Hancurnya plot cinta #Lofattah Neelofa & Fattah Amin


Neelofa menjelaskan, status perhubungannya dengan Fattah Amin sebelum ini sebagai sebuah hubungan yang sukar.

Bom kimia yang meledak antara pelakon Neelofa dan Fattah Amin sejak drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot bersiaran sekitar dua bulan lalu berlaku dalam skala yang cukup luar biasa.

Lanjutan daripada fenomena tersebut, keserasian Neelofa dan Fattah membawakan watak Warda Erina dan Ejaz Fakhri berjaya mencuri tumpuan penonton, sekali gus membuahkan harapan indah dalam kalangan peminat untuk melihat mereka menjalinkan hubungan cinta persis di layar kaca.

Ditambah dengan adegan mesra mereka menerusi rakaman video menerusi Instagram, mengukuhkan lagi harapan peminat terhadap pasangan pelakon tersebut untuk melihat mereka maju ke fasa seterusnya.

Namun, belum sempat pengesahan daripada kedua belah pihak dibuat mengenai angin asmara mereka, Neelofa telah memuat naik status di Instagram menyatakan hubungan mereka hanyalah sekadar teman biasa.

Seperti halilintar membelah langit, muncul tanda tanya adakah episod cinta mereka kini menemui penghujung.

Ditemui pada majlis pelancaran Kad Muslimah Bank Rakyat di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur semalam, pengacara rancangan MeleTOP itu menyifatkan status di Instagram yang dimuat naik minggu lalu sebagai kunci jawapan untuk setiap andaian khalayak.

Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor, 27, turut memberi penjelasan mengenai babak pertemuan orang tuanya bersama ibu bapa Fattah seperti yang dilaporkan oleh beberapa media baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Neelofa rungkaikan apa yang sedang bermain di minda sewaktu memuat naik kapsyen sebegitu di Instagram?

NEELOFA: Tindakan saya memuat naik respons di Instagram kerana mahu menjelaskan keadaan sebenar. Sejak rapat bersama Fattah, banyak andaian dibuat oleh khalayak.

Biarpun saya telah memperjelaskan semuanya, masih ada yang mempersoalkan tindakan tersebut. Saya tidak mampu untuk puaskan hati semua orang.

Adakah tindakan tersebut dibuat akibat tersentak dengan pengakuan Fattah tentang pertemuan kedua-dua ibu bapa kalian baru-baru ini?

Banyak salah faham yang berlaku di situ. Sejujurnya, Fattah tersalah dengar soalan dan jawapannya juga salah.

Benar, kami ada berjumpa tetapi dalam majlis-majlis keraian seperti kenduri kahwin. Apa yang boleh saya katakan, ia merupakan perjumpaan biasa dan tidak melibatkan sebarang pertemuan atau perbincangan khusus.

Adakah keluarga anda terkesan dengan isu tersebut?

Alhamdulillah, mereka sangat memahami. Tiada sebarang reaksi diberikan. Saya berpendapat, mereka faham bahawa saya mampu menangani perkara ini dengan matang.


FATTAH AMIN

Peminat mahukan kalian bercinta. Jadi, apakah status hubungan anda sebelum ini bersama Fattah?

Dari hari ke hari, saya banyak belajar mengenai peminat. Selama enam tahun bergelar selebriti, saya tidak pernah mendapat sokongan seutuh ini. Jadi, saya cuba penuhi setiap permintaan sehinggalah, mereka mahukan hubungan Ejaz dan Warda direalitikan.

Hanya permintaan yang satu itu sahaja tidak mampu saya berikan sebarang kata putus. Apa yang boleh saya katakan, ia sebuah hubungan yang sukar untuk dijelaskan.

Bagaimana jika kalian mahu digandingkan semula untuk projek berikutnya?

Saya sentiasa bersikap profesional dan terbuka.

Ada khabar angin mendakwa konon-kononnya ada orang ketiga. Difahamkan, pelakon berdarah kacukan menjadi punca keretakan hubungan dengan Fattah. Benarkah dakwaan tersebut?

Saya rasa tidak adil untuk bercakap tentang perkara ini tanpa kehadiran Fattah mahupun individu tersebut. Ia akan melukakan hati banyak pihak.

Boleh kongsikan sedikit mengenai kerjasama anda dengan Bank Rakyat?

Saya berasa gembira kerana dipilih untuk bergelar duta bagi Kad Muslimah Bank Rakyat. Menerusi komitmen selama setahun, saya akan berkongsi kelebihan yang ada pada kad tersebut dan cara-cara untuk menggunakan kad kredit tanpa risiko bebanan hutang.

Post a Comment

Previous Post Next Post