Ruhainies tolak tawaran rakam lagu


MESKIPUN pernah beberapa kali mendapat tawaran merakamkan lagu, pelakon yang sedang meningkat naik, Ruhainies mengakui belum bersedia bergelar penyanyi, apatah lagi menyedari kemampuannya dalam bidang itu tidak sehebat rakan-rakan lain.

Justeru, pelakon ini lebih senang menumpukan perhatiannya kepada bidang lakonan dan dalam masa sama berusaha memperbaiki kualiti lakonannya.

“Jujurnya saya tidak berbakat dalam bidang nyanyian dan tidak pernah terfikir bergelar penyanyi meskipun ada pihak menawarkan peluang merakam lagu tema drama yang saya jayakan.

“Saya pernah berkolaborasi bersama Asfan menerusi lagu Maaf, tetapi selepas itu saya fikir adalah lebih baik saya lakukan sesuatu yang berada di dalam kemampuan diri sendiri dan tidak perlu syok sendiri.

“Walaupun ada yang kata saya boleh menyanyi, namun saya belum bersedia menyahut cabaran itu kerana tidak mahu merosakkan lagu dengan suara saya yang tidak seberapa ini,” ujarnya jujur.

Berkongsi perkembangan terkininya, kata Ruhainies, dia sedang sibuk di lokasi penggambaran drama 13 episod, Jejak Karmila, bergandingan buat pertama kali dengan pelakon pujaannya, Fauziah Ahmad Daud.

“Pada mulanya saya takut apabila dapat tahu bakal bergandingan dengan Kak Ogy kerana saya masih terlalu baharu berbanding dia yang sudah berpuluh dalam industri, malah cukup dikenali sebagai pelakon hebat.

“Bagaimanapun bila berlakon bersama, saya mula seronok kerana dia banyak memberi tunjuk ajar dan tidak lokek berkongsi ilmunya.

“Setiap kali sebelum ke set, saya pastikan sudah membuat persediaan dan homework yang secukupnya agar dapat memberikan yang terbaik sepanjang penggambaran berlangsung,” ujarnya.

Ceburi bidang peniagaan

Tambah pelakon yang mula dikenali menerusi drama Hello Mr Perfect ini, sebagai pelakon baharu, dia sebolehnya mahu memberikan komitmen terbaik dan tidak mendatangkan sebarang masalah kepada pihak lain yang bekerjasama dengannya.

“Saya selalu dengar orang cakap tentang pelakon baharu tidak berdisiplin dan gagal memberikan komitmen ketika berada di set penggambaran, jadi saya mahu membuktikan sebaliknya dengan menjaga semua itu.

“Pengalaman bekerja dengan pelakon senior banyak membantu dan menjadikan saya lebih baik, sebab itulah saya gunakan sepenuhnya peluang yang ada ketika berlakon bersama mereka,” katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran sehingga Disember depan.

Dalam perkembangan lain, adik kepada pelakon Nur Risteena ini juga sudah berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak lima bulan lalu apabila mengusahakan Ruhainies Collagen Secret.

“Sebenarnya, kalau tidak bergelar pelakon saya mungkin telah lama terlibat dalam bidang perniagaan kerana itu minat dan impian saya semenjak dulu lagi.

“Jadi inilah peluang terbaik saya berjinak-jinak dengan dunia perniagaan dan merealisasikan cita-cita yang tertangguh,” ujarnya.

Di sebalik kesibukannya menjalani rutin harian dalam bidang lakonan dan perniagaan, Ruhainies mengakui sentiasa cuba mencari masa untuk bersama keluarga, terutama kedua ibu bapa yang sentiasa menyokong minatnya selama ini.

“Akhir-akhir ini, saya terlalu sibuk dengan kerja, baik dalam bidang seni mahupun perniagaan sehingga masa dengan keluarga begitu terhad.

“Jadi pada hujung tahun ini saya mengambil kesempatan untuk berehat seketika bagi meluangkan masa bersama keluarga dan bercadang membawa kedua ibu bapa bercuti.

“Kalau ikutkan kerja memang tidak pernah habis, jadi kenalah juga cari masa sesuai untuk buat benda lain terutamanya bersama keluarga yang telah banyak berkorban untuk saya selama ini,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post