Bunkface intai pasaran antarabangsa


MTV EMA 2016 Perncalonan dalam majlis anugerah MTV EMA 2016 yang berlangsung di Rotterdam, Belanda merupakan pencapaian tertinggi Bunkface dalam kerjaya seni.

Satu dasawarsa bukan tempoh yang singkat, namun band berasal dari Klang, Selangor, Bunkface kebal bertahan dan membina sebuah jenama utuh sehingga hari ini.

Justeru, ketika diajak bercerita mengenai perjalanan 10 tahun sebagai pemuzik, Sam, Youk Paan mudah larut dibuai emosi.

Akui mereka, bukan untuk berdiri selesa sebagai pemuzik, apatah lagi baru-baru ini menerima pencalonan dalam anugerah MTV EMA 2016 (Anugerah Muzik Eropah) bersama Yuna dalam kategori Best Southeast Asia Act.

Pencalonan dalam anugerah yang berlangsung di Rotterdam, Belanda pada awal November lalu itu merupakan pencapaian tertinggi Bunkface dalam kerjaya muzik selama hayat ini.

Bagai orang mengantuk disorong bantal, peluang menghadiri anugerah MTV EMA 2016 digunakan sebaik mungkin untuk mengintai peluang ke pasaran antarabangsa.

Menurut vokalis Bunkface, Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Anuar Mohd. Baharom, 28, selama lima hari berada di Belanda sedikit sebanyak membuka peluang untuk mereka menjalinkan kerjasama dengan penerbit antarabangsa.

“Sebenarnya kami hanya dijemput sebagai tetamu dalam anugerah MTV EMA 2016 kerana mempunyai pencalonan.

“Walaupun begitu, ia memberi pengalaman dan peluang baharu kepada Bunkface, apabila pengurus kami dapat berkenalan dengan orang penting dalam organisasi MTV peringkat antarabangsa.

“Kami juga berkenalan dengan beberapa pemuzik dan penerbit antarabangsa. Boleh dikatakan walaupun tidak menang di anugerah MTV EMA 2016, ia membuka jalan buat kami melebarkan sayap muzik,” ujar Sam yang ditemui pada majlis pelancaran album Bunkface X di Matic, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seketika membiarkan rakan sekumpulan bercerita, Youk atau nama sebenarnya, Mohd Farouk Jaafar, 27, mencelah, pengalaman di sana amat berharga kerana telah membuka mata mereka tentang cara kerja pemuzik di luar negara.

“Banyak pengalaman menarik sepanjang berada di sana. Cara pemuzik di sana bekerja yang sangat berbeza dengan Malaysia. Banyak ilmu baharu dapat kami pelajari ketika menghadiri majlis anugerah tersebut,” kata Youk.

Disebabkan mahu memberi fokus kepada perancangan ke pentas antarabangsa pada tahun 2017, Bunkface mengakui mereka terpaksa menarik diri daripada menyertai peringkat separuh akhir pertandingan Muzik Muzik 2016 tempoh hari.

Selain memberi laluan kepada pendatang baharu dunia muzik tempatan, mereka juga tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya kepada program berkenaan andai mara ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) yang di jadual berlangsung pada 22 Januari 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Tambah Sam, sekitar hujung bulan ini atau awal tahun depan, mereka bakal berangkat ke Amerika Syarikat (AS). Tujuan ke sana adalah mencari pihak penerbit yang sesuai dan membikin album terbaharu yang akan dirakam dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

“Sebenarnya pihak kami tidak dapat memberikan jadual yang tepat tetapi sekitar penghujung tahun atau awal tahun depan. Andai kami terbang ke sana, ia mungkin akan memakan masa sekitar sebulan atau dua bulan. Jadi, kami bimbang tidak dapat memberi sepenuh komitmen terhadap AJL31.

“Sebelum menyusahkan orang lain lebih baik kami menarik diri. Perancangan ke AS dan kerjasama dengan penerbit antarabangsa sangat penting kerana ia mengangkat muzik kami ke peringkat yang lebih tinggi,” tutur Sam.

Disoal mengapa tidak menggunakan penyanyi gantian bagi mewakili Bunkface pada AJL31, kata Sam, sudah menjadi peraturan dalam band mereka untuk menggunakan anggota asal dalam setiap persembahan.

“Walaupun lagu kami Darah Muda layak dipertandingkan, kami memilih untuk tidak menggunakan penyanyi gantian. Anggap sahaja tiada rezeki dan beri peluang kepada penyanyi baharu. Bukan kerana tidak pernah menang, jadi kami tidak mahu sertai AJL. Bagi kami, pentas AJL sangat besar dan ia platform yang bagus untuk penyanyi.

“Cuma dalam masa terdekat ada perkara lain yang perlu kami fokus. Andai ada rezeki pada masa akan datang, kami akan bertanding semula dalam Muzik Muzik atau AJL,” balas Sam.

Jenama Bunkface

Beralih bicara tentang bidang perniagaan yang sebelum ini melahirkan barangan cenderahati dan minyak wangi, Bunkface kini bersedia mengembangkan empayar perniagaan ke dalam bidang makanan dengan membuka francais restoran Miami Grill yang dimiliki oleh penyanyi antarabangsa, Pitbull.

Restoran Miami Grill yang dimiliki bersama rakan kongsi itu akan dibuka di SACC Mall, Shah Alam, Selangor sekitar awal tahun depan.

“Kami memilih untuk melabur dalam bidang perniagaan makanan kerana orang Malaysia suka makan. Memang ia sebuah perniagaan berisiko tinggi tetapi seandainya diuruskan dengan baik, ia akan memberi pulangan yang lumayan,” kata Youk.

Bercerita mengenai penglibatan mereka dalam perniagaan makanan, Sam menyifatkan ia sebagai cabaran baharu untuk Bunkface.

Bagi merealisasikan impian untuk menjadikan Bunkface sebuah empayar, langkah pertama harus diambil.

“Misi terbesar kami adalah menjadikan Bunkface sebuah empayar perniagaan yang boleh dijadikan bekalan ketika tua dan diwariskan kepada anak-anak. Oleh itu, kami harus mengambil langkah pertama dan bermula dari bawah.

“Walaupun tiada pengalaman, ini merupakan peluang terbaik untuk mempelajari pengurusan perniagaan daripada rakan kongsi. Sekiranya gagal, sekurang-kurangnya kami telah mencuba sesuatu yang belum pernah dilakukan,” kata Youk.

Konsert dan album

Sempena sedekad usia Bunkface, selain menganjurkan konsert Bunkface X Live In Kuala Lumpur pada 24 Disember nanti, mereka juga melahirkan sebuah album kompilasi berjudul Bunkface X.

Album tersebut memuatkan 19 buah lagu yang dipetik daripada album pertama berjudul Lesson Of The Season (2007) sehinggalah album terkini, Malam Ini Kita Punya (2014).

Bukan itu sahaja, ia turut mengandungi sebuah single baharu berjudul Orang Kita yang merupakan kolaborasi bersama penyanyi Amir Jahari.

“Album ini boleh disifatkan sebagai hadiah buat peminat dan sebagai penutup yang sesuai sempena sedekad Bunkface. Album berkenaan akan mula dijual pada hari konsert dan dikeluarkan dalam bentuk cakera padat serta kaset.

“Kami sengaja mengeluarkan kaset kerana ia boleh dijadikan koleksi unik. Namun, kami mengeluarkan sebanyak 100 unit kaset sahaja,” ujar Sam.

Bercerita lanjut mengenai konsert Bunkface X Live In Kuala Lumpur sempena ulang tahun mereka yang ke-10 di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur, luah Sam, ia bakal menjadi sebuah persembahan yang tidak akan dilupakan peminat.

Konsert yang mendapat tajaan XOX Mobile tersebut juga bakal mengimbas perjalanan Bunkface selama 10 tahun dalam bidang seni.

“Apa yang boleh kami janjikan, ia sebuah konsert yang tidak pernah ditonton oleh peminat Bunkface. Kami akan menyanyikan seleksi lagu daripada album pertama sehingga yang terkini.

“Paling utama, kami akan memastikan sistem bunyi berada pada tahap terbaik kerana mahu memberi kepuasan maksimum kepada peminat,” kata Sam.

Buat peminat yang ingin menyaksikan konsert Bunkface X Live In Kuala Lumpur pada 24 Disember ini di Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur, anda boleh dapatkan tiket berharga RM50, RM70 dan RM140 secara talian di laman web www.myticket.asia.

Post a Comment

Previous Post Next Post