Langkah kanan Syamel


OPTIMIS - Dihujani isu plagiat lagu, ia tidak mematahkan semangat bahkan membuatkan Syamel optimis untuk mencipta dan menulis lagu yang berkualiti.

Waktu bergulir, sudah lebih setahun pemilik nama sebenar Syameel Aqmal Mohd. Fodzly, 23, bergelar penyanyi selepas dinobatkan sebagai naib juara program realiti Akademi Fantasia 2015 (AF2015). Daripada pandangan mata kasar, Syamel adalah antara bintang berjaya menjarakkan dirinya daripada jenama AF selepas tamat program tersebut disebabkan semaian bakat nyanyiannya yang cukup cemerlang.

Meledak dengan single pertama berjudul Hidup Dalam Mati, anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu mengisi lubuk emas yang melopong bukan hanya melalui listrik vokalnya yang istimewa, dia juga mempunyai bakat dalam gubahan lagu dan penulisan lirik.

Tidak mahu terlalu megah mendabik dada dengan kejayaan yang hadir sekelip mata, Syamel yang begitu mengagumi bakat nyanyian Mark Anthony dan Bruno Mars percaya elemen utama yang menjadi taruhannya untuk kekal dalam lambakan bakat dalam indusri muzik tanah air adalah bakatnya kerana itulah yang sewajarnya.

“Saya nekad untuk menjadi penyanyi kerana ingin berkongsi bakat. Saya tiada rupa paras menawan untuk dijual. Apa yang saya ada adalah bakat nyanyian. Saya bersyukur kerana dalam tempoh setahun, perjalanan seni berjalan lancar.

“Saya juga bertuah kerana single pertama mendapat sambutan yang cukup baik dalam kalangan peminat. Memang saya tidak sangka dan hal itu membuatkan semangat saya untuk melahirkan karya-karya yang lebih baik semakin berkobar-kobar,” ujar Syamel dalam sesi fotografi bersama Kosmo! di Studio Utusan baru-baru ini.

Malah, pada usia yang masih hijau, dia menerobos masuk ke dalam pencalonan anugerah paling berprestij di Malaysia, Anugerah Industri Muzik untuk edisi ke-22. Menerima nominasi dalam kategori Artis Baharu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik pada AIM22, Syamel apabila diusik mengenai pendaratan kerjaya seninya yang dilihat lebih sempurna berbanding rakan-rakan seperjuangan daripada program AF2015, dia dengan pantas menghentikan usikan tersebut.

Mengaku terharu dan berasa gementar dengan pencalonan sulung tersebut, kata Syamel, semua yang terjadi adalah satu rezeki yang disambut kemas.

“Semua ini terpulang pada rezeki. Ramai yang membandingkan saya dengan Sufi (juara AF musim lalu). Ada yang mengatakan saya lebih menonjol berbanding Sufi.

“Pada saya, setiap orang mempunyai kelebihan sendiri. Dia popular di negara kelahirannya Singapura dan juga di Malaysia. Jadi, untuk membuat perbandingan antara kami berdua, saya rasa kurang manis.

“Apa yang menjadi keutamaan saya adalah bagaimana untuk kekal relevan dalam industri. Saya tidak mahu orang hanya kenal saya dengan satu lagu dan saya tidak mahu masuk dalam kategori penyanyi one hit wonder.

“Saya berharap dapat kekal dalam industri untuk tempoh yang lama dengan melahirkan karya-karya yang berkualiti,” ulasnya yang turut berentap pada separuh akhir Muzik Muzik menerusi lagu Hidup Dalam Mati bagi merebut tempat di pentas Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) buat julung-julung kalinya.

Kontroversi lagu

Mengulas tentang kontroversi lagu popularnya, Hidup Dalam Mati yang secara tiba-tiba berkongsi nama sebagai pencipta lagu dengan penyanyi senior Ayai Ilusi, Syamel mengambil pendekatan untuk tidak memanjangkan hal tersebut.

Akuinya, dia langsung tidak mempunyai masalah untuk berkongsi hak sebagai pencipta lagu tersebut.

“Sebagai orang baharu dalam industri, saya tidak mahu isu ini terus meleret. Saya akui lagu itu mempunyai persamaan dari segi melodi dengan lagu ciptaan Ayai. Setelah berbincang dengan pihak pengurusan dan Edry Abdul Halim sendiri sebagai penerbit lagu tersebut, saya bersetuju untuk berkongsi hak dengan Ayai sebagai pencipta lagu itu.

“Bagi saya, persamaan melodi lagu Hidup Dalam Mati dan Ku Kejar Bayangmu adalah secara kebetulan. Lagipun, saya sangat mengagumi bakat beliau. Hal tersebut menjadi pengajaran buat saya yang masih lagi bertatih dalam bidang ini,” katanya merendah diri.

Ditebak persoalan sama ada isu tersebut sengaja dibangkitkan hanya selepas lagu yang nukilan lirik ditulis sepenuhnya oleh dirinya itu menjadi hit, Syamel menggelengkan kepala sambil berkata:

“Beginilah, saya tidak mahu hanya kontroversi ini saya bermasam muka dengan orang yang terlibat. Saya serahkan 100 peratus keputusan di tangan pihak pengurusan saya dan pihak Ayai iaitu Luncai Emas. Jalan itu adalah yang terbaik.”

Justeru, bekas pelajar Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU) itu akur dengan keputusan sebulat suara kedua-dua pihak untuk mengakui hak Ayai selaku pencipta bersama lagu Hidup Dalam Mati sejak isu itu dibangkitkan.

Penampilan

Sejak mula bergelumang dalam cabang nyanyian, sekali gus memegang status sebagai selebriti, akui Syamel, dia semakin mementingkan ketrampilan sebagai tuntutan tanggungjawabnya sebagai seorang pelaku seni.

“Dulu sebelum menyertai AF2015, berat badan saya pernah melebihi 100 kilogram (kg). Waktu dalam pertandingan tersebut, berat saya mulai berkurang kepada 90kg. Kini, berat badan saya sekitar 80kg dan saya mahu turun lebih banyak,” katanya jujur.

Pengakuan tersebut bagaimanapun kata Syamel bukan bermaksud dia malu kerana memiliki fizikal bersaiz besar. Sebaliknya, dia mahu menjalani gaya hidup yang sihat untuk kebaikan diri.

“Ia juga membantu dari segi teknik pernafasan agar saya tidak semput ketika menyanyi,” kongsinya.

Mengakhiri bicara, Syamel turut mengutarakan harapan positif untuk bukan hanya dikenali melalui penghasilan lagu, sebaliknya ingin pemerhati seni mengakui kewujudan dirinya sebagai penyanyi yang sentiasa hadir dengan karya seni yang berkualiti.

“Saya mahu apabila lagu nyanyian saya berkumandang di radio, orang tahu individu yang melantunkan lagu itu adalah Syamel. Insya-Allah, perlahan-lahan saya terus berusaha ke arah itu,” ungkapnya yang kini hadir dengan single terbaharu berjudul Lebih Sempurna.



Post a Comment

Previous Post Next Post