PERTAMA kali berkolaborasi, Calvin dan Daiyan saling mengharapkan agar single berjudul Kita diterima peminat di Malaysia dan Indonesia.
Hubungan muzik Indonesia dan Malaysia sudah terjalin sejak lama. ‘Mewarisi’ keakraban tersebut daripada penyanyi-penyanyi senior, terkini pendatang baharu, Calvin Jeremy yang merupakan penyanyi kelahiran Indonesia teruja apabila pertama kali diberi peluang berkolaborasi dengan pelakon dan penyanyi Malaysia, Daiyan Trisha menerusi lagu berjudul Kita.
Lagu berentak pop jaz tersebut dihasilkan Calvin berdasarkan pengalaman sendiri yang beberapa kali gagal dalam percintaan.
Berusaha menampilkan kelainan dalam setiap lagu dihasilkan, single baharu Calvin itu menggabungkan genre muzik pop dan jaz bagi menghasilkan elemen kontemporari.
“Saya merupakan seorang penggemar muzik, justeru tidak salah sekiranya kedua-dua genre muzik tersebut digabungkan bagi mendapatkan hasil yang lebih menarik selain bersesuaian dengan trend semasa,” jelas penyanyi berusia 25 tahun itu.
Menjawab mengenai gandingannya bersama Daiyan, Calvin mengakui menerima respons positif daripada penggiat muzik dan kenalan artis di Indonesia.
Meskipun saling tidak mengenali antara satu sama lain, perkara tersebut tidak membataskan dirinya untuk menjalin kerjasama baik bersama pelakon drama bersiri Dee tersebut.
Selain meneruskan karier, Calvin mengharapkan kolaborasi tersebut memberi ruang buatnya menembusi pasaran industri hiburan Malaysia.
“Teman-teman muzik dan peminat di Indonesia menyambut baik lagu berkenaan. Mereka berpendapat, suara Daiyan bersesuaian dengan pasaran Indonesia.
“Ada juga yang mengatakan keunikan vokal Daiyan berbeza dengan penyanyi sedia ada pada masa kini,” jelas Calvin mengenai reaksi peminat terhadap lagu Kita yang dilancarkan di Indonesia pada
5 Oktober lalu.
Meskipun masih terlalu awal untuk merencana masa depan, Calvin mengharapkan agar berpeluang berduet bersama artis wanita Malaysia lain seperti Ayda Jebat dan Elizabeth Tan.
Batu loncatan
Sama seperti Calvin, single Kita menjadi ‘cinta pandangan pertama’ di antara Trisha dengan penyanyi dari seberang itu.
Menjadi salah satu daripada impiannya, penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan di Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL) itu menganggap, peluang berduet bersama Calvin sebagai ‘batu loncatan’ untuk menghulurkan salam perkenalan dengan khalayak di Indonesia.
“Saya gembira apabila diberitahu akan bergandingan dengan penyanyi Indonesia, meskipun kami tidak mengenali antara satu sama lain, namun tidak salah sekiranya mencuba sesuatu perkara baharu.
“Melodi lagu Kita juga kedengaran menarik dan secara tidak langsung telah memikat hati saya untuk menerima ‘lamaran’ Calvin sebagai pasangan duetnya,” kata Daiyan sambil tersenyum.
Selain mengharapkan berpeluang melebarkan sayap ke Indonesia, Daiyan turut mengharapkan lagu Kita itu mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat muzik tempatan.
Mempunyai bakat dalam bidang lakonan, Daiyan turut terlibat dengan aktiviti nyanyian serta mempunyai kemahiran menghasilkan lagu sendiri.
Kebolehannya terserlah saat membintangi drama bersiri Dee. Naskhah bercorak muzikal berkenaan secara tidak langsung mengukuhkan portfolio dirinya sebagai anak seni.