
BARU memenangi anugerah Lagu Hip Hop Terbaik pada AIM22, Altimet menetapkan sasaran untuk berhenti menjadi penyanyi sekitar 2018.
MENDENGAR sahaja bait lirik dalam setiap lagu yang didendangkan, pasti peminat sudah boleh menebak siapa gerangan penyanyinya.
Sering menulis lirik yang dekat dengan rakyat dan adakalanya berbaur sindiran menjadikan ia sebati dengan penyanyi rap popular bernama Altimet.
Masih mengekalkan rentak sama, Altimet atau nama lengkapnya, Ahmad Abdul Rahman kini kembali mempromosi single baharu yang berjudul Amboi.
“Lagu Amboi dicipta berdasarkan pemerhatian saya terhadap orang Malaysia, terutamanya mereka yang hanya berani menggunakan laman sosial untuk mengkritik. Apabila berjumpa secara berdepan, mereka tidak berani untuk bersuara.
“Pengalaman seperti ini memang sering terjadi dalam kehidupan kita. Bagaimanapun bagi saya, ia merupakan satu hiburan,” ujarnya memulakan bicara ketika ditemui dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Melanjut bicara, ujar jejaka berusia 38 tahun itu, single Amboi sebenarnya merupakan salah satu lagu yang terdapat dalam album baharu miliknya.
Menggunakan tajuk yang sama iaitu Amboi, ujar Altimet, dia sengaja mencabar diri untuk menyiapkan album tersebut hanya dalam masa satu bulan sahaja.
“Album ini saya siapkan pada bulan Julai yang lalu sebelum menyertai rancangan Super Spontan. Ketika itu, saya tidak mempunyai masa yang banyak, jadi saya mencabar diri untuk menyiapkan keseluruhan album hanya dalam masa sebulan.
“Alhamdulillah, walaupun pada awalnya saya menyasarkan 10 buah lagu baharu tetapi hanya sembilan lagu sahaja yang sempat disiapkan,” ujarnya sambil mengakui Amboi merupakan album paling cepat pernah dihasilkan sepanjang berada dalam industri.
Antara lagu lain yang terdapat dalam album berkenaan adalah Seru, Jaguh, Saya dan Kulit.
Ditebak soal kualiti album tersebut memandangkan hanya dibuat dalam masa singkat, Altimet tenang memberitahu, dia tetap berpuas hati dengan hasilnya.
“Walaupun dalam tempoh sebulan, namun ia bukan alasan untuk saya sambil lewa. Saya tetap menyiapkan album ini dengan bersungguh-sungguh kerana inginkan kualiti terbaik untuk peminat.
“Pada masa sama, album ini juga dianggap sebagai latih tubi buat diri saya untuk mengeluarkan album terakhir sebelum menamatkan karier sebagai penyanyi,” terangnya tenang.
Berhenti menyanyi
Memenangi trofi Lagu Hip Hop Terbaik menerusi lagu berjudul Janji pada Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM22), Ahad lalu, Altimet menyifatkan lagu berkenaan platform penceritaan soal kehidupan.
“Walaupun ia ada unsur ketuhanan tetapi sudah menjadi lumrah bagi penyanyi hip hop bercerita dalam lagu tanpa had isu.
“Lagu berkenaan dicipta untuk projek 25 Rasul oleh Astro dan secara tidak langsung ia bagus untuk generasi hari ini berhibur sambil belajar,” katanya yang menetapkan hati untuk meninggalkan karier sebagai penyanyi menjelang tahun 2018.
Keputusan tersebut diambil kerana ingin mencabar diri melakukan kerja baharu. Sebelum ini, dia telah meletakkan beberapa cabaran peribadi seperti menulis lirik berunsur kerakyatan dan ketuhanan.
“Buat masa ini, cabaran saya sebagai anak seni yang masih belum selesai adalah untuk mengeluarkan album O. Ia merupakan album terakhir saya dan mengisahkan perjalanan kerjaya saya bermula dari awal hingga akhir.
“Album yang dijangka keluar pada tahun 2018 itu nanti mungkin boleh digambarkan seperti sebuah filem dalam bentuk audio,” terangnya.
Berbicara mengenai perancangan selepas itu, ujar Altimet menggulung bicara:
“Saya tidak tahu lagi perancangan selepas ini. Mungkin saya akan berada dalam industri atau mungkin tidak. Tengoklah bagaimana nanti.”