Nadya Syahera nafi didekati Datuk


AKTRES ini terkejut selepas dikaitkan memiliki hubungan istimewa dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk baru-baru ini.

LUMRAH kehidupan sebagai artis, ada saja bertebaran gosip yang membayangi impian sebenar sebagai anak seni.

Dramatis yang semakin mencipta nama, Nadya Syahera juga tidak terkecuali apabila dikaitkan memiliki hubungan istimewa dengan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk seperti mana yang bertebaran meluas di laman sosial baru-baru ini.

Terkejut dengan desas-desus itu, Nadya atau nama sebenarnya Nadya Syahera Rosli, 23, bagaimanapun menafikan perkara itu.

“Saya sendiri tidak tahu bagaimana cerita itu boleh timbul. Buat masa ini, saya selesa berkawan dengan sesiapa selain fokus dengan perkembangan karier,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Menganggap cerita sebegini sebagai asam garam anak seni, Nadya sebaliknya mahu bakatnya lebih dihargai berbanding dikenali dengan gosip-gosip hangat.

“Mujur keluarga memahami, bukan apa khuatir juga apabila cerita-cerita sebegini menjadi buah mulut orang sedangkan ia tidak benar,” jelasnya.


BAKAT Nadya semakin disedari peminat hasil keberkesanan lakonannya dalam drama Dia Semanis Honey dan Abang Bomba I Love You sebelum ini.

Bakal tampil di pentas teater apabila sekali lagi bergandingan bersama Michael Ang dalam pementasan teater Dia Semanis Honey di Istana Budaya selepas ini, Nadya yang mencipta nama menerusi watak antagonis dalam drama Dia Semanis Honey dan Abang Bomba I Love You juga menganggap, ia sebagai cabaran terutamanya apabila berterusan dikecam haters lantaran imejnya yang berhijab.

Sementelahan pula, Nadya dilihat tetap meneruskan adegan bersentuhan dengan lelaki yang bukan mahram dalam drama-drama lakonannya sebelum ini.

“Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, saya enggan hipokrit dengan menjadi diri sendiri.

“Saya tidak boleh menghalang pandangan persepsi negatif masyarakat, cuma saya tahu batas-batas pergaulan supaya tidak melampau,” ujarnya.

Ungkap Nadya, jauh di lubuk hati dia sentiasa mahu mencabar sisi antagonis sebagai seorang pelakon supaya sentiasa disedari penonton meskipun imejnya yang berhijab.

“Memang sukar untuk memecahkan stigma itu kerana wanita bertudung lazimnya sinonim dengan watak baik, jadi saya perlu menghayati jiwa jahat mana-mana watak yang diberikan.

“Selain perlu menjaga intonasi, pergerakan dan bahasa tubuh, saya bertuah kerana memiliki raut wajah yang sombong, sekali gus membantu saya menghayati watak tersebut.

“Percaya atau tidak, ia bukan sekadar cabaran buat saya, sebaliknya keseluruhan produksi bagi membuktikan watak sebegitu sebenarnya wujud dalam dunia realiti,” getusnya seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post