
Siapa boleh lupakan watak Manisah dalam drama bersiri popular Mak Cun lakonan Datin Seri Umie Aida. Biarpun dilihat seolah-olah watak antagonis, Manisah ada sebab sendiri terpaksa jadi begitu.
Kini watak itu sekali lagi dibawa ke pentas teater apabila Mak Cun D’Walei dipentaskan di Istana Budaya bermula Khamis lalu hingga 13 November ini.
Bertemu dengan Umie minggu lalu, dia akui Manisah seorang yang kesunyian.
Katanya, apabila kesunyian macam-macam boleh jadi dan karakternya dari dulu sama saja iaitu mahu dapatkan perhatian.
“Bagi pementasan teater kali ini, pengaruh Bollywood hampir 70 peratus diselit jadi ia seronok buat watak Manisah yang umum tahu memang sukakannya sejak drama bersiri lagi,” katanya.
Pelakon yang juga adik pengarah teater Mak Cun D’Walei, Erma Fatimah itu tidak sabar untuk beraksi dengan beberapa pelakon lain terutama Abam Bocey dan pelakon Pakistan, Saim Ali.
Kata Umie, Abam sangat serius dan berjaya memberi fokus 100 peratus pada sesi latihan lalu dan Saim juga dilihat mempunyai kesungguhan sepanjang latihan.
“Walaupun Saim tidak boleh berbahasa Malaysia, tiada masalah ketika latihan. Walaupun ada yang anggap dia sombong, saya mengagumi disiplin dan kesungguhannya.
“Tambah pula pementasan kedua ini ada Amy Search dan Nadia Brian. Saya gembira sebab ada pasukan yang positif, bagus dan bertenaga,” katanya.
Umie menafikan pernah berdepan dengan pelakon yang memberi aura negatif sepanjang kerjayanya.
Katanya, andai ada dia cukup tidak suka walaupun artis itu popular sekalipun.
“Popularlah macam mana sekali pun, kalau suka bawa tenaga negatif ke dalam produksi, saya tidak berminat untuk bekerja dengannya.
“Dalam teater, ia kerja berpasukan dan menjadi tanggungjawab semua untuk wujudkan suasana sihat sejak sesi latihan sampailah hari pementasan,” katanya.
Kata Umie, dalam pementasan teater isu ‘adlib’ pasti timbul terutama apabila pelakon terbawa-bawa dengan watak dan situasi dilakonkan.
“Apabila hal itu timbul, pelakon kena sentiasa peka dengan sebarang perubahan yang tidak dapat dikawal. Sebagai pelakon juga, perlu sentiasa ingatkan pelakon lain supaya sedar ruang yang sedang dilakonkan mereka dan cuba menarik kembali ke arah yang sepatutnya.
“Itulah kelebihan berteater dan sebagai pelakon, kena pandai bagi petunjuk (hint). Sebab itu kena ada pasukan yang kuat, positif dan boleh bantu satu sama lain.
“Latihan yang berterusan memainkan peranan penting dan kita tidak boleh hafal dialog kita saja, tapi dialog orang lain juga,” katanya.
Baginya, tenaga daripada lakonan yang bagus di pentas dapat dirasai bukan saja pelakonnya malah kalangan penonton. Sebab itulah sebarang perkara yang terjadi, barisan pelakon perlu bantu antara satu sama lain.
Pada usia 42 tahun, pelakon filem Embun itu akui masih mempunyai stamina kuat beraksi berjam-jam di pentas kerana amalan senaman yang dilakukan seharian.
Sejak remaja, dia suka aktiviti lasak dan bersenam malah akan menghabiskan sekurang-kurangnya dua jam hanya untuk bersenam atau bersukan.
“Selalunya saya akan berlari (jogging), bermain badminton atau ke gimnasium seminggu tiga kali. Saya makan seperti biasa, cuma dalam jumlah yang sedikit.
“Pada masa sama, saya banyak membaca mengenai tip kesihatan dan kecantikan untuk mendapatkan maklumat,” katanya.
Umie juga mengakui tidak suka mengambil ubatan mengandungi bahan kimia jika mengalami sakit kepala atau demam. Dia lebih gemar memilih produk herba dan tradisional.
Umie juga baru saja melancarkan produk kesihatan sendiri berasaskan herba menggunakan daun rerama. Dia mahu mengajar masyarakat supaya menjalani kehidupan sihat dan masa sama mengamalkan produk herba sebagai alternatif.
“Tahun depan saya mahu fokus pada bisnes ini dan mahu terus mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya.