
Lufya Omar sah menjadi permaisuri hati Hafiz di Laman Cinta Nirwana, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
SELEPAS hampir dua tahun menyulam cinta, pelakon Lufya Omar selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati, Che Muhammad Hafiz Che Baharum dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di Laman Cinta Nirwana, Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Diijabkabulkan tepat pada pukul 8.35 malam, pasangan itu dinikahkan oleh bapa Lufya, Sheikh Omar Sheikh Abdullah dengan disaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hazman Hashim.
Tampil anggun memadankan busana berwarna emas kekuningan sewaktu majlis akad nikah, Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar menerima mas kahwin sebanyak RM2,000, sebentuk cincin berserta tujuh dulang hantaran berbalas sembilan.
Ditanya tentang keistimewaan yang ada pada wanita berusia 31 tahun itu, Hafiz yang merupakan seorang doktor di Jabatan Perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang menyifatkan Lufya seorang wanita yang pandai mengambil hati.
“Kali pertama berjumpa sewaktu menghadiri jamuan rumah terbuka seorang rakan kami dua tahun lalu, saya langsung tidak tahu bahawa dia merupakan artis. Selepas berkenalan, barulah saya tahu Lufya Omar, seorang pelakon dan penyanyi.

Hafiz dan Lufya bercadang untuk mengerjakan umrah sekitar Januari tahun depan.
“Dia sangat istimewa kerana sifatnya yang lemah lembut, romantik, jujur dan mudah mesra. Apa yang penting, masakan pertama yang dia masak kepada saya iaitu ayam masak merah sangat sedap,” ujar lelaki berusia 26 tahun ini sambil ketawa.
Mendepani hari mendatang berkongsi hidup bersama lelaki yang bekerja dalam profesion menuntut pengorbanan masa, Lufya memberitahu, dia akan cuba memahami serta bertolak-ansur dengan kerjaya suaminya.
“Dalam perhubungan, tidak dinafikan sikap tolak ansur dan memahami adalah kunci utama untuk kekal bahagia. Saya tahu, kerjaya suami menuntut dia untuk menghabiskan lebih banyak masa di tempat kerja berbanding rumah.
“Sebelum ini, kami sudah berbincang untuk hormat dan memahami kerjaya masing-masing. Jika dia mempunyai jadual yang tidak tentu, saya juga begitu kalau terikat dengan penggambaran. Apa-apa pun, sebagai isteri saya perlu kuat dan belajar menerima budaya kerja dia,” ujar pelakon drama Umairah itu.
Tambah manis, pasangan yang mengikat tali pertunangan pada Ramadan lalu, merancang untuk berbulan madu dengan mengerjakan ibadah umrah selepas kedua-dua majlis resepsi mereka berakhir.
“Selepas ini akan ada dua buah majlis resepsi iaitu belah saya dan suami pada Januari tahun depan. Mungkin selepas itu barulah kami boleh memikirkan soal ibadah umrah kerana jadual suami yang sangat padat,” kata Lufya yang akan menetap di Shah Alam, Selangor bersama suami.
Beralih kepada perjalanan kariernya pada masa hadapan, Lufya yang juga merupakan bekas peserta program Akademi Fantasia musim keenam (AF6) berkata, dia tiada masalah untuk terus kekal dalam industri asalkan mendapat sokongan daripada suami.
“Sama ada sudah berkahwin atau tidak, sebagai wanita saya perlu menjaga batasan dalam lakonan. Ia tidak menjadi masalah asalkan watak yang diberikan sesuai dengan diri saya, malah suami juga sangat fleksibel tentang perkara itu,” katanya yang tidak meletakkan sasaran dalam soal perancangan keluarga dalam masa terdekat.