Mark Adam botak kepala sokong kempen kanser


MARK ADAM tidak menyesal membotakkan kepalanya sewaktu mendendangkan lagu Berat pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 31 baru-baru ini.

Persembahan penyanyi Mark Adam pada separuh akhir Muzik Muzik 31 minggu lalu cukup mengejutkan dan menarik perhatian ramai. Masakan tidak, ketika mendendangkan lagu Berat ciptaan DJ Fuzz dan Zah Amirul, penyanyi kelahiran Filipina itu mengambil keputusan untuk membotakkan kepalanya secara langsung di atas pentas.

Bagaimanapun, persembahan tersebut bukanlah gimik semata-mata, sebaliknya pentas Separuh Akhir Muzik Muzik 31 digunakan Mark untuk mempertingkatkan kesedaran terhadap penyakit kanser dalam kalangan orang ramai.

Menurutnya yang ditemui usai persembahan, November merupakan bulan untuk kempen kesedaran kanser prostat. Persembahannya membawa makna cukup besar selain bertujuan memberi kesedaran, ia juga sebagai tribute untuk bapanya yang juga meninggal dunia kerana kanser berkenaan.

Kata Mark, persembahan tersebut dirancang tiga hari sebelum persembahan berlangsung dan diharap ia akan memberi impak kepada orang ramai tentang kanser.

Kosmo!: Mengapakah Mark sanggup membotakkan kepala di atas pentas sewaktu melakukan persembahan. Pada pandangan segelintir pihak, tindakan membotakkan kepala pada peringkat separuh akhir terlalu awal untuk dijadikan gimik atau tarikan persembahan?

Mark: Sebenarnya selain memberi persembahan yang diingati, ia bukanlah gimik semata-mata. Sebaliknya, tujuan saya membotakkan kepala dan membawa watak orang sakit adalah demi kempen kesedaran kanser prostat yang kebetulan jatuh pada bulan November.

Adakah anda berpuas hati dengan persembahan tersebut?

Jika dinilai dari sudut vokal, suara saya agak bergetar kerana terlalu banyak perkara difikirkan ketika menyanyikan lagu Berat. Antaranya, adakah rambut saya dapat dibotakkan mengikut durasi lagu sekitar empat minit? Namun, secara keseluruhan saya gembira kerana sekurang-kurangnya dapat memberi sumbangan terhadap kempen kesedaran kanser prostat dan memberi tribute buat bapa yang juga meninggal dunia kerana kanser berkenaan.

Tidakkah anda terasa rugi memberi sebuah persembahan hebat sebelum final?

Saya tidak tahu lagu Berat akan mara ke final atau tidak. Jika ia terpilih, saya tidak menyesal melakukan persembahan yang meninggalkan kesan pada peringkat separuh akhir kerana ia merupakan pilihan saya sendiri. Andai ia mara ke final, sudah tentu saya harus muncul dengan idea persembahan lebih baik.

Adakah anda menyimpan impian untuk ke final?

Sebagai penyanyi, sudah tentu saya menyimpan harapan dan cita-cita mahu ke final. Semua orang mahu melakukan yang terbaik, begitu juga dengan saya. Cuma ia terpulang kepada rezeki dan pilihan pihak juri.

Apakah lagu yang memberi saingan paling sengit?

Bagi saya semua lagu yang tercalon mempunyai keistimewaan tersendiri. Semuanya hebat dan berkualiti, cuma jika diberi pilihan saya amat kagum dengan lagu nyanyian Dayang Nurfaizah berjudul Lelaki Teragung. Vokalnya cukup hebat dan lagunya juga sangat menarik.

Selepas membotakkan kepala, apa kata peminat anda?

Ada antara mereka yang terkejut tetapi ramai juga yang tahu tujuan saya berbuat demikian. Ini kerana beberapa hari sebelum persembahan saya telah membuat naik status tentang kempen kesedaran kanser. Mereka memberi sokongan dan tidak mempersoalkan keputusan saya.

Berimej botak, tidakkah ia mengganggu kerjaya seni, terutamanya lakonan?

Rasanya tidak kerana saya hanya memerlukan tempoh sebulan untuk rambut kembali tumbuh. Soal lakonan juga tidak membawa sebarang masalah kerana saya baru selesai penggambaran dua buah telefilem. Oleh itu, tiada kesinambungan watak dan imej diperlukan oleh produksi.

Post a Comment

Previous Post Next Post