Tiz Zaqyah idam naskhah biopik


TIZ ZAQYAH mengaku selesa dengan kehidupannya kini. Walaupun kurang publisiti, namun dia tetap ligat di set penggambaran.

TIDAK keterlaluan dikatakan, watak gadis bernama Nur Amina yang pernah digalas oleh pelakon Tiz Zaqyah menerusi drama rantaian Nur Kasih sekitar tujuh tahun lalu masih kuat berbekas dalam ingatan penonton.

Masakan tidak, drama 26 episod sentuhan pengarah tersohor, Kabir Bhatia itu telah mencetuskan kegilaan dan fenomena yang cukup luar biasa, sehingga membolehkan ia dinobatkan sebagai Drama Rantaian Terbaik menerusi Anugerah Skrin 2010.

Lebih membanggakan, populariti drama yang dibarisi oleh pelakon-pelakon kelas satu seperti Remy Ishak dan Datuk Jalaluddin Hassan itu turut dilebarkan ke beberapa negara di sekitar Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei dan Indonesia.

Biarpun fenomena Nur Kasih memberikan pasport segera buat Tiz untuk terus maju dan dikenali dalam bidang lakonan, namun, pemilik nama lengkap Siti Zaqyah Abdul Razak itu dilihat lebih selesa untuk kekal bersederhana dalam banyak hal. Ia termasuklah perihal publisiti dan kekerapannya muncul pada sebarang majlis anugerah.

Berpeluang bertemu dengannya pada majlis Malam Bersama Bintang Anugerah Skrin 2016 di Kuala Lumpur baru-baru ini, Tiz, 28, menyifatkan kesederhanaan tersebut sebagai rutin yang diamalkan sejak bergelar anak seni.

Wanita genit itu berkata, dia kerap menghabiskan masa di set penggambaran bagi sesebuah drama sehingga jarang memenuhi undangan menghadiri majlis-majlis hiburan.

Pelakon drama bersiri Oh My English! itu juga berkata, dia hanya akan memenuhi jemputan jika ia melibatkan drama atau filem yang dilakonkannya.

Dalam pada itu, Tiz yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran bagi drama bersiri Lara Cinta Ameena juga melahirkan hasrat untuk membawa watak berbentuk biopik pada masa akan datang.

KOSMO!: Apa khabar Tiz? Boleh ceritakan perkembangan terbaharu?

TIZ: Khabar baik. Saya baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri Lara Cinta Ameena arahan Shuhaimi Lua. Insya-Allah, drama yang turut dilakonkan oleh Raja Afiq itu akan disiarkan di slot Samarinda di TV3 pada penghujung bulan ini.

Bercakap mengenai drama bersiri, tidak rasa rindu untuk merasai kembali fenomena yang pernah tercetus sewaktu anda membintangi drama Nur Kasih?

Tidaklah (ketawa). Alhamdulillah, selepas melalui fenomena tersebut, rezeki dalam bidang lakonan tidak pernah putus.

Tidak banyak beza sebenarnya. Bagaimanapun, sebagai seorang pelakon, saya tidak boleh selesa untuk berada pada satu tahap sahaja.

Jadi, saya akan sentiasa mencuba sesuatu yang baharu agar apa yang ditonjolkan dalam setiap naskhah kelihatan segar.

Bagaimana pula dengan kebanjiran pelakon-pelakon baharu sekarang? Tidak takut dengan persaingan?

Saya lihat ia sebagai satu perkembangan yang sihat. Saya pernah berada pada tempat mereka sebelum ini dan saya gembira melihat pertambahan bakat-bakat baharu dalam industri.

Tidak baik jika kita ada perasaan dengki antara satu dengan lain.

Apa yang penting, kita berpuas hati dengan apa yang dilakukan, itu sudah memadai.

Anda dilihat kurang muncul menerusi majlis hiburan atau anugerah. Adakah anda lebih gemar menghabiskan masa lapang duduk di rumah?

Saya akui tidak kerap menghadiri majlis hiburan. Pertama, saya hanya memenuhi undangan jika majlis tersebut melibatkan drama atau filem lakonan saya.

Jika ada jemputan ke majlis anugerah tetapi ia bercanggah dengan jadual kerja, saya memilih untuk fokus dengan kerjaya. Namun, kalau ada masa lapang, saya akan cuba hadir.

Sepanjang bergelar pelakon, anda telah memegang banyak watak. Apakah karakter yang ingin anda bawakan pada masa akan datang?

Saya teringin untuk menjayakan watak tokoh dalam naskhah biopik. Namun, berlakon dalam naskah biopik bukan satu perkara yang mudah.

Banyak rujukan perlu dibuat agar ia tidak menimbulkan sebarang isu yang melibatkan sensitiviti masyarakat.

Naskhah biopik kegemaran anda?

Ada banyak filem biopik yang saya suka dan kebanyakannya hasil garapan pengarah luar negara. Antaranya Gia yang diterajui oleh Angelina Jolie.

Post a Comment

Previous Post Next Post