
PASANGAN Akim Ahmad dan Stacy Anam dijangka bakal menimang cahaya mata pertama pada Februari tahun depan.
MENDIRIKAN rumah tangga pada 5 Februari lalu, pasangan penyanyi popular, Akim Ahmad dan Stacy kini dalam fasa menanti kehadiran cahaya mata pertama mereka yang dijangka lahir sekitar awal tahun depan.
Mengakui amat mementingkan kesejahteraan isteri dan anak, Akim atau Afiq Hakim Ahmad meminta agar Stacy lebih banyak berehat dan mengisi masa di rumah.
Sejak mengetahui keadaan Stacy berbadan dua, Akim, 25, juga lebih gemar meluangkan masa di rumah bersama anak angkat mereka, Bella Valentina sekiranya terdapat waktu terluang.
Selain meminta Stacy atau nama Islamnya, Ummu Syaikhah memperlahankan aktiviti seni, Akim turut tidak membawa Stacy menghadiri acara formal kerana selesa membiarkan wanita itu berehat tanpa melakukan sebarang kerja berat.
Tampil ke acara Anugerah Melodi pada 10 Disember lalu, pasangan itu dinobatkan sebagai Pasangan Sensasi 2016, sekali gus berpeluang bertemu Akim dan berkongsi perasaannya bakal bergelar bapa kelak.
KOSMO!: Tahniah kerana dipilih sebagai Pasangan Sensasi di Anugerah Melodi, namun mengapakah Akim datang bersendirian tanpa Stacy?
AKIM: Terima kasih. Stacy ada tetapi dia berehat di rumah kerana keadaannya kini sedang hamil dan sejujurnya saya lebih senang sekiranya dia tidak terlalu aktif dengan sebarang aktiviti seni.
Boleh anda kongsi persiapan yang telah dilakukan serta jangkaan tarikh bayi pertama kalian akan dilahirkan?
Pastinya beberapa keperluan asas bayi telah disiapkan. Bagaimanapun mengenai pakaian, kami tidak menyediakan sebarang bentuk khusus seperti warna tertentu untuk bayi lelaki atau perempuan. Tambahan, keputusan pemeriksaan doktor turut tidak memaklumkan jantina bayi. Justeru, kami sendiri tidak tahu sama ada bayi yang bakal dilahirkan perempuan atau lelaki. Selain itu, Stacy dijangka akan bersalin sekitar bulan Februari tahun depan.
Sepanjang tempoh kehamilan, bolehkah anda kongsi perubahan sikap yang berlaku kepada Stacy?
Perubahan yang berlaku pada diri Stacy ialah selera makannya semakin bertambah terutama menu masakan tradisi Sabah.
Tidak mengira masa, apabila terdetik untuk menikmati juadah tersebut saya akan berusaha memenuhi permintaannya.
Stacy juga memang kerap memasak hidangan masakan Melayu seperti asam pedas, masak lemak dan beberapa juadah yang dia pelajari sebelum serta selepas berkahwin.
Mengenai perubahan sikap pula, kadangkala emosi Stacy mudah terganggu dan dia akan memarahi saya tanpa mengetahui sebarang punca.
Bagaimana anda menangani keadaan emosi Stacy yang tidak stabil?
Perkara itu membuatkan saya lebih banyak belajar untuk bersabar. Saya difahamkan, menurut pandangan orang tua, wanita dalam proses kehamilan sering mengalami mimpi yang kurang baik disebabkan hormon yang tidak stabil.
Saya tidak mengambil hati dengan tindakan Stacy, sebaliknya mengkaji apa yang saya telah lakukan kepada dirinya.
Mungkin pada hari itu, saya terlupa untuk memeluknya ketika bangun tidur dan disebabkan hal tersebut dia bermimpi perkara yang bukan-bukan.
Anda kelihatan tergesa-gesa untuk pulang. Bolehkah jelaskan mengapa perkara tersebut berlaku?
Selepas mendirikan rumah tangga, saya lebih selesa menghabiskan masa di rumah bersama isteri dan anak (Bella Valentina). Tambahan, keadaan Stacy yang sedang hamil membuatkan saya lebih gemar pulang ke rumah dengan kadar segera jika tiada urusan penting.
Selepas melahirkan bayi kelak, adakah anda meletakkan syarat kepada Stacy sekiranya dia ingin aktif dalam bidang nyanyian?
Saya tidak pernah menyekat minat dan keinginan Stacy dalam bidang muzik kerana sewaktu mengenali dirinya dahulu dia memang sudah menjadi seorang penyanyi.
Tambahan, segala apa yang diusahakan oleh Stacy adalah untuk membantu ahli keluarganya. Justeru, tiada sebab mengapa saya perlu menghalang usahanya.
Selain menguruskan persiapan kelahiran bayi, apakah sebarang aktiviti seni anda sekarang?
Akim & The Majistret bakal membuat persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 20 Februari tahun depan. Terdapat beberapa perkara seperti susunan lagu akan digubah bagi mengikut kesesuaian keadaan kerana terdapat beberapa buah lagu nyanyian kami agak tinggi dan kurang sesuai dimainkan secara orkestra.