Perang emosi Zayn Malik


CINTA - Selepas putus tunang, Malik kini menjalin asmara dengan model terkenal, Gigi Hadid.

KETIKA Zayn Malik mengambil keputusan untuk mengundurkan diri daripada kumpulan One Direction pada bulan Mac tahun lalu, jutaan peminatnya dari seluruh dunia hilang pertimbangan.

Alasannya pada waktu itu kedengaran tidak munasabah. Menerusi status yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasmi milik One Direction, Malik mengakui mahu menjalani kehidupan yang sama seperti individu normal lain. Dalam erti kata lain, dia mahu bebas daripada diberi perhatian melampau. Biarpun pahit menelan kenyataan, peminat jejaka berketurunan Pakistan itu secara perlahan-lahan terpaksa menerima hakikat.

Namun, tidak sampai beberapa bulan meninggalkan dunia hiburan bagi menjalani kehidupan yang lebih ‘sederhana’, kelibat Malik bersama penerbit muzik terkenal, Naughty Boy dirakam oleh jurugambar di sebuah studio rakaman di London, England.

Selepas gambar tersebut disiarkan di internet, peminat mula membuat andaian bahawa pengunduran Malik daripada kumpulan One Direction berkait rapat dengan perancangannya untuk bergelar penyanyi solo.

Tepat seperti apa yang diramal, album perdana Malik yang berjudul Mind Of Mine dipasarkan genap setahun selepas dia mengaku mahu menjalani kehidupan normal.

Ternyata, usaha jejaka berusia 23 tahun itu untuk memecah kepompong karya-karya remaja yang pernah dibawakan oleh One Direction berhasil. Buktinya, lagu Pillowtalk yang diangkat sebagai single utama berjaya menduduki tangga teratas carta Billboard 100 pada minggu ia dilancarkan, sekali gus menjadikan Malik sebagai artis lelaki kelahiran United Kingdom (UK) pertama yang meraih kejayaan sedemikian.

Mengulang kejayaan yang hampir serupa, album debut Malik turut menduduki tangga pertama carta Billboard 200 sewaktu ia dilancarkan. Sehingga kini, Mind Of Mine telah terjual lebih 500,000 unit di Amerika Syarikat (AS) dan 60,000 unit di UK.

Membandingkan kembali kisah pengundurannya daripada One Direction dengan perkembangan kerjayanya sebagai seorang penyanyi solo, Malik dilihat sengaja mencetuskan sensasi menerusi propagandanya sendiri.

Namun, menerusi temu ramah yang dijalankan oleh ES Magazine baru-baru ini, Malik menegaskan bahawa alasan untuk meninggalkan dunia glamor bagi menjalani kehidupan normal adalah rekaan semata-mata.

Sesal

“Saya mahu bertanyakan satu soalan. Adakah anda percaya kenyataan tersebut ditulis oleh saya?

“Cuba lihat bagaimana ia ditulis. Saya bukan seorang peguam yang berusia 35 tahun. Saya tidak menulis kenyataan tersebut,” katanya sambil mencebik muka.

Keterbukaan Malik sewaktu diwawancara tidak terhenti setakat itu sahaja. Bercerita lanjut mengenai penglibatannya bersama Harry Styles, Niall Horan, Liam Payne dan Louis Tomlinson dalam pembentukan One Direction sewaktu menyertai pertandingan The X Factor, Malik berkata, ia merupakan keputusan yang paling disesalinya seumur hidup.

“Sewaktu menyertai The X Factor, saya baru berusia 17 tahun. Ketika itu, saya tidak tahu apa-apa mengenai industri hiburan.

“Bagi saya, jika berjaya memenangi pertandingan tersebut dan membawa pulang sejumlah wang sebagai hadiah, semua masalah kewangan akan selesai. Mudah bagi remaja berusia 17 tahun untuk berfikiran sedemikian. Ternyata, saya tidak fikir jauh,” katanya yang pada waktu itu berjaya memenangi tempat ketiga bersama empat lagi ahli One Direction lain menerusi musim ketujuh rancangan tersebut.

Ditanya apakah nasihat yang akan diberikan jika dia berpeluang bersua muka dengan dirinya yang masih berusia 17 tahun, kata Malik: “Kaji terlebih dahulu keadaan sekeliling dan kesannya pada masa akan datang sebelum bersetuju untuk melakukan sesuatu.”

Dunia glamor mungkin membawa perubahan yang besar terhadap rutin harian Malik sebagai seorang penyanyi. Namun, tiada siapa menyangka, kerlipan populariti yang nampak begitu mahal pada mata khalayak memberikan impak negatif terhadap kesihatannya.

Gangguan pemakanan

Menurut tulisan yang dipetik daripada autobiografi terbaharunya, Zayn, Malik yang cukup terkenal dengan bentuk tubuh yang kurus mengakui pernah mengalami gangguan pemakanan sekitar tahun 2014.

“Saya pernah tidak menjamah makanan sehingga dua atau tiga hari berturut-turut.

“Ia merupakan masalah yang sangat serius. Namun, saya tidak tahu ia boleh membahayakan kesihatan,” tulisnya.

Tambah Malik, dia tidak mempunyai sebarang masalah mengenai berat badannya tetapi sengaja mengawal jumlah makanan yang diambil setiap hari.

“Selama ini, saya tidak pernah diberi peluang untuk mengawal hidup sendiri. Jadi, saya mengawal jumlah makanan yang saya ambil,” katanya yang kerap jatuh sakit akibat kehilangan berat badan secara mendadak.

Batal konsert

Sekitar September lalu, Malik mengejutkan peminatnya apabila mengambil keputusan untuk membatalkan konsert jelajah yang dijadualkan berlangsung di Autism Rocks Arena Dubai pada 7 Oktober akibat masalah keresahan yang melampau.

Menerusi kenyataan yang diterbitkan menerusi majalah Time, kekasih kepada model kelahiran Amerika Syarikat, Gigi Hadid itu memberitahu, masalah tersebut semakin serius menghantuinya sehingga dia terpaksa membatalkan persembahan konsert sebulan lebih awal.

“Sejak kebelakangan ini, saya kerap cemas. Ditambah dengan debaran konsert tersebut, masalah keresahan menjadi tidak terbendung.

“Sejujurnya, masalah ini menghalang saya untuk berfikir secara rasional. Walaupun saya tahu apa yang saya mahukan dan apa yang terbaik untuk karier. Namun, masalah ini akan memberitahu saya sebaliknya. Ia merupakan sebuah pertarungan tanpa penghujung,” tutup Malik.

Post a Comment

Previous Post Next Post