MENYEBUT nama Fattah Amin, lantas terbayang lakonannya sebagai seorang juruterbang dalam drama rantaian Suri Hati Mr. Pilot yang baru sahaja melabuhkan tirainya minggu lalu.
Seperti biasa, apabila nama sedang hangat diperkatakan, timbul khabar angin mendakwa Fattah kini mula berubah. Dia dikatakan sudah pandai berkira dan sukar dibawa berurusan, termasuk dengan pihak media.
Menjelaskan tuduhan tersebut hanya salah faham, Fattah yang ditemui pada majlis pelancaran koleksi pakaian jenama Fattah Amin X Far8 menegaskan, dirinya masih sama seperti dahulu.
“Tuduhan seumpama itu merupakan perkara biasa bagi pelakon yang sedang dalam fasa diberi perhatian. Mereka pasti akan diuji dengan kata-kata kurang enak.
“Saya masih Fattah Amin yang sama sebagaimana dahulu dan tiada apa yang berubah. Dalam kalangan kenalan yang rapat, mereka pasti tahu bagaimana diri saya dari dahulu hingga sekarang,” katanya tenang.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan kerap menolak temu janji untuk sebarang sesi fotografi yang bersama media, jelas lelaki berusia 26 tahun berkata, situasi sebegitu timbul kerana dia terikat dengan jadual yang padat.
Dipanaskan dengan haba negatif yang sepintas lalu boleh mencemar reputasinya, Fattah bagaimanapun tetap menerima baik segala teguran dan kata nista yang dilemparkan kepadanya. Dia positif dan mengambil semua dakwaan tersebut sebagai ingatan agar tidak mudah lupa diri.
“Sebenarnya, saya tidak pernah terniat untuk tidak memenuhi temu janji yang ingin diaturkan, tetapi semuanya disebabkan tuntutan masa. Insya-Allah, pihak pengurusan sedang cuba menyusun semula jadual saya selepas ini.
“Saya juga berterima kasih dan menerima segala komen orang ramai yang menyatakan saya sombong atau sebagainya. Komen-komen tersebut menyedarkan agar sentiasa memperbaiki dan tidak lupa diri,” tambahnya.
Sempat diusik perihal dirinya yang seperti belum beralih fokus, sementelah drama Suri Hati Mr.Pilot lakonan bersama Neelofa tersebut sudah berakhir, sambil tertawa kecil Fattah menjawab:
“Selepas drama itu tamat, ramai peminat bertanya tentang sambungannya. Ada juga yang meluahkan kerinduan terhadap watak Ejaz dan Warda. Tidak dinafikan karakter Ejaz begitu melekat dalam diri peminat dan perkara itu benar-benar membuatkan saya rasa dihargai.”
Koleksi sendiri
FATTAH bersama dengan Farid tengah) serta barisan model semasa pelancaran jenama pakaian Fattah Amin X F8 di Butik Altelia Imani, Shah Alam, baru-baru ini.
Beralih topik ke arah koleksi pakaian jenama sendiri, Fattah Amin X Far8 yang baru dilancarkan, Fattah memberitahu koleksi tersebut merupakan hasil kolaborasi bersama pemilik butik Altelia Amani iaitu Mohamad Farid Omardin.
Menggunakan tagline ‘Mudah, Kacak dan Bergaya’, koleksi tersebut terdiri daripada jaket bomber, seluar jogger, polo dan baju-T serta aksesori tambahan iaitu kaca mata hitam.
“Kolaborasi dengan Farid bukan pertama kali diadakan. Pada tahun lalu, kami pernah bekerjasama menghasilkan baju kurta yang dijual pada Hari Raya Aidilfitri.
“Melihat kepada sambutan memberangsangkan, Farid menawarkan peluang kerjasama buat kali kedua tetapi dengan nama Fattah Amin X Far8 pula,” ujar Fattah.
Pelakon itu juga memberitahu penggunaan jenama yang digunakan merupakan pilihan bersama.
Malah, tidak sekadar itu, demi memastikan kualiti dan keselesaan busana yang dijual, tugas memilih material, warna serta menentukan rekaan turut dilakukan bersama-sama.