Resh Pahat nama di persada antarabangsa


Sejak kembali merancakkan industri muzik menerusi penampilan serta penjenamaan baru dirinya, Reshmonu yang kini dikenali sebagai Resh dalam diam terus rapi menyusun karier seninya.

Misinya mahu terus memahat nama di persada muzik antarabangsa kian menampakkan hasil apabila melakukan kerjasama dengan penyanyi wanita Amerika Syarikat kelahiran India, Monica Dogra, baru-baru ini.

Kerjasama menerusi lagu berjudul Trouble cukup menggembirakan Resh dan single itu pantas mendapat perhatian ramai peminat di India dan Indonesia.

“Saya tidak sangka kerjasama ini menjadi akhirnya selepas syarikat rakaman Universal Music di India membantu merealisasikannya. Apatah lagi bersama Monica yang namanya begitu gah di sana. Pastinya ia satu kolaborasi cukup sempurna.

“Sebenarnya lagu itu adalah lagu saya sendiri dan sudah dirakamkan. Bagaimanapun, apabila didengar balik, ia sesuai digabungkan dengan suara wanita.

“Tidak sangka, ia mula menangkap perhatian peminat di India bahkan mula memasuki carta lagu di Indonesia juga. Ia benar-benar membuatkan saya lega dan yakin terhadap lagu itu,” katanya.

Bukan setakat merakamkan lagu itu, Resh juga teruja berkongsi pengalamannya menjalani penggambaran bersama produksi di negara itu untuk video muzik Trouble.

“Inilah antara kebaikan yang saya rasa cukup memberikan pengalaman berbeza setiap kali terbabit dengan produksi luar negara. Produksi yang menjayakan muzik video berkenaan memang bukan calang-calang dan berprofil tinggi.

“Ia menjalani penggambaran di Mumbai, India dan segala-galanya dibuat dengan bersungguh-sungguh. Babak tarian pula dirakam di Malaysia,” katanya.

Sejak dia kembali sebagai Resh dan mengubah hala tujunya kepada muzik R & B moden berbahasa Inggeris, penyanyi Half The Man itu nyata kurang mesra dibualkan dalam pasaran Melayu.

Sebelum ini, dia sangat dikenali dengan imej rambut corn-row dan lagunya juga popular. Namun, dimensi kerjayanya berputar apabila lagu Inggerisnya lebih dikenali di luar negara.

Resh bagaimanapun mengakui ia satu perubahan yang tidak perlu disesalkan dan mengambilnya dari perspektif positif.

“Setiap artis ada ketentuannya sendiri yang sudah ditetapkan. Pada saya, terus meletakkan lebih usaha dan memajukan apa yang sudah dimulakan adalah perkara paling penting sekarang.

“Mengenai penerimaan terhadap saya di negara luar lebih baik berbanding di Malaysia, ia tidak memberikan rasa sesal buat saya. Sebaliknya ia membuka mata bahawa pintu lain akan sentiasa terbuka.

“Disebabkan itu, saya tidak harus mengeluh mengenai sebarang situasi seperti peminat tempatan kurang menghargai saya. Pada pengakhirannya nanti, saya tetap juga akan membawa nama Malaysia ke luar,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post