
Pelakon dan penyampai radio Best FM, Zarina Zainoordin menafikan dia diberhentikan disebabkan berlaku perselisihan faham dengan pengurusan stesen radio terbabit.
Zarina berkata, keputusan untuk berundur dari Best FM berkuatkuasa 1 November lalu juga dibuat selepas perbincangan dengan pihak mereka.
"Jika nak diikutkan, kontrak saya dengan stesen radio itu berakhir pada Februari tahun depan. Namun, selepas berkhidmat selama lapan bulan, saya putuskan untuk berhenti lebih awal atas sebab yang tidak dapat dielakkan," katanya.
Diminta mengulas dakwaan dia berhenti selepas tidak puas hati apabila mendapat tahu tempatnya bakal digantikan Along Raja Lawak, Zarina turut menafikan perkara itu.
"Saya yang mengambil keputusan untuk berhenti selepas berfikir panjang. Keputusan yang dibuat ini juga tiada kaitan dengan Along," katanya.
Zarina berkata, dia juga mengambil keputusan untuk meninggalkan stesen radio itu kerana ingin memberi fokus pada bidang pengacaraan, nyanyian dan lakonan.
"Jiwa saya memang sudah sebati dalam bidang seni sejak dulu. Malah, banyak tawaran berlakon dan undangan persembahan juga membabitkan lokasi sekitar di Kuala Lumpur sedangkan stesen radio Best FM beroperasi di Johor Bahru.
“Apabila sudah berhenti dari stesen radio Best FM, saya tidak perlu lagi berulang alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur jika ada tawaran berlakon atau persembahan selepas ini," katanya.