Along Cham dapat lamaran


Pelakon dan pelawak, Along Cham gembira kerana keputusannya untuk menetap di Johor Bahru selepas bercerai dengan bekas isteri, Zila Seeron membuahkan hasil positif apabila kini dilamar sebagai penyampai radio Best FM.

Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 33, berkata, dia menyertai Best FM sejak sebulan lalu dan kini bergandingan dengan Zairi mengendalikan segmen pagi dari jam 6 hingga 10 pagi.

"Gandingan kami masih mencari nama yang sesuai kerana kebetulan Best FM pun sedang buat penjenamaan semula radio ini. Saya pula tiada masalah menerimanya kerana sebelum ini pernah tampil menjadi penyampai gantian untuk Era FM dan Sinar FM.

"Selain itu saya pernah bergandingan dengan Nana Mahazan mengendalikan slot Sabtu Der Sinar dan kerjaya ini bukan asing buat saya," katanya kepada Harian Metro.

Along berkata, tawaran itu seakan rahmat buatnya kerana dalam masa sama, dia juga mahu membuka lembaran baru selepas pengalaman pahit dalam hidupnya.

"Saya sendiri dalam proses nak buat penjenamaan semula diri sendiri dan tiba-tiba dapat pula tawaran ini. Kepulangan ke Johor ibaratnya sebagai tempoh bertenang untuk melupakan apa yang berlaku.

“Ibu saya juga tinggal di sini sekaligus memudahkan urusan penjagaan anak saya, Ahmad Danial, 5. Dia kini bersekolah di Johor Bahru," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post