
Penyanyi, Siti Sarah Raisuddin mengakui berat badannya susut hampir 30 kilogram gara-gara komitmen terhadap program nyanyian Gegarvaganza musim ketiga (GV3).
Sarah, 32, menjelaskan awal dulu dia memang mahu langsing bagi memastikan penampilan menarik di kaca televisyen namun tidak menyangka jadual harian yang padat kebelakangan ini menjadikan berat asal daripada 70 kilogram turun hingga 40 kilogram.
"Sebelum menyertai GV3 berat badan saya sekitar 70 kilogram, tetapi dengan regim senaman dan mengamalkan diet sihat ia turun sedikit demi sedikit.
Saya tidak sedar mengalami penurunan berat yang agak drastik baru-baru ini disebabkan ligat sebaik bermulanya cabaran GV3.
"Bukan sengaja ikat perut semata-mata mahu kurus.
Cuma kesibukan dan tumpuan terhadap pertandingan ini membuatkan kadang kala saya terlupa makan.
Waktu makan saya agak bercelaru sekarang.
"Baju yang direka untuk saya saban minggu juga pada masa sama menyerlahkan kesan langsing.
Ramai bertanya mengenai perbezaan ketara ini.
Saya berharap tabiat meninggalkan waktu makan tidak menjejaskan kesihatan," katanya kepada BH Online.
Pemilik nama penuh Siti Sarah Raisuddin itu turut menafikan insiden beliau pitam di belakang pentas pada konsert keempat GV3 mempunyai hubung kait dengan kejadian mistik.
Katanya, pola makanan yang tidak menentu antara faktor kesihatannya sedikit terganggu pada minggu berkenaan sekali gus menolak dakwaan dirinya berdepan gangguan makhluk halus.
"Isu pengsan pada hari kejadian yang kemudian dikaitkan dengan perkara mistik adalah tidak benar.
Bagi saya desas-desus sebegitu sudah biasa apabila setiap benda pelik pastinya selepas itu muncul pula cerita dongeng," ulasnya ringkas.
Terdahulu, ketiadaan Sarah pada segmen penyingkiran dalam konsert GV3 minggu lalu berpunca dirasuk makhluk halus di belakang pentas hingga terpaksa dibawa pulang.