KUMPULAN Exists (dari kiri) Along, Ujang, Ezad dan Musa akan melunaskan hutang rindu peminat di Singapura pada 2 Disember nanti.
Kali terakhir kumpulan Exists mengadakan konsert di negara seberang Tambak Johor ialah sekitar 10 tahun lepas.
Justeru, bagi melangsaikan hutang rindu dan permintaan tinggi peminat setia kumpulan yang ditubuhkan pada 1991 itu di Singapura, CMX International dan Frankoland Management berkolaborasi demi menzahirkan sebuah konsert yang dinamakan Throwback Exists.
Memilih lokasi The Pavilion, Far East Square, Singapura, konsert berkenaan akan menyaksikan semula gabungan Ezad pada posisi vokal, Ujang (dram), Musa (bass) dan Along (gitar) pada 2 Disember nanti menerusi sebuah persembahan istimewa yang berlangsung sekitar pukul 7 malam.
“Ramai peminat di Singapura bertanyakan tentang konsert atau persembahan Exists.
“Permintaan terhadap kemunculan mereka memang tinggi. Jadi, kami ingin menunaikan permintaan peminat yang merindui kemunculan semula Exists.
“Sebab itu juga kami namakan konsert ini Throwback Exists,” ujar penerbit konsert yang dikenali sebagai Franko mewakili Frankoland Management.
Lagu hit
Bakal membawakan lagu-lagu hit lagi berhantu yang menjadi siulan peminat selama ini, konsert yang berdurasi selama satu jam tersebut pasti mengembalikan nostalgia dan momen tersendiri buat khalayak.
Pastinya lagu seperti Mengintai Dari Tirai Kamar, Alasanmu, Jesnita dan Masih Terserlah Ayumu akan membuatkan penonton sama menyanyi sepanjang konsert.
“Kami sudah memulakan sesi latihan sejak awal November memandangkan Ezad juga harus menjalani rawatan terapi.
“Along sudah memulakan proses pra produksi,” ujar Ujang mewakili kumpulan Exists.
Ujar Ujang lagi, Exists akan mengekalkan susunan muzik yang sama bagi lagu-lagu yang akan dipersembahkan tetapi memberikan sedikit suntikan penyegaran sebagai kelainan.
“Selaku penganjur, kami mahu memenuhi permintaan peminat di Singapura. Konsert ini juga membuktikan bahawa Exists masih wujud dan sentiasa bersedia bertemu dengan para peminat,” ujar Franko lagi.
“Sebenarnya memang ada hasrat untuk kembali dengan reunion penuh kumpulan Exist. Mungkin konsert Throwback Exists ini merupakan sebuah pembukaan kepada hasrat tersebut.
“Menjadi harapan kami untuk memulakan sesuatu bersama Exists pada tahun hadapan,” luah Ujang mewakili ahli kumpulan yang lain.
Menurut Ujang juga, kali terakhir Exists mengadakan persembahan di Malaysia pula ialah pada 2013 bertempat di Hard Rock Café Kuala Lumpur.
Sebagai infomasi, kumpulan Exists telah muncul dengan sembilan buah album studio iaitu Exist (1991), Anugerah (1993), Diammu Gunung Berapi (1995), Jangan Gentar (1997), Mutan (1998), Ada (2001), Seperti Dulu (2003), Paragon (2004) dan Hits Rakaman Semula (2007).
Menjelang persembahan istimewa tersebut, penampilan artis baru iaitu Khai Bahar juga diselitkan sebagai penyeri dan bakal memeriahkan acara.
Selain nama Khai yang sedang meningkat naik sekarang, pendatang baharu itu juga merupakan peminat Exists dan sering menyanyikan lagu-lagu kumpulan tersebut dalam nyanyian dan persembahannya.
Menurut Franko, lokasi yang bakal menampung sekitar 300 orang peminat tersebut akan membuahkan sebuah pertemuan eksklusif dan intim bersama kumpulan kesayangan mereka.
Tiket-tiket berharga SG$55 (RM166) dan SG$65 (RM196) telah mula dijual sejak 29 September lalu.
Sehingga kini, tiket-tiket istimewa yang menyediakan sesi beramah mesra bersama Exists juga sudah habis dijual.