
Selepas filem Mat Moto: Kami Mat Moto Bukan Mat Rempit, Pekin Ibrahim sekali lagi mengasah bakatnya sebagai sutradara, kali ini menerusi telefilem pula.
Menggunakan judul Bayangan Emilia, naskhah terbitan Sharifah Shahora dan suami, Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, menerusi syarikat Eleven Field itu menampilkan pelakon yang sedang mencipta nama, Fattah Amin, dan Azar Azmi sebagai teraju.
Menurut Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-28 ini, beliau mempunyai alasan tersendiri untuk memilih Fattah sebagai bintang utama telefilem sulung arahannya itu.
"Kebetulan, kami berdua sama-sama menyambung pengajian jarak jauh di Universiti Utama Malaysia (UUM).
Justeru, masing-masing sudah saling mengenali.
"Jika kena pada caranya, saya juga yakin Fattah mampu dibentuk untuk menjadi pelakon yang bagus.
Bagi saya, soal pelakon 'kayu' atau tidak, itu semua terpulang kepada pengarah untuk membentuknya.
Pengarah patut memantau supaya pelakon yang diarahkannya itu nampak bagus di skrin.
"Sebagai pengarah, kita boleh berbincang dan mengawal lakonan pelakon supaya mereka dapat memberikan apa yang kita inginkan.
Pelakon yang dibiarkan tanpa sebarang pemantauan dan tidak dijaga persembahan mereka akan berlakon sesuka hati.
Fattah pula bagi saya pelakon yang baik, cuma kurang pengalaman," katanya kepada BH Online.
Kata Pekin lagi, bintang Suri Hati Mr Pilot itu juga bukan pelakon yang suka mendatangkan masalah.
"Dia boleh bertolak ansur dengan apa saja input yang kita mahukan demi kebaikannya.
Dia mempunyai sikap ingin belajar dan ia sesuatu yang patut dipuji," katanya.
Sementara itu, Pekin sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan beliau selesa untuk mengarahkan filem atau dokumentari saja.
Menerusi medium terbabit, katanya beliau mendapat kebebasan untuk berkarya serta menjadi lebih kreatif.
Sebaliknya menghasilkan drama atau telefilem perlu memenuhi pelbagai syarat dan peraturan ditetapkan pihak tertentu.
"Ikutkan, saya memang tidak mahu mengarah program untuk siaran TV.
Begitupun, saya menerima tawaran untuk mengarahkan telefilem ini kerana Raja Mukhriz.
"Sepatutnya, beliau yang mengarahkan Bayangan Emilia.
Namun, berikutan jadual kerjanya yang bertindih, maka ia terpaksa dilepaskan.
Saya boleh diibaratkan seperti 'kena buat' kerja pengarahan ini," ujarnya sambil memberitahu, beliau cuba menghasilkan naskhah berkenaan seperti sebuah filem.