop komersial, Indah yang sebelum ini pernah menghasilkan album bersama Suria Records ketika usianya 21 tahun cukup menggemari irama jazz.

Obsesi terhadap genre muzik tersebut bermula ketika dia bekerja sebagai penyanyi di sebuah hotel di Johor Bahru selepas tamat kontrak bersama Suria Records.

Selain kegilaan terhadap jenis muzik yang sering dikaitkan dengan golongan elit tersebut, Indah turut merindukan momen manis bersama band pengiring persembahannya dahulu.

“Setiap kali pulang ke kampung, saya akan menyanyi bersama mereka. Sudah pasti, saya akan mendendangkan lagu-lagu jazz dan beberapa genre lain yang pernah dinyanyikan suatu ketika dahulu.

“Mungkin agak pelik dilihat oleh segelintir orang, tetapi saya puas apabila dapat menyanyi bersama mereka,” katanya.

Ditanya adakah tidak mahu mempertimbangkan peluang menyanyi bersama band seperti alumni Akademi Fantasia yang lain iaitu Akim & The Majistret dan Hazama & The Penglipur Lara, jawab Indah: “Perancangan untuk menyanyi lagu-lagu bernuansa jazz bersama band memang ada.

“Tetapi buat masa ini, saya perlu fokus dengan kerjaya solo dan mengikut kehendak pasaran dan peminat,” ulas pemuja kumpulan Post Modern Jukebox ringkas menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post