Ziana Zain Mahu penonton puas


Ziana Zain mungkin akan menurunkan ‘key’ beberapa lagu bernada tinggi yang akan disampaikannya dalam Konsert High Note 2016 di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 25 hingga 27 November ini.

Konsert berkenaan turut menampilkan dua lagi penyanyi yang sinonim dengan lagu bernada tinggi, Jaclyn Victor dan Azlan iaitu vokalis Azlan & The Typewriter.

Ziana ketika ditemui berkata, pada usia mencecah 48 tahun, dia perlu akur dengan keupayaannya.

“Tenaga saya sudah berbeza berbanding zaman muda ketika merakamkan lagu Anggapanmu, Madah Berhelah dan banyak lagi. Waktu itu, saya baru berusia awal 20-an.

“Mungkin ada beberapa lagu akan diturunkan ‘key’, namun saya harap itu tidak menjadi masalah kerana ia bergantung kepada kemampuan penyanyi sendiri.

“Kalau ‘key’ tinggi pun, tapi penyanyi itu tidak dapat menyampaikannya dengan baik tak guna juga. Ini kerana penonton membayar dan mahu menonton persembahan serta ‘enjoy’ sepanjang konsert. Jadi, sebagai penyanyi saya akan berikan persembahan terbaik,” katanya yang bakal menyanyikan 10 lagu popularnya dalam konsert itu nanti.

Apa yang pasti, tentunya ramai yang tidak sabar menantikan persembahan daripada Ziana yang juga menjadi artis paling senior di antara ketiga-tiga mereka.

Menurut Ziana, ia bukan tugasannya sendirian, sebaliknya menjadi tanggungjawab ketiga-tiga mereka.

“Tidak ada yang akan lebih mendapat perhatian, mahupun ‘overshadow’ penyanyi lain kerana bagi saya konsert ini akan berjaya kerana kerja berkumpulan kami bertiga,” katanya.

Selain itu, mereka juga memiliki kelebihan masing-masing dalam menyampaikan lagu.

“Kami mempunyai keupayaan vokal yang berbeza. Kelebihan ini akan kami gabungkan di atas pentas bagi memberikan persembahan terbaik kepada penonton yang hadir,” katanya.

Sementara itu, diminta berkongsi perasaannya untuk tampil dalam konsert ini, Ziana mengakui teruja dan ia adalah hadiah untuk peminat setianya nanti.

“Sudah lama saya tidak mengadakan konsert dan persembahan berskala besar. Selalunya saya hanya muncul di TV saja. Gabungan ini bagi saya sangat menarik.

“Ini adalah satu hadiah dan tanda penghargaan kepada peminat setia yang sentiasa meminta agar saya tampil di konsert,” katanya.

Belum tentu duet dengan Azlan

Sebelum ini Ziana pernah berduet dengan Azlan menerusi lagu Anggapanmu dan Lagu Untukmu ketika membuat persembahan di Anugerah Bintang Popular BH 2011 (ABPBH) yang mendapat pujian ramai.

Ditanya sama ada dia akan mengulangi persembahan itu, Ziana berkata, setakat ini ia masih dalam perbincangan.

“Ramai peminat bertanya sama ada saya dan Azlan akan sekali lagi berduet dan menyampaikan dua lagu itu dalam konsert ini. Semuanya masih dalam perbincangan dan buat masa sekarang, saya tidak boleh mengulas lanjut.

“Kami juga tidak pernah menyangka gabungan itu menjadi dan diingati sehingga hari ini. Apa yang boleh saya katakan, detik itu mungkin berlaku pada waktu itu dan sekiranya diulangi, ia akan jadi berbeza dan tidak lagi sama,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post